Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Sunday, 30 July 2017

Berdepan Cabaran PRU14 - Mencari Ketua Pakatan Harapan Terengganu...


Siapakah di kalangan empat pemimpin parti ‘komponen’ Pakatan Harapan (PH) yang mampu menerajui PH Terengganu menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 akan datang?

Pemimpin yang dipilih bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat PH tetapi sebagai ‘panglima tentera’ yang akan menggabungkan jentera PKR, AMANAH, DAP dan ahli barunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah fungsinya juga untuk menyeleras struktur organisasi, pembentukan jentera pilihan raya, menggubal manifesto negeri dan paling penting menyelaras pembahagian kerusi di kalangan pakatan pembangkang itu.

Sudah pasti ketua perlu seorang yang tegas dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak luar tetapi meletakkan asas ke atas persetujuan bersama ahli.

Ini bermakna bahawa PH Terengganu, selain ketuanya, ada lagi 15 ahli yang menentukan dasar perjuangan dan jentera PH yang akan menggugat BN.

Namun, jika PH menang, beliau tidak semestinya menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ini kerana sudah pasti beberapa kriteria lain turut diambil kira seperti parti mana yang menang banyak kerusi DUN, calon yang berkaliber dan paling pening dipersetujui oleh pihak istana.

Jadi, kepada yang menjadi Ketua PH, jangan berangan-angan tinggi atau bermimpi akan dilantik menjadi  Menteri Besar, apa lagi sekiranya beliau tidak bertanding kerusi DUN.

Selepas wujudnya struktur PH diperingkat pusat yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, Terengganu juga memerlukan struktur serupa untuk menggerakkan PH bagi menggempur BN.

Namun ketika ini masih samar-samar siapa sebenarnya mampu menerajui PH berdasarkan empat pemimpin PH yang ada.


Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar, Azan Ismail, Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu (BPPNT), Datuk Razali Idris dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng.

Raja Bahrin ialah Pengerusi AMANAH Terengganu sementara Azan pula ialah Pengerusi PKR Terengganu. Razali juga adalah Ketua Bahagian PPBM Kuala Nerus.

Asasnya PH sudah wujud sebelum ini apabila tiga parti – PKR, AMANAH dan DAP menandatangani satu memorandum persefahaman tetapi ia gugur dengan sendirinya selepas wujudnya PH secara rasmi.

Malah, sebelum ini sudah dipilih Pengerusi Mesyuarat PH Terengganu iaitu Raja Bahrin oleh wakil empat parti berkenaan. Namun ia juga sudah lupus begitu sahaja apabila struktur baru PH dispersetujui baru-baru ini.

Satu mesyuarat dijangka akan diadakan 2 Ogos ini untuk menubuhkan struktur berkenaan.
Mesyuarat akan menubuhkan struktur organisasi baharu dengan mengambil kira kehadiran secara rasmi empat wakil PPBM ke mesyuarat berkenaan.

Empat wakil PPBM ialah Pengerusi Negeri, Timbalan Pengerusi Negeri, Setiausaha Negeri dan seorang Ketua Bahagian.

Persoalan kini ialah siapa antara empat calon ini akan dipilih secara consensus atau melalui undian?


Pengerusi DAP rasanya tidak akan bersedia untuk dicalon kerana parti itu tidak bertanding pada PRU14 kali ini.

Sementara Pengerusi PPBM pula tidak memegang sebarang jawatan sama ada ADUN atau Ahli Parlimen.

Ini bermakna Razali dan Ng tidak akan dicalonkan untuk jawatan ketua PH Terengganu.

Yang tinggal adalah ADUN Bandar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Apakah salah seoranbgh daripada mereka akan berundur diri seperti dilakukan oleh Azan pada pemilihan pengerusi mesyuarat pada Fe bruari lalu?

Atau apakah Raja Bahrin akan berkeras untuk terus memegang jawatan sebagai pengerusi mesyuarat dan pengerusi PH negeri?

Berbagai kemungkinan ada.

Namun, melihat kepada keadaan pilihan raya negeri kali ini, dengan kedudukan di mana pembahagian kerusi dijangka sengit dijangkakan tidak akan berlaku konsensus.
Pemilihan mungkin terpaksa dibuat melalui pengundian.

Jika demikian, kepada siapakah undi PPBM dan DAP akan diberikan?

Apakah pihak yang kalah akan dapat menerima keputusan?

Untuk rekod, Azan memenangi DUN Bandar dan menjadi Yang Berhormat secara mutlak, biarpun mendapat sokongan kuat PAS sebelum ini.

