Tuesday 19 July 2016

Parti Baharu Tun M Tidak Gugat UMNO Terengganu – Ahmad Razif


UMNO tidak akan tergugat dengan penubuhan parti baharu yang dicanangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia ditubuhkan berasaskan kekecewaan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia bukan kali pertama berlaku terhadap UMNO kerana berdasarkan sejarah, sudah beberapa kali parti terbesar negara ini melalui pengalaman sedemikian.

Beliau memberi jaminan, UMNO Terengganu tidak akan tergugat meskipun dengan penubuhan parti diusahakan bekas Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Razif UMNO  Umno adalah sebuah parti yang kukuh dan yakin ia akan mendapat sokongan yang berterusan daripada setiap anggota parti termasuk di peringkat akar umbi.

Katanya, UMNO akan terus relevan kepada rakyat Malaysia berdasarkan asas penubuhan parti itu sendiri yang berasaskan perjuangan disifatkan luar biasa.

"Pada saya parti serpihan (UMNO) yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan ia tidak akan ke mana-mana kerana rakyat yang memberi sokongan yakin dengan Umno bahawa ia adalah relevan untuk dahulu, kini dan selamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Manis FM di Kuala Terengganu, semalam.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

"Mengikut pengalaman lalu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri ada menubuhkan Parti Negara tapi apa yang terjadi kepada parti itu? Selepas itu wujud pula Parti Semangat 46 kemudian PKR dan banyak lagi.

"Parti yang ditubuhkan berasaskan kekecewaan tidak akan ke mana. Ia berdasarkan pengalaman dan sejarah. Saya percaya UMNO akan terus kekal relevan dulu, kini dan selamanya kerana ia berasaskan perjuangan luar biasa antara ahli serta pemimpin," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu, menafikan berlaku perpecahan dalam UMNO, sebaliknya pergolakan ditimbulkan sesetengah pihak yang kecewa.

"Saya tidak nampak ada perpecahan dalam parti, malah UMNO berani mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana ahli atau pemimpin yang bermasalah.

"Perkara ini berbeza dengan apa yang berlaku kepada parti lain kerana jika dilihat penubuhan parti serpihan daripada UMNO diwujudkan selepas individu terbabit keluar atau dipecat.

"Justeru, mereka ini sudah tidak ada kaitan lagi dengan UMNO," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai usaha sia-sia malah parti itu tidak akan kekal lama.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata penubuhan sesebuah parti perlu berasaskan kepada perjuangan dan bukan bersifat peribadi.

"Bagi saya kalau ada yang berjuang hanya untuk kepentingan peribadi berbentuk serangan peribadi ia tidak lama.

"Perjuangan mestilah berasaskan kepada ideologi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelajar Program Parlimen Mahasiswa Kali Kedua 2016 di Kuala Lumpur semalam.

Jelas Abdul Aziz, Mubarak bersifat terbuka terhadap mana-mana bekas pemimpin yang mahu menubuhkan parti baharu memandangkan negara mengamalkan sistem demokrasi.

"Soalnya sekarang adakah parti itu efektif. Jika Tun Mahathir mahu tubuh parti maka beliau boleh teruskan," katanya.


Ahmad Razif  bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar (kanan) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Persekutuan Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment