Monday 25 July 2016

Ghazali - Bekas ADUN, Penjawat Awam Janganlah Buat ‘Kenyataan Bodoh’!!!


"Bola kini di kaki Ahmad Razif, sebagai kapten pasukan, beliau tendanglah ke mana yang beliau suka, jangan melakukan kesilapan dengan menendang masuk gol sendiri sudahlah!"

Panas juga isu cadangan pelantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan atau Exco sehingga ada perang mulut antara ahli politik di negeri Terengganu.

Sudah tidak boleh ‘gaduh’ dengan PAS, PKR atau AMANAH, kerana tidak tahu apa isu, akhirnya gaduhlah sesama sendiri.

Kelmarin (Ahad), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN)  Ajil yang juga Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) Datuk Rosol Wahid dan bekas ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam berkata Ahmad Said tidak sepatutnya berasa malu mengenai pelantikannya sebagai timbalan exco Terengganu.

Sebaliknya (Ahmad Said) perlu berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan terhadapnya.

Ghazali...jangan buat kenyataan bodoh.
 Berikutan kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas. Ghazali Taib mengingatkan bekas ADUN dan pegawai kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat 'kenyataan bodoh' yang boleh menjejaskan perpaduan Umno dan usaha kerajaan membawa kemajuan di Terengganu.

Menurutnya, isu pelantikan Ahmad Said sebagai timbalan EXCO  telah diselesaikan.

Ada kalangan EXCO sendiri yang mendedahkan bahawa Ahmad Razif kini banyak menerima nasihat daripada Rosol dan Din, yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun.

Jika demikian, kenyataan Ghazali bahawa apa yang diperkatakan oleh  Rosol dan Din dilihat sebagai ‘tidak wajar’ selain menggambarkan wujudnya perbezaan ketara dari segi pendapat dan sikap di kalangan beberapa ADUN UMNO dan bekas ADUN UMNO yang menyokong Ahmad Razif.

"Kita perlu bijak dalam pentadbiran negeri dan tidak mencetuskan lebih banyak isu untuk menteri besar," kata Ghazali.

Kenyataan dua bekas ADUN dan EXCO Terengganu yang diberikan kedudukan penting dalam ‘lingkungan politik Menteri Besar’ itu amat difahami.

Rosol...tidak sepatutnya malu
Mereka berdua nampaknya sengaja tidak mahu memahami apa yang dirasakan oleh Ahmad Said bahawa tawaran Ahmad Razif Abd Rahman itu dilihat ‘satu percubaan untuk memalukan dan menghina beliau.’

Sebagai rekod, Rosol dan Din antara ’10 Budak Hitam’ yang menentang pelantikan Ahmad Said sebagai  Menteri Besar selepas Datuk Seri Idris Jusoh ditolak pelantikan semula sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Istana Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008.

Pada 21 Julai Bekas Menteri Besar Terengganu, itu   menolak jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Negeri dengan mengatakan berminat mahu menumpukan perhatian kepada gerakan organisasi bukan kerajaan (NGO) daripada jawatan Timbalan Exco tersebut.

Mengulas perkara itu,  ADUN  Kijal itu menggambarkan tawaran berkenaan seakan-akan mempersendakan beliau yang pernah pegang jawatan nombor satu di negeri itu.

Ahmad Said menegaskan kepimpinan sedia ada tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai wakil rakyat sah yang dipilih secara demokratik setelah bertindak memotong peruntukan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Malah, Ahmad Said bagai menyindir apabila mengatakan : “Saya tidak tahu siapa yang menasihati yang berhormat Menteri Besar Terengganu ketika ini yang menarik balik semua peruntukan untuk DUN Kijal.

“Serupa juga membuat pelantikan tertentu tanpa merujuk kepada saya seolah-olah saya bukan lagi seorang wakil rakyat daripada BN, tetapi tiba-tiba lantik saya pula seolah-olah mengiktiraf saya balik.”
Din Adam...Ketua Bahagian UMNO Dungun

Kemudian pada 24 Julai lalu, di GOMBAK,  Ahmad Said berkata tawaran Ahmad Razif itu seperti satu ‘penghinaan’ buatnya.

“Cuba anda bayangkan sendiri. Macam saya, sudah jadi menteri besar dan tiba-tiba lantik jadi timbalan exco. Awak nak ke? ‘Down grade’. Memalukan. Menghina,” katanya ketika mengulas mengenai tindakannya itu.

Menurut beliau, walaupun belum menerima surat pelantikan secara rasmi dan hanya mengetahui namanya tersenarai sebagai timbalan exco, beliau tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

Ahmad  Said yang meletakkan jawatan menteri besar dua tahun lalu kini dilantik yang dipertua PERKASA Terengganu.

Laporan media semalam memetic  Ghazali sebagai berkata, kenyataan telah dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai tawaran itu selain menangkis dakwaan Ahmad Said bahawa ia bertujuan untuk memalukan beliau.

"Kenyataan tidak berasas mengenai perkara itu tidak sepatutnya dikeluarkan. Kami - menteri besar, ahli exco dan Adun - sedang bekerja untuk memastikan perpaduan di dalam parti dan keharmonian di kalangan rakyat untuk kemajuan negeri ini.

"Isu menteri besar melantik Ahmad Said sebagai timbalan exco tidak perlu dibahaskan. Menteri Besar juga berkata beliau menghormati keputusan Ahmad Said untuk tidak menerima pelantikan itu," katanya.

Apa mahu dikatakan kerana yang dilantik dan mendapat kedudukan perlulah membela Menteri Besar.

Yang lain dengar. Jika rasa tidak benar, kena berani seperti Ghazali ini.

Yang pasti dan kurang sedap didengar ialah kawasannya, iaitu DUN Ajil sering diganggu oleh Rosol yang dilaporkan sedang berusaha merebut kerusi itu kembali, demi masa depan politiknya.

Sebagai rekod, Ghazali pernah menyatakan sokongannya kepada Ahmad Said, untuk keluar UMNO selepas bekas menteri besar itu mengisytiharkannya sebagai ADUN Bebas.

Amat nyata, Ahmad Razif belum dapat mengatasi ‘perpecahan di kalangan pemimpin UMNO’ negeri dan Ahmad Said terus menjadi watak dan faktor penting dalam politik Terengganu.


“Bola kini di kaki Ahmad Razif, sebagai kapten pasukan, beliau tendanglah ke mana yang beliau suka, jangan melakukan kesilapan dengan menendang masuk gol sendiri sudahlah!’ kata seorang penganalisis politik Terengganu.

No comments:

Post a Comment