Sementara Raja Bahrin memenangi Parlimen Kuala Terengganu di atas tiket PAS dan menjadi Yang Berhormat kerana bantuan PAS sepenuhnya. Dengan kata lain, kerusi AMANAH di Terengganu bukan kemenangan mutlak sebaliknya kerusi ‘yang dilarikan’ daripada PAS.

Faktor ini juga mungkin akan diambil kira dalam pemilihan Ketua PH Terengganu.

Apapun, 16 pemimpin yang menganggotai PH berhak menentukan ketua mereka dan biarlah pemilihan itu bersifat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak’.

Juga bagi pihak yang tewas (jika ada undian), terimalah hakikat bahawa yang penting bukan jawatan tetapi menewas dan menjatuhkan KERAJAAN BARISAN NASIONAL.

Ia perlu bergerak daripada perjuangan ini bukan siapa yang mengetuai PH Terengganu.

Tuesday, 7 February 2017

FGV - Rugi RM42.11 Juta, Kerajaan Terengganu Mahu Tunggu Lagi?


Cerita mengenai pelaburan kerajaan negeri Terengganu dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tidak diberikan perhatian meluas oleh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Apakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada pihak kerajaan atau pembangkang,  tidak tahu atau tidak mempedulikannya?

Sebelum ini, kerajaan Terengganu dianggarkan mencatat kerugian RM55,325,250 sewaktu nilai saham FGV merudum sehingga ke paras RM1.20 sesaham.

Nilai saham yang dimiliki Terengganu pada ketika itu ialah RM19,818,000 di atas kertas (pada harga RM1.20 sesaham).

Kerajaan Terengganu memiliki sejumlah 16,515,000 unit saham dengan pelaburan permulaan bernilai RM75,143,250.

(Ketika ini pada harga RM1.90 sesaham, nilai ialah  RM31,378,500 dan sekiranya berada naik pada RM2.00 sesaham, nilai ialah RM33,030,000, bermakna masih pada kerugian RM42,113,350).



Ia dilaburkan melalui dua anak syarikatnya iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan PTB Ventures.
  
Bayangkan kerugian yang dialami begitu besar dan apakah kerajaan Terengganu perlu menunggu lebih lama?

Soal siapa membenarkan YIT dan PTB Ventures tidak perlu dipertikaikan tetapi kenapa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masih ‘setia dengan FGV’?

Ini menjadi suatu tandatanya.

Apakah kerajaan negeri tidak peduli mengenai kerugian wang rakyat yang dilaburkan dalam FGV?

PAS sudah mendedak kerajaan negeri Terengganu menjual semua kepentingan dalam FGV bagi mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar.

Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda berkata merujuk perkembangan terbaharu mengenai kedudukan semasa harga saham FGV, kerajaan Terengganu perlu segera menjual semua kepentingannya.

Ia  bagi mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar.

"Sekarang berlaku unjuran kenaikan, namum ianya masih tidak melepasi paras harga RM2 sesaham berbanding harga saham terbitan permulaan (IPO) RM4.55 sewaktu FGV mula diniagakan pada 2012," katanya dalam kenyataan.

Terbaru, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd menjual lima juta saham dalam FGV pada 27 Januari yang lalu.

Susulan penjualan itu, jumlah sekuriti yang dipegang oleh koperasi tersebut dalam FGV sebanyak 206.76 juta saham atau 5.67 peratus, menurut FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Sebelum itu, harga saham FGV jatuh 4.94 peratus berikutan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang institusi tersebut tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.

Justeru, melihatkan perkembangan semasa, kerajaan Terengganu perlu mengambil tindakan segera agar kerugian semasa dapat dikecilkan, jelasnya.

"Adalah tidak patut kerajaan Terengganu terus membiarkan duit kerajaan dan rakyat Terengganu berisiko di dalam pelaburan saham FGV.

"Jika menjual kesemua saham FGV, kerajaan Terengganu mampu menyelamatkan RM31,378,000 jika dilupuskan pada harga semasa urusniaga pada 6 Febuari iaitu RM1.90 sesaham.


"Pun begitu, kerajaan Terengganu sudah pastinya mengalami kerugian dalam pelaburan FGV sebanyak RM43,764,750 berbanding nilai pelaburan asal RM75juta," tambah beliau.

Wednesday, 17 August 2016

Kejayaan Azizulhasni - Malulah Sikit, Jangan Nak Tumpang Semangkuk...


Rakyat Malaysia, tidak terkecuali Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang yang melakar sejarah meraih pingat gangsa berbasikal Sukan Olimpik Rio.

Sudah pasti semua pihak berbangga dengan kejayaan kejayaan Azizulhasni menerusi perlumbaan akhir Keirin lelaki itu.

Ia sangat bermakna bagi Malaysia dan Terengganu kerana anak jati Dungun itu mampu seiring dengan jaguh dunia.

