Seramai 1,100 peserta dipilih pada tahun ini untuk
menunaikan ibadah haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri Tajaan
Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dijalankan buat kali
keenam sejak 2011.
Pengerusi Jawatankuasa Khas program terbabit, Datuk Jailani Ngah berkata daripada jumlah tersebut, seramai 75 jemaah adalah dari
Terengganu.
Beliau berkata, berbeza dengan tahun lepas, semua
penerbangan untuk peserta pada tahun ini akan mendarat di Makkah.
“Buat kali pertamanya, peserta akan ke Makkah
dahulu dengan penerbangan pertama iaitu KT-28 yang dijadualkan pada 24 Ogos dan
diteruskan dengan penerbangan KT-29, KT-30 serta KT-31.
“Empat penerbangan itu akan dipecahkan kepada empat
kumpulan peserta dan mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA),” katanya
.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan surat
jemputan peserta dari Terengganu yang terpilih menyertai program tersebut di
Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Muhammad Pehimi Yusof dan
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat.
Tambah Jailani, untuk tahun ini, kategori peserta terdiri
daripada imam, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK),
guru pondok, guru tahfiz, ketua-ketua jabatan,
pemimpin masyarakat, pemimpin
belia, pegawai perubatan, ahli akademik serta pengamal media.
“Uniknya pada tahun ini, kita turut libatkan golongan
profesional sebagai perserta serta urusetia iaitu pegawai perubatan serta ahli
akademik dari Institut Pengajian Awam Tinggi (IPTA).
“Bagi golongan perubatan, disamping mereka bertugas
sebagai urusetia, mereka akan turut berkhidmat untuk Tabung Haji untuk
memastikan keadaan kesihatan para jemaah haji peserta kita ini terjamin
manakala ahli akademik pula akan memberikan tazkirah kepada peserta-peserta
sepanjang berada di Makkah dan Madinah,” katanya.
Program Khas Haji Perdana Menteri Tajaan Yayasan 1MDB
tersebut menggunakan kuota khas dari kerajaan Arab Saudi atas hubungan dua hala
yang baik antara dua buah negara.
teganukita
No comments:
Post a Comment