Parti Amanah Negara (AMANAH) kecewa dengan kenyataan
Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berhubung dakwaan DAP ‘memberi
arak’ kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.
Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata Nik
Abduh tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian berikutan majoriti di dalam
AMANAH beragama Islam.
“Istilah ‘memberi arak’ dan ‘mabuk’ memberi gambaran
seolah olah kami (AMANAH) dihukum berakhlak rendah dan tidak bermoral.
“Walaupun kata-kata itu dikeluarkan atas rasa marah
kepada DAP, ianya tidak harus di keluarkan dalam cara itu. Apatah lagi kita
sudah berada diambang bulan ramadhan yang mulia di mana tutur kata lidah patut
dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pemuda PAS itu Rabu lalu (1 Jun) mendakwa DAP
'memberi arak' kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.
Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, DAP sebenarnya
sombong sehingga mereka tidak sedar kesombongan sendiri. Katanya, DAP menuduh
beliau bersikap sedemikian.
"Saya nak beritahu DAP yang sombong sehingga dia tak
tahu dia sombong, sehingga dia kata saya pula sombong. DAP sombong, pertama
saya nak tanya dalam cerita kita bersama dulu siapa yang mula serang terhadap
presiden PAS? DAP.
"Siapa yang memecahkan PAS sampai sesetengah ahli
PAS mabuk pindah jadi AMANAH? DAP yang bagi arak sehingga mereka tubuhkan
AMANAH. Itu tanda DAP angkuh," katanya pada sidang media sempena Muktamar
Pemuda PAS di Kota Bharu.
Raja Bahrin menasihatkan agar Nik Abduh menjaga nama baik
ayahnya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Menjelang Ramadhan yang mulia, pimpinan tertinggi yang
berpendidikan agama, tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata tidak sopan sesama
Islam.
“Kalau Nik Abduh tidak berhasrat menghormati kami rakan
sesama Islam dan Melayu dari AMANAH, sekurang-kurangnya peliharalah nama harum
dan baik ayahanda Nik Aziz yang merupakan seorang ulama dan negarawan yang
banyak menunjukkan contoh pekerti dan akhlak yang amat mulia,” katanya.
No comments:
Post a Comment