Namun di sebalik itu, membaca Facebook Azizulhasni, ada sesuatu yang tidak kena dan pastinya ia sesuatu yang boleh dianggap sangat mengecewa dan ‘memalukan’.


Ini kata-kata Azizulhasni: “Kepada Menteri Besar Terengganu , Datuk Ahmad Razif . Saya dan Fatehah masih ingin mengucapkan terima kasih walaupun Datuk MB tidak berkenan untuk membantu saya  dan Fatehah dua anak jati Negeri Terengganu yang berjuang di peringkat Dunia dan Olimpik ini.

Terima kasih kerana tidak sudi membeli kan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami didalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio.

Terima kasih juga kerana tidak memberikan feedback dan membisu apabila manager saya menghubungi Tuan Menteri Besar. Untuk pengetahuan Datuk MB, Saya dan Fatehah atlet bertaraf Dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB.

Mungkin ianya adalah kerana faktor yang kami berlatih di luar negara.

Diharap Datuk MB dapat mengambil semua ini sebagai suatu yang Positif dan diharap semua ini akan membuka mata Datuk MB dan orang-orang yang sepatutnya memainkan peranan.

Walau apa jua yang berlaku, kami tetap bangga menjadi anak jati Negeri Terengganu dan kami Ganu Sokmo Bohh.”

Kenapa jadi begini?


Apakah ini menunjukkan sikap negatif kerajaan Terengganu terhadap sukan yang menyebabkan banyak pencapaian merudum akhir-akhir ini.

Amat jelas, di sebalik kejayaannya meraih pingat gangsa di temasya Olimpik Rio de Janeiro awal pagi tadi, pelumba basikal negara Azizulhasni masih 'menyimpan rasa' terhadap kerajaan Terengganu.

Azizulhasni meraih gangsa dalam saingan akhir kategori keirin di Veledrom Olimpik, awal pagi tadi.

Fatehah Mustafa adalah seorang lagi atlet berbasikal yang diharap dapat melakukan sesuatu di temasya Olimpik kali ini. Seperti Azizulhasni, Fatehah, 27, juga anak Terengganu.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila terkandas dalam acara pecut wanita pada Ahad lalu.

Dalam tulisan panjang lebar itu, Azizulhasni turut berterima kasih kepada penyokong dan keluarga yang mendoakan kejayaannya.

Walaupun ada pencapaian yang membanggakan dalam bidang sukan tertentu di Terengganu, secara puratanya, keadaan membimbangkan.

Terengganu terus ketinggalan dalam konteks pencapaian pingat di dua SUKMA lalu, bolasepak (pasukan utama negeri), lumba basikal seperti Le Tour de Langkawi, sukan kapal layar, kecuali hoki.

Dengan perkembangan terbaru dan apa yang disebut oleh Azizulhasni ini, wajarkah kerajaan Terengganu ‘menumpang semangkuk’ dengan kejayaan Azizulhasni ini?

Ahmad Razif hari ini berkata beliau yakin kejayaan Azizulhasni ini akan menjadi peniup semangat kepada pelumba berbasikal yang lain.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menyediakan insentif khas kepada untuk Azizulhasni atas kejayaan itu.


"Terima kasih Azizulhasni yang tidak pernah lelah membawa semangat Malaysia ke persada dunia. Terima kasih juga kepada semua jurulatih dan keluarganya. Rakyat Terengganu bangga dengan 'The Pocket Rocket Man'," katanya.

Saturday, 30 July 2016

SUKMA - Terengganu Hanya Di Tempat Ketiga Di Belakang Selangor, Sarawak


Acara olahraga temasya Sukma kali ini dianggap yang terbaik selepas 18 edisi penganjurannya dan pelengkapnya pasti kejayaan Khairul Hafiz Jantan (gambar atas) yang mengesahkan kedudukannya sebagai jaguh pecut negara. 

Kemampuannya meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30 saat, dengan catatan baharu 10.18s, pastinya saat yang tidak dapat dilupakan peminat olahraga terutama mereka yang hadir di Stadium Sarawak, Rabu lalu. 

Sehari kemudian wakil Melaka berusia 18 tahun itu, berjaya memadamkan rekod kejohanan acara 200m berusia 14 tahun milik Nazmizan Mohammed dari Terengganu iaitu 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah, selepas mencatat 21.14s di separuh akhir acara itu, sebelum memperbaharuinya dengan masa 21.03s, pada Jumaat.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu turut membantu pasukan Melaka memecahkan rekod kejohanan acara 4x100m dan 4x400m, masing-masing dengan catatan 39.89s dan 3:12.66s. 

