Oleh : Ahmad Amzad
Hashim
Terengganu negeri perikanan dengan harga ikan paling mahal?
Saya harap pihak berkuasa dan persatuan pengguna dapat
berbuat sesuatu berhubung dengan harga ikan di negeri Terengganu yang terlampau
mahal jika dibandingkan dengan negeri negeri lain.
Isu ini bukanlah baru sebulan dua, tetapi sudah menjadi
percakapan orang sudah lama.
Terengganu sentiasa digambarkan sebagai sebuah negeri
perikanan dengan jumlah nelayan yang ramai dan sumber perikanan yang kaya di
laut sehingga mengundang pencerobohan nelayan asing.
Pelbagai kompleks pendaratan ikan yang canggih seperti
jeti LKIM di Chendering dan Pulau Kambing kelihatan sentiasa sibuk dengan bot
bot nelayan keluar masuk memunggah hasil laut.
Malangnya harga ikan masih sangat mahal.
Tinjauan di beberapa pasar basah di sekitar Kuala
Terengganu kelmarin mengejutkan dengan harga ikan kembong mencecah RM18 sekilo,
sotong RM28 sekilo, udang RM32 sekilo. Ikan seperti kerapu pisang RM80 sekilo
dan udang saiz sederhana besar RM80 sekilo. Ini termasuk di Pasar Kedai Payang
dan Pasar Chabang Tiga.
Ini bermakna seratus ringgit yang dibawa pengguna hanya
cukup untuk ikan, sotong atau udang. Belum lagi untuk membeli ayam, daging dan
sayuran.
Di mana silapnya kerajaan diminta siasat dan perbetulkan.
Rata rata penjual memberitahu mereka ambil untung sikit
sahaja. Habis kosnya di mana?
Umumnya orang kata ikan Terengganu lebih segar. Tapi bagi
yang biasa ke pasaraya dan pasar di pantai barat khususnya di Lembah Kelang,
kualiti kesegaran ikan tidaklah menjadi isu yang terlalu besar. Malah pilihan
jenis ikan di Terengganu adalah terhad.
Setiap hari rakyat semakin terasa dengan harga ikan yang
luar biasa mahalnya.
Kita seronok melihat ikan hidup dipamer dalam aquarium
seperti di Aquaria KLCC atau di Zoo.
Sekarang, ikan mati di pasar pun hampir jadi bahan
pameran sahaja kerana rakyat tidak mampu membelinya kerana harga yang sangat
mahal.
Kalau dulu isunya Rumah Mampu Milik sekadar jadi Rumah
Mampu Tengok kerana harga melambung. Sekarangpun kita berdepan masalah Ikan
Mampu Tilik dan Tengok sahaja.
Pendapatan isi rumah tak naik naik. Rakyat dari setiap
hari makan ikan kembong sudah mula beralih ke selayang ataupun keli.
No comments:
Post a Comment