Acara olahraga temasya Sukma kali ini dianggap yang
terbaik selepas 18 edisi penganjurannya dan pelengkapnya pasti kejayaan Khairul
Hafiz Jantan (gambar atas) yang mengesahkan kedudukannya sebagai jaguh pecut negara.
Kemampuannya meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30 saat, dengan catatan baharu 10.18s, pastinya saat yang tidak dapat dilupakan peminat olahraga terutama mereka yang hadir di Stadium Sarawak, Rabu lalu.
Sehari kemudian wakil Melaka berusia 18 tahun itu, berjaya memadamkan rekod kejohanan acara 200m berusia 14 tahun milik Nazmizan Mohammed dari Terengganu iaitu 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah, selepas mencatat 21.14s di separuh akhir acara itu, sebelum memperbaharuinya dengan masa 21.03s, pada Jumaat.
Selain Khairul Hafiz, kejayaan atlet muda yang memecahkan rekod kejohanan menerusi acara lontar peluru wanita, baling tukul besi lelaki, lempar cakera lelaki, 200m wanita, 4x100m wanita, serta dekatlon turut memberi petanda masadepan yang cerah buat olahraga negara yang begitu suram sejak kebelakangan ini.
Bekas jaguh pecut negara, Watson, 40, yang turut dikenali sebagai 'The Flying Dayak' juga mengakui acara olahraga edisi kali ini merupakan yang terbaik pernah beliau saksikan dalam temasya Sukma.
Sesuatu yang menarik adalah jika pada era 1990-an, saingan 100m hanya membabitkan Watson dan Azmi Ibrahim, kali ini selain Khairul Hafiz, ada dua atlet iaitu Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) dan Jonathan Nyepa (Sarawak) yang mampu memberi saingan, sekali gus membuktikan Malaysia belum ketandusan bakat.
Begitu juga dengan acara 200m apabila atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmi melonjakkan nama dengan berada di kedudukan antara Khairul Hafiz dan Jonathan, dengan mengetepikan Badrul Hisyam yang terpaksa berpuasa hati di tempat keempat.
Namun dalam kehebatan atlet muda membuktikan kemampuan mereka di gelanggang, satu faktor yang amat menyedihkan adalah kurangnya penonton yang hadir di Stadium Sarawak.
Ketika rekod kebangsaan 100m dileburkan petang Rabu lepas, jumlah penonton di stadium adalah kurang daripada 4,000 orang manakala tidak sampai 2,000 penonton hadir sewaktu perlumbaan akhir 200m yang dilangsungkan pagi Jumaat ketika Khairul Hafiz memburu rekod kebangsaan 48 tahun Tan Sri Dr M Jegathesan.
Apapun, Selangor mengesahkan juara keseluruhan milik
mereka apabila gimnastik artistik menjadi penyelamat kontinjen negeri itu
mengekalkan kedudukan teratas pungutan pingat setelah bersaing sengit dengan
tuan rumah Sarawak pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) 2016, semalam.
Bagaimanapun tumpuan hari temasya pastinya terarah kepada
ibu segala emas, bola sepak, yang berjaya dipertahankan oleh Perak selepas
mengalahkan Wilayah Persekutuan (WP) 2-0.
Terdahulu empat pingat emas yang diraih gimnastik
artistik sudah memadai buat Selangor menggondol 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa
yang menjadikan pungutan keseluruhan 195 pingat.
Renang menjadi penyumbang terbesar Selangor dengan 20
emas yang juga menjadi titik penentu kepada negeri itu memintas dua pencabar
terdekat iaitu Sarawak dan WP.
Atlet Selangor, Nur Eli Ellina Azmi ketika beraksi dalam disiplin 'floor excercise' acara gimnastik artistik akhir SUKMA 2016. |
Prestasi konsisten skuad menembak Selangor yang
menjelmakan enam emas dan gimnastik artistik dengan lima pingat emas, turut
mengukuhkan kedudukan mereka di persada senarai pungutan pingat.
Pada hari terakhir, semalam, tenis menerusi beregu lelaki dan sukan
pelayaran dalam acara International Event 420 turut menyumbang satu pingat emas
yang sekali gus menjarakkan kedudukan berkelebihan dua emas daripada kontinjen
tuan rumah.
Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua boleh
berbangga dengan pungutan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa. Kontinjen Bumi
Kenyalang itu membuktikan keunggulan mereka dalam sukan tenpin boling,
taekwando, wusyu, silat, renang dan olahraga.
Boling muncul penyumbang pingat emas terbesar buat negeri
itu setelah menyapu 11 emas dalam sukan tersebut, sementara taekwando merangkul
lapan emas keseluruhan.
Dalam pada itu, Terengganu berjaya memintas juara Sukma
Perlis, dua tahun lalu WP pada hari terakhir temasya yang sekali gus
menyaksikan kontinjen dari Pantai Timur tanah air tersebut mengumpul 47 emas,
42 perak dan 44 gangsa.
Atlet gimnas dari Terengganu, Zul Bahrin Mat Asri (kiri) dan Muhammad Abdul Azim Othman bersemangat selepas memenangi acara masing-masing. |
Terengganu sememangnya tidak asing dalam sukan
berbasikal apabila mereka membolot 14 emas keseluruhan yang turut menyaksikan
penguasaan penuh negeri itu berbanding pencabar mereka dari Johor dan Selangor.
Memanah, menembak dan pelayaran turut membantu Terengganu
memperbaiki kedudukan dalam kelompok tiga terbaik setelah sukan-sukan itu
menyumbang 13 emas kesemuanya.
No comments:
Post a Comment