Selain Khairul Hafiz, kejayaan atlet muda yang memecahkan rekod kejohanan menerusi acara lontar peluru wanita, baling tukul besi lelaki, lempar cakera lelaki, 200m wanita, 4x100m wanita, serta dekatlon turut memberi petanda masadepan yang cerah buat olahraga negara yang begitu suram sejak kebelakangan ini. 

Bekas jaguh pecut negara, Watson, 40, yang turut dikenali sebagai 'The Flying Dayak' juga mengakui acara olahraga edisi kali ini merupakan yang terbaik pernah beliau saksikan dalam temasya Sukma. 

Sesuatu yang menarik adalah jika pada era 1990-an, saingan 100m hanya membabitkan Watson dan Azmi Ibrahim, kali ini selain Khairul Hafiz, ada dua atlet iaitu Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) dan Jonathan Nyepa (Sarawak) yang mampu memberi saingan, sekali gus membuktikan Malaysia belum ketandusan bakat.

Begitu juga dengan acara 200m apabila atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmi melonjakkan nama dengan berada di kedudukan antara Khairul Hafiz dan Jonathan, dengan mengetepikan Badrul Hisyam yang terpaksa berpuasa hati di tempat keempat.

 
Namun dalam kehebatan atlet muda membuktikan kemampuan mereka di gelanggang, satu faktor yang amat menyedihkan adalah kurangnya penonton yang hadir di Stadium Sarawak. 

Ketika rekod kebangsaan 100m dileburkan petang Rabu lepas, jumlah penonton di stadium adalah kurang daripada 4,000 orang manakala tidak sampai 2,000 penonton hadir sewaktu perlumbaan akhir 200m yang dilangsungkan pagi Jumaat ketika Khairul Hafiz memburu rekod kebangsaan 48 tahun Tan Sri Dr M Jegathesan.


Ini boleh dikaitkan dengan kurangnya minat peminat sukan kepada olahraga berikutan tiadanya ikon tempatan sejak sekian lama tetapi kemunculan Khairul Hafiz, diharap mampu mengubah persepsi itu.-Bernama



Apapun, Selangor mengesahkan jua­ra keseluruhan milik mereka apabila gimnastik artistik menjadi penyelamat kontinjen negeri itu mengekalkan kedudukan teratas pungutan pingat setelah bersaing sengit dengan tuan rumah Sarawak pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) 2016, semalam.

Bagaimanapun tumpuan hari temasya pastinya terarah kepada ibu segala emas, bola sepak, yang berjaya dipertahankan oleh Perak selepas mengalahkan Wilayah Persekutuan (WP) 2-0.

Terdahulu empat pingat emas yang diraih gimnastik artistik sudah memadai buat Selangor menggondol 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa yang menjadikan pungutan keseluruhan 195 pingat.

Renang menjadi penyumbang terbesar Selangor dengan 20 emas yang juga menjadi titik penentu kepada negeri itu memintas dua pencabar terdekat iaitu Sarawak dan WP.

Atlet Selangor, Nur Eli Ellina Azmi ketika beraksi dalam disiplin 'floor excercise' acara gimnastik artistik akhir SUKMA 2016. 
Prestasi konsisten skuad me­nembak Selangor yang menjelmakan enam emas dan gimnastik artistik dengan lima pingat emas, turut mengukuhkan kedudukan mereka di persada senarai pungutan pingat.

Pada hari terakhir, semalam,  tenis menerusi beregu lelaki dan sukan pelayaran dalam acara International Event 420 turut menyumbang satu pingat emas yang sekali gus menjarakkan kedudukan berkelebihan dua emas daripada kontinjen tuan rumah.

Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua boleh berbangga dengan pungutan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa. Kontinjen Bumi Kenyalang itu membuktikan keunggulan mereka dalam sukan tenpin boling, taekwando, wusyu, silat, renang dan olahraga.

Boling muncul penyum­bang pingat emas terbesar buat ne­geri itu setelah menyapu 11 emas dalam sukan tersebut, sementara taekwando merangkul lapan emas keseluruhan.

Dalam pada itu, Terengganu ber­jaya memintas juara Sukma Perlis, dua tahun lalu WP pada hari terakhir temasya yang sekali gus menyaksikan kontinjen dari Pantai Timur tanah air tersebut mengumpul 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Atlet gimnas dari Terengganu, Zul Bahrin Mat Asri (kiri) dan Muhammad Abdul Azim Othman bersemangat selepas memenangi acara masing-masing.
Terengganu sememangnya ti­dak asing dalam sukan berbasikal apabila mereka membolot 14 emas keseluruhan yang turut menyaksikan penguasaan penuh negeri itu berbanding pencabar mereka dari Johor dan Selangor.

