Showing posts with label Kemelut. Show all posts
Showing posts with label Kemelut. Show all posts

Thursday, 4 August 2016

Apabila TTB Menjadi ‘Tranung Terus Bolok’, Di Mana UMNO dan BN?


Analisis tiga bahagian mengenai kemelut politik Terengganu, kedudukan Menteri Besar dan kemungkinan pilihan raya kecil negeri (PRN).

Bahagian Pertama:

Di Terengganu sekarang, ramai bangga menggunakan plat kereta ‘TTB’. Poster TTB pula di mana-mana.

Ada melihatnya dengan bangga tetapi ada ada melihatnya dengan sinis.

Kenapa demikian?  TTB bukan sahaja kini dikenali dengan ‘Transformasi Terengganu Baharu’, slogan diperkenalkan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman tetapi juga dengan berbagai istilah..

Ada menyebutnya sebagai ‘Tranung Terus Bolok’ (Terengganu Terus Bercelaru), 'Teganu Tengah Bolok' serta “Tuanku Tarik Balik’. Yang terakhir ini berkaitan dengan penarikan pingat Datuk dan Datuk Seri yang dianugerahkan kepada Ahmad Razif sebelum ini.

Ia sudah menjadi mainan di bibir sesetengah pemimpin dan rakyat yang mempersenda slogan diperkenalkan oleh Ahmad Razif itu.

Ia menggambarkan senario politik terkini dan bagaimana berbagai isu kini menghantui kepimpinan dan pentadbiran semasa Menteri Besar itu.

Jika di dalam UMNO, pertelingkahan berlaku antara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahmad Razif, antara ADUN Ajil, Ghazali Taib dan Ahmad Razif serta ADUN Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Ghazali, Ahmad Razif juga kini mendapat kritikan daripada pembangkang.

Semalam kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail melalui Facebooknya menyerlahkan betapa pertelingkahan yang belaku di bumi Terengganu ini akan mendatangkan kesan yang sukar untuk dibaca untuk ketika ini.

Sukar membaca pemikiran Azan tetapi beberapa pilihan dikemukakan oleh beliau wajar untuk diberikan analisis dengan kedudukan kini apabila bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang ialah Barisan Nasional 17 dengan 14 kerusi milik PAS dan 1 kerusi PKR yang diwakili Azan di DUN Bandar.

 Azan mendapat maklumat bahawa kini ada sebanyak sembilan (9) ADUN BN menyatakan hilang kepercayaan kpd Menteri Besar. Ini bermakna daripada 15 ADUN Barisan Nasional (tidak termasuk Menteri Besar), yang menyokong Ahmad Razif kini hanya enam (6) sahaja.

Apa maknanya ini pada ketika kedudukan Ahmad Razif dilihat goyah kerana selain isu sokongan, dua lagi isu menghantui Ahmad Razif:

1.      Segala pingat darjah kebesaran dilucutkan; dan

2.      Ahmad Razif sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri gagal mendapat sokongan daripada Majlis Tertinggi UMNO untuk memecat Ahmad Said daripada UMNO.

Ini menunjukkan bahawa pendirian istana sukar dibaca mengenai kedudukan Ahmad Razif.
Selain itu, formula Ahmad Razif untuk mengatasi kemelut politik Terengganu tidak diterima oleh kepimpinan tertinggi parti dan kepimpinannya dinafikan oleh kepimpinan tertinggi di Ibu Pejabat UMNO, PWTC dan juga pentadbiran Putrajaya.


Jadi apa pilihan yang ada pada Ahmad Razif sekarang?

Menurut pemikiran Azan, seorang akauntan dan pernah menjadi Ahli Parlimen sepenