Wednesday 15 June 2016

Dana Raya Mula Diagih Hari Ini – Ahmad Razif


Bantuan Dana Raya  berjumlah RM80.3 juta akan diagihkan kepada 217,001 penerima di Terengganu mulai hari ini sebagai persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Penerima boleh menebus baucer masing-masing di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank berdekatan sebelum 16 Oktober depan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata daripada 228,608 pemohonan yang diterima, hanya 217,001 penerima lulus dan  memenuhi syarat kelayakan.

“Manakala baki 11,607 pemohonan  ditolak kerana terdapat keraguan, termasuk suami dan isteri memohon bersama, bukan pengundi di Terengganu,  suami dan isteri berpendapatan melebihi RM2,000 serta  maklumat tidak lengkap,”katanya.

Beliau berkata demikian selepa mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM54.8 juta kepada 138,817 orang yang pendapatan rendah; RM9.5 juta  untuk 31,591  warga emas; RM11.9 juta kepada 33,132  ibu tunggal dan RM4  juta pula disediakan untuk 13,461 orang kurang upaya.

Kuala Terengganu menerima agihan paling tinggi iaitu RM15.7 juta kepada 42,949 penerima diikuti Kemaman  RM12.9 juta  kepada 34,520 penerima dan  Besut  pula sebanyak RM12.8 juta  kepada 34,347 penerima.

Daerah lain, Dungun melibatkan agihan RM9.9 juta  kepada 26,417 penerima:  Kuala Nerus RM8.4 juta (22,893 penerima); Marang  RM 8 juta (21,945 penerima) dan  Hulu Terengganu  RM7.1  (19,301 penerima) dan  Setiu  pula membabitkan RM5.4 juta diagihkan kepada 14,629 penerima.

Sementara itu, Terengganu mengikut langkah Kerajaan Pusat  dengan  memberi bonus raya  RM500 kepada  kira-kira 7,600 penjawat awam, termasuk  kakitangan  yang bertaraf `ad-hoc’ dan pembayarannya akan dibuat sebelum menjelang perayaan Aidilfitri.

Menteri Besar,  Ahmad Razif Abd Rahman, berkata mengikut anggaran yang disediakan Jabatan Bendahari Negeri, jumlah perbelanjaan keseluruhan yang terlibat  adalah sebanyak RM3.77 juta.

Jumlah itu termasuk peruntukan  RM427,000 untuk kakitangan ad-hoc  yang bertugas dengan Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) dan lain-lain agensi di bawah kerajaan negeri.



No comments:

Post a Comment