Memanah, menembak dan pelayaran turut membantu Terengganu memperbaiki kedudukan dalam kelompok tiga terbaik setelah sukan-sukan itu menyumbang 13 emas kesemuanya.

Kontinjen WP jatuh satu anak tangga untuk menghuni kedudukan keempat pada hari terakhir setelah mengumpul 40 emas, 44 perak dan 41 gangsa.

Tuesday, 19 July 2016

Bos Gaurus Bangkit Untuk Menang Besar Tewaskan PKNS FC 4-1

PEMAIN Perak, Xhevahir Sukaj (kanan) membuat rembatan ke arah gawang gol PKNS FC.
Pasukan Perak menampilkan kebangkitan dengan kemenangan besar 4-1 ke atas PKNS FC dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia 2016 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

The Bos Gaurus yang sebelum ini tewas 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu lepas, mempamerkan aksi bertenaga malam ini dan berada di hadapan menerusi sepakan penalti Elias Fernandes De Oliviera pada minit ke-47, sebelum Xhevahir Sukaj dan Fazrul Hazli menghukum kesilapan benteng pertahanan pasukan pelawat, masing-masing pada minit ke-50 dan 51.

Elias Fernandes terus meletakkan pasukan tuan rumah di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-64, manakala PKNS FC meraih gol tunggal menerusi Gonzolo Manuel Soto pada minit ke-89.

Pemain Perak, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri mengawal bola sebelum merembat ke gawang PKNS untuk gol ketiga Perak.
Terengganu dan T-Team pula akan beraksi malam ini di mana Terengganu akan menentang Felda United di tempat lawan, sementara T-Team akan menentang Kedah di tempat sendiri iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Perlawanan yang turut dijangka menarik malam ini ialah Kelantan menentang Selangor di Shah Alam.

Kuala Lumpur pula semalam mencipta kejutan dalam Kumpulan B Piala Malaysia apabila membenam Pahang 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Ismail Zakaria itu muncul pendahulu Kumpulan B untuk sekurang-kurangnya 24 jam kerana satu lagi perlawanan, Selangor dan Kelantan hanya akan berlangsung esok.

Penjaga Gol Kuala Lumpur Soffuan Tawil berjaya menghalang tandukan pemain Pahang FC Matthew Thomas Daviesdi Stadium Selayang.

Menentang pasukan Tok Gajah yang beraksi dalam Liga Super, The Hawks nyata berada dalam kelas yang tersendiri apabila mereka lebih banyak mencipta peluang dan menguasai permainan meskipun merehatkan lima tonggak mereka pada aksi itu.
 Skuad ibu kota menjaringkan gol menerusi Leonardo Moreira pada minit ke-10 diikuti Jonathan Zorrila pada minit ke-53. 

Dalam satu lagi saingan Kumpulan C, JDT sekadar seri 1-1 menentang PDRM, hasil gol sendiri pemain lawan, K Reuben pada minit ke-70, sebelum Safuwan Baharudin menyamakan kedudukan untuk PDRM pada masa tambahan, di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Turut meraih kemenangan pertama ialah Negeri Sembilan yang menewaskan Melaka 3-2 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

R Aroon Kumar (kiri) bersaing merebut bola dengan R Surendran (kanan).
Biarpun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Yashir Armando Pinto pada minit ke-12, pemain import tuan rumah, Alexender Moreton Smith bertindak cemerlang apabila menyumbat masuk dua gol pada minit ke-26 dan 37.

Walaupun Negeri Sembilan beraksi dengan 10 pemain selepas Hariri Safii dilayangkan kad merah kerana mengasari Yashir Armado pada minit ke-32, semangat pasukan tuan rumah tidak luntur dan mereka memperoleh gol ketiga menerusi Henrique De' Silva pada minit ke-39.

Pada separuh masa kedua, Melaka merapatkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 melalui Ferris Danial.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pula menyaksikan Johor Darul II terikat 0-0 ketika menerima kunjungan Sarawak dalam saingan Kumpulan A.

Sunday, 10 July 2016

Krisis Air - Pemimpin PAS Terengganu ‘Senyap Jer’, Di Kedah Sampai Buat Petisen


Di Terengganu agaknya ‘orang PAS’ semua dapat bekalan air ketika Aidilfitri kali ini kerana itu mereka diam membisu.

Sanak saudara mereka pastinya dapat bergembira kerana bekalan air sampai ke rumah mereka, bukan seperti rumah orang UMNO, sehingga ada pemimpin yang membuka mulut marahkan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

Kalau tidak, percayalah, ‘mulut-mulut celupar yang sering bersuara entah apa-apa itu’ akan terbuka luas.

