Bukan seminggu atau sebulan dua tetapi hampir dua tahun
menanti.
Itu nasib dialami kontraktor yang mahu dikenali sebagai
Lily Surya, 40, akibat kegagalan kerajaan melunaskan bayaran yang sepatutnya
diterima selepas menyiapkan kerja-kerja berkaitan projek dandang wap (biomass)
di Kerteh, Terengganu.
Ibu tunggal bagi seorang anak itu mewakili 15 kontraktor
lain dengan keseluruhan bayaran sepatutnya mereka terima mencecah RM26
juta.
Lily memberitahu, projek itu yang diambil alih oleh kerajaan pusat kemudiannya melantik Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk menjelaskan bayaran kepada kesemua kontraktor terbabit.
Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober 2012. |
Beliau berkata, selain BiotechCorp, pihak yang dilantik
untuk menyelesaikan isu berkenaan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa
dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta
Kementerian Kewangan (MoF).
"Sampai hari ini, sesen bayaran pun tak terima lagi.
Kami sudah banyak kali ulang-alik mesyuarat dengan mereka semua tapi janji
(bayaran) bulan ini sudah berganti tahun," ujarnya kepada Malaysia
Dateline hari ini.
Akibat kegagalan bayaran tersebut, jelasnya, beliau
sendiri mengalami masalah kewangan kritikal sehingga tidak mampu menjelaskan
sewa rumah dan menghantar anak ke sekolah.
"Beberapa hari lepas, saya sendiri nak makan pun
tiada duit. Anak tidur tapi tak makan sejak tengah hari. Dia pun sudah dua hari
tak pergi sekolah sebab saya nak isi minyak kereta hantar dia ke sekolah pun
tak boleh.
Antara mesyuarat kumpulan kontraktor terlibat baru baru
ini. Dipengerusikan wakil MoF tengah turut hadir Datuk Mazlee (Datuk Dr Mohd
Nazlee Kamal?) dari BiotechCorp (CEO?) yang mereka anggap wakil Perdana Menteri.
"Saya tak malu untuk beritahu sudah habis ikhtiar
untuk bayar sewa rumah, makan minum dan anak ke sekolah sebab saya ibu tunggal
yang bergantung harap pada pendapatan dari kerja-kerja yang saya buat.
"Tuan rumah pula sudah suruh saya kosongkan rumah
sewa kalau masih tak boleh jelaskan tunggakan yang masuk bulan keempat,"
ceritanya.
Ibu kepada anak berusia 16 tahun itu memberitahu lagi,
beliau juga gagal untuk mendapatkan semula barangan kemas yang digadai bagi
tujuan mendapatkan dana menyifatkan projek tersebut sebelum ini.
"Untuk makan, saya terpaksa harapkan adik saya yang
kerja kampung bagi RM100 untuk kami dua beranak. Bolehlah dapat bertahan buat
sementara waktu," ujarnya.
Mengulas lanjut usaha terbaharu dilakukannya bersama
kumpulan kontraktor terbabit, Lily berkata, sebahagian daripada mereka telah ke
Putrajaya semalam (29 Julai) untuk bertemu dengan pihak MoF.
"Malangnya, kedatangan kami tidak dilayan. Seorang
(pegawai MoF) pun tak muncul. Kami macam pengemis duduk di lobi tunggu dari jam
3 sampai dekat pukul 6 petang," keluhnya.
Beliau berkata, sebelum ini telah beberapa kali mereka
berbincang dengan MIDA, MoF dan BiotechCorp.
"Sampaikan sudah 'meeting' dengan wakil Datuk Seri
Najib Razak. Silih berganti mesyuarat tapi janji tinggal janji. Sekarang kami
tidak sabar tunggu lagi," tegasnya.
Sehubungan itu, Lily mewakili kumpulan kontraktor
terlibat menyeru Perdana Menteri untuk campur tangan dalam menangani masalah
yang berlarutan itu.
"Tolonglah. Kami berharap perkara ini dapat segera
diselesaikan," rayunya lagi.
Difahamkan, projek berkenaan bermula pada Jun 2013
sehingga kilang NSE Corporation berjaya disiapkan dengan menyalurkan wap pada 7
Julai 2014 kepada dua kilang milik pelabur asing iaitu CheilJedang (CJ) dari Korea
dan syarikat kimia dari Perancis iaitu Arkema dengan nilai pelaburan sebanyak
RM 1 billion.
No comments:
Post a Comment