Wednesday 20 July 2016

Pelantikan Ahmad Said Sebagai Timbalan EXCO Bagai ‘Hujan Naik Ke Langit’???


Barisan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri (EXCO) bagi  hadapi pilihan raya umum ke-14 di Terengganu?

Jika Perdana Menteri baru-baru membuat penstrukturan semula  Kabinetnya, Menteri Besar Terengganu turut melakukan perkara yang sama terhadap Exconya semalam.

Ahmad Razif Abdul Rahman  semalam,   mengumumkan penstrukturan semula portfolio EXCO yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas.

Penstrukturan semula portfolio itu  merupakan kali pertama sejak Ahmad Razif menjadi Menteri Besar.

Namun ada sesuatu yang janggal apabila diumumkan Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Timbalan Pengerusi EXCO.

Kalau ia pun nak pujuk atau membawa Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal itu kembali ke jentera eksekutif negeri, tak kan lah beri dia jawatan sedemikian.

Tidak adakah jawatan lain yang lebih ‘baik’ atau ‘bermaruah’ daripada jawatan berkenaan? Atau memang sengaja mahu ‘memalukan’ Ahmad Said dengan pengumuman sedemikian?

Siapa menasihat Ahmad Razif supaya membuat pengumuman pelantikan seperti itu?

Tiadakah cara lain untuk membawa kembali Ahmad Said ke ‘pusat kuasa’ kerajaan negeri atau kepimpinan UMNO negeri?

Bagai ‘hujan naik ke langit’ kata seorang pemimpin UMNO negeri mengulas pelantikan itu.

Semalam, Ahmad Razif membuat kejutan apabila menyenaraikan bekas menteri besar itu sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam perubahan portfolio membabitkan enam EXCO Kerajaan negeri.

Mohd Jidin...berubah portfolio
Walaupun pelantikan itu dilihat usaha mendekatkan Ahmad Said dengan kepimpinan negeri, namun ia tidak sesuai memandangkan Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu  bukan wakil rakyat ‘biasa’ atau tidak pernah memegang jawatan penting.

Dia bekas Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi Barisan Nasional negeri.

Dengan meletakkan Ahmad Said ‘di bawah Jidin’, langkah itu sudah pasti merimaskan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie yang kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebelum ini Mohd Jidin ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, yang kini portfolio itu dipegang oleh Menteri Besar sendiri.

Ahmad Said digugurkan sebagai Menteri Besar pada Mei 2014 dan kini masih Ketua UMNO bahagian Kemaman. Berita Harian yang menghubungi beliau, enggan mengulas mengenai pelantikan itu.

Berdasarkan pekeliling perubahan portfolio dikeluarkan Pejabat Menteri Besar ITU, mendahului senarai pertukaran portfolio yang akan berkuat kuasa Ogos ini ialah Ahmad Razif sendiri yang kini memegang jawatan Perancang, Kewangan & Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Sektor pelancongan Terengganu kini akan dimantapkan lagi apabila Menteri Besar sendiri mengambil alih portfolio itu dan melepaskan portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri kepada Mohd Jidin.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan & Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli.

Menerusi penstrukturan itu, tiga EXCO kekal dengan portfolio masing-masing, manakala tujuh yang lain termasuk Ahmad Razif mempunyai pertambahan dan pertukaran tugas.

Tiga EXCO yang kekal dengan dengan portfolio masing-masing ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, (EXCO Perindustrian dan Perdagangan Negeri), Datuk Rozi Mamat (EXCO Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri) dan Rosli Othman (EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri).


EXCO Pendidikan kini dipegang oleh ADUN Pengkalan Berangan A Latiff Awang bertukar daripada Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri.

Adun Ajil, Ghazali Taib yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri kini Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berpindah daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri.

ADUN Bukit Besi, Roslee Daud kini Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri.

Datuk Mohammad Pehimi Yusof (ADUN Jerteh) bertukar kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri.

No comments:

Post a Comment