Akan keluarlah berbagai kenyataan, terutamanya melalui media rasminya Buletinonline. Tetapi shingga 10 malam ini, tiada aduan 'pong'.

Mungkin rumah ADUN Bukit Payong dan ADUN Bukit Tunggal tidak terjejas.

Mungkin juga di Marang, di rumah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan di Paka, rumah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat juga ‘ok’.

Begitu juga di Kuala Nerus dan Kemaman, nampaknya Ahli Parlimen Kuala Nerus. Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dan ADUN Chukai, Hanafiah  Mat tidak bising ‘pong’.  Lagi pun di Kuala Nerus dalam kawasan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang di Kuala Terengganu, rumah orang PAS tidak ada air, mereka peduli apa!

Lantak kamulah, pandai-pandailah menyesuaikan diri.

Tidak seperti di Kedah, Dewan Pemuda Pas Kedah melancarkan mobilisasi petisen online dalam usaha mengumpul sokongan rakyat selain menyuarakan hasrat rakyat berhubung krisis air di Kedah yang dikatakan meruncing sepanjang musim perayaan.  

Petisen yang dilancarkan semalam berjaya mendapatkan 314 tandatangan setakat 3.40 petang hari ini.        

Ketua Penerangannya, Nurul Amin Hamid (kanan) berkata, pihaknya turut melancarkan memorandum tuntutan rakyat berkaitan isu bekalan dan kualiti air yang berulang saban tahun sehingga menyukarkan penduduk.  
       
“Reaksi kerajaan negeri setiap kali masalah ini berlaku ibarat melepas batuk di tangga, pelbagai alasan diberikan selain menuding jari kepada agensi berkaitan untuk meredakan kemarahan rakyat, namun gagal menambah baik pengurusan dan sistem bekalan air,” katanya.    
   
Menurutnya, kekecewaan rakyat Kedah tidak dapat dibendung lagi terutama ketika sambutan Aidilfitri yang diraikan dengan penuh kesulitan berdepan masalah itu.         

“Satu memorandum menuntut lima perkara yang turut disertakan pada petisyen itu meminta, kerajaan negeri bertanggung jawab atas kesusahan rakyat ketika Aidilfitri selain menggesa elaun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (Sada) dipotong sehingga masalah perkhidmatan bekalan air diselesaikan,” katanya. 
        
Nurul Amin berkata, tuntutan lain termasuk menggesa Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim meletakkan jawatan serta-merta kerana didakwa gagal menangani isu berkenaan.   
      
“Turut disarankan mengadakan konsultasi awam bersifat lebih terbuka dalam melihat masalah secara kritikal serta mencari jalan penyelesaian segera menangani krisis bekalan dan kualiti air,” katanya. 
       
Menurutnya, pihaknya juga meminta kerajaan negeri mengumumkan penggunaan peruntukan pusat dalam membaik pulih serta menaik taraf infrastruktur air seperti saluran paip, loji rawatan, tangki simpanan, peralatan mekanikal dan berkaitan.

“Kami mahu kerajaan negeri dedahkan kadar simpanan air di empangan-empangan di Kedah, apa masalahnya sehingga simpanan air belum mencukupi untuk dibekalkan untuk kegunaan rakyat Kedah,” katanya.

Tuntutan lain termasuk inisiatif kerajaan negeri melakukan jangkaan masa hadapan berkenaan isu air di Kedah dan membuat persiapan bersepadu dari semua aspek.

“Data perolehan krisis air pada masa lalu boleh dijadikan petunjuk terhadap keperluan air mengikut daerah dan musim. Krisis lalu harus dijadikan pengajaran dan berusaha menanganinya agar masalah sama tidak berulang,” katanya.

Nurul Amin berkata, pihaknya juga bercadang mengadakan pertemuan dengan pimpinan negeri dan Sada untuk berbincang secara telus, selain berkongsi idea ke arah kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri seolah-olah tidak mengambil iktibar dan petunjuk daripada pengalaman lalu. Data kadar penggunaan air musim perayaan lalu tidak dijadikan panduan untuk persediaan bekalan dan menambahbaikkan sistem agihan,” katanya.


Menurutnya, sekiranya tiada tindakan segera, masalah ini pasti berulang lagi dan sampai bilakah rakyat Kedah terpaksa berdepan kesukaran setiap kali menjelang Aidilfitri.

Monday, 13 June 2016

Polis Terengganu Bantu Balu, Pesara Sepanjang Ramadan

Rosli (tengah) bersama pegawai dan anggota polis Terengganu.
Polis Terengganu merancang membantu meringankan beban golongan balu dan pesara anggota polis di pelbagai daerah sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata sebelum ini pihaknya memberi fokus kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim namun setelah mengambil kira keadaan semasa, beliau berhasrat memperluaskannya kepada golongan lain.

"Setiap tahun kita akan menyampaikan bantuan dan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa...walaupun kami sibuk bertugas demi menjaga keselamatan namun kami tetap tidak lupa bagi membantu dan meringankan mereka yang memerlukan.

"Selain anak yatim dan OKU, kita juga akan membantu golongan pesara dan balu polis...ia sedikit sebanyak dapat membantu meringan beban yang ditanggung mereka," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan warga polis di Kuala Terengganu, malam semalam.

Rosli berkata bantuan yang dihulurkan adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota polis di seluruh negeri ini.

Pada majlis berkenaan seramai 30 anak yatim dari dari Darul Akhyar, Batu Rakit dan 10 OKU yang terdiri daripada anak anggota diraikan pada majlis berbuka puasa bersama warga Polis Terengganu.


Menurut Rosli program sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat selari dengan konsep polis bersama masyarakat.

Sunday, 29 May 2016

Tahniah - Terengganu Juara Piala Tun Razak Tundukkan PDRM


Dua jaringan Faizal Shaari serta Akhimullah Anuar Esook membolehkan Terengganu muncul juara Divisyen 1 Piala Tun Razak, selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Hoki Nasional, di Bukit Jalil, malam tadi. 

Selepas PDRM, pasukan yang baru masuk ke saingan Divisyen 1, berjaya mengikat kedudukan 0-0 sehingga waktu rehat, segalanya berubah sebaik Faizal menemui sentuhan jaringannya bermula dengan gol hasil pukulan sudut penalti minit ke-41.

Faizal kemudian mengukuhkan kedudukan menerusi gol padang 11 minit selepas itu sebelum Muhd Akhimullah Anuar Esook menguburkan impian PDRM dengan jaringan ketiga Terengganu, lima minit kemudian.

"Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini tapi yang lebih membanggakan ialah dua gol Terengganu adalah melalui gol padang.

"Pada separuh masa pertama, dua-dua pasukan bermain dengan sangat berhati-hati tapi selepas gol pertama Faizal, baru kita nampak peluang semakin terbuka untuk menang.

"Kami juga mula memberi tekanan kepada lawan. Saya rasa kerja keras dan kesungguhan pemain yang mengikut arahan memastikan kemenangan kami malam ini," kata jurulatih Terengganu, Sarjit Singh.

Ini merupakan kali kedua Terengganu muncul juara kejohanan ini selepas kali pertama pada 2012.

Kemenangan itu juga meleburkan impian jurulatih PDRM, Gurmeet Singh mencuri tumpuan daripada Sarjit kerana sebelum ini beliau adalah penolong jurulatih skuad kebangsaan ketika ia dikendalikan pengendali Terengganu itu.

Sebagai juara, Terengganu menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan pingat manakala PDRM menerima wang tunai berjumlah RM7,000 dan pingat.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir Divisyen 2, Pulau Pinang menang 3-2 ke atas Perlis melalui aksi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 4-4.

Tiga gol Pulau Pinang diperoleh menerusi Muhammad Azrul Hasbullah, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Rashid Baharom manakala Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menyempurnakannya untuk Perlis.

Dalam kategori wanita pula, pasukan Pahang muncul juara selepas menang 4-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui gol yang dihasilkan Nuraini Abdul Rashid (m22, 47), Noorain Mohd Arshad (m23) dan Wan Nor Faiezah Md Saiuti (m40).

Wednesday, 27 April 2016

Ketua Pembangkang DUN Terengganu 'Tak Ada Telor'?


Oleh  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu)     
  
Saya tidak membuat ulasan kemelut Terengganu walau beberapa kali ditanya hingga keadaan menjadi lebih tenang. Situasi Terengganu agak lebih kompleks daripada apa yang dijangka.

Pelucutan gelaran kebesaran menteri besar Terengganu walaupun mungkin tidak ada kaitan dengan pergolakan politik tempatan, merupakan situasi terkini yang hangat dialami.

Saya telah mengulas tentang perlunya kerajaan negeri menjadi stabil apabila usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru baru ini.

Malangnya ada pihak tertentu menempelak cadangan saya supaya pilihan raya negeri diadakan.

Sebenarnya usul undi tidak percaya itu dibenarkan mengikut perlembagaan.

Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri juga diadakan!


Sejak Datuk Seri Ahmad Said digugurkan sebagai menteri besar oleh Datuk Seri Najib Razak, politik Umno Terengganu bergolak hebat.

Dari segi parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak percaya dahulu lagi parah.

Pada masa itu, daripada segi teorinya, Ahmad Said yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" daripada kerajaan kerana menentang parti.

Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk kerajaan berfungsi.
Tumpang masalah pihak lain.

Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri diadakan.

Keadaan bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan situasi kembali tenang buat sementara.

Situasi sekarang antara istana dan menteri besar dan bukan tidak melibatkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi di DUN dengan komposisi 17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran menteri besar yang juga masih daripada BN.

Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia kononnya untuk menghadapi pilihan raya negeri?

Adakah sekadar menumpang atas isu dan masalah pihak lain. Melainkan Umno Terengganu bergolak hebat, semula itulah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini dan jangan emosi.

Jika hendak bertindak, sepatutnya semasa usul undi tidak percaya dahulu.

Memang diakui Umno bergelora di peringkat pusat dengan masalah Najib dengan timbalan, naib serta bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad serta pengikut-pengikut mereka.

Masalah di pusat sudah tentu akan menjejaskan kedudukan menteri besar Terengganu yang dipilih Najib.

Ini semua menyusahkan rakyat Terengganu dan perlu dicari penyelesaian atau diadakan pilihan raya semula.

Rakyat Terengganu yang menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit Malaysia menjadi mangsa dan menanggung pelbagai derita.

Situasi penuh ketidaktentuan ini harus berakhir demi kesejahteraan rakyat.

Pihak kerajaan dan pembangkang harus memainkan peranan mereka demi masa depan rakyat Terengganu.

Kemelut Umno Terengganu telah lama berlaku dan menjadi lebih ketara selepas Ahmad Said diganti dengan menteri besar sekarang.

“Ramai yang berminat menjadi menteri besar Terengganu, maklumlah bajet tahunan melebihi RM2 bilion setahun dengan penduduk hanya 1 juta berbanding dengan Selangor sekitar RM1.5 billion tetapi penduduk 4.5 juta!

Sangat lumayan habuannya tetapi sejak minyak ditemui 40 tahun dahulu, di Terengganu, rakyat terus menjadi antara tiga negeru termiskin dan kerajaan negeri terus bermewah-mewah.

“Kerana itu Umno negeri terus bergolak merebut kuasa dan kekayaan duit minyak”.

Jika pertukaran menteri besar berlaku, ia belum tentu akan berakhir kerana pergolakan Umno pusat sedang hebat membara!

Kalau pertukaran menteri besar Terengganu juga berlaku, ia hanya akan meredakan keadaan hanya untuk beberapa ketika.


Bukan hanya Terengganu, seluruh negara menghadapi dugaan yang amat hebat.

Monday, 19 November 2012

UPSR - Terengganu Terus Ungguli Pencapaian Cemerlang

Zakaria mengumumkan pencapaian pelajar Terengganu dalam peperiksaan UPSR - Gambar Haris Fadzillah
Terengganu terus mengekalkan kesinambungan kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila pencapaian calon di seluruh negeri berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10.


Calon Berkerperluan Khas ( CBK ) Nor Azira Nawa gembira menunjukkan keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2012 di Sekolah Kebangsaan Durian Mas II Dungun di Kuala Terengganu hari in.
Pencapaian minimum gred C dan cemerlang semua A bagi semua mata pelajaran turut mengatasi nasional, masing-masing mencatat 0.17 peratus dan 4.28 peratus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin, berkata enam mata pelajaran berjaya mengatasi pencapaian nasional berdasarkan perbandingan Gred Purata Mata Pelajaran Negeri dengan Gred Purata Mata Pelajaran Nasional.


“Enam mata pelajaran yang mengatasi pencapaian nasional adalah bahasa Melayu (Pemahaman) (SK) (0.06), bahasa Melayu (Penulisan) (SK), bahasa Melayu (Pemahaman) (SJKC) (0.04), bahasa Inggeris (SK)(0.06), bahasa Inggeris (SJKC) (0.08) dan Sains (0.17).

“Walaupun pencapaian negeri merosot sedikit dengan GPN menurun 0.07 daripada 2.14 (2011) kepada 2.21 tahun ini, peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik dengan minimum Gred C, iaitu tidak termasuk semua A bagi semua subjek meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.54 peratus pada tahun lalu kepada 57.11 peratus tahun ini,” katanya..

Beliau menyatakannya demikian mengumumkan analisis keputusan UPSR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, pagi ini. Hadir sama, Ketua Sektor Akademik JPNT, Zubir Embong. Zakaria berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu daripada 15.56 peratus pada 2011 kepada 13.22 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, peratusan calon yang memperolehi pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum meningkat sebanyak 1.16 peratus, daripada 2.35 peratus (2011) kepada 3.51 peratus (2012).


Seramai 23,196 murid merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta yang menduduki UPSR seluruh Terengganu tahun ini .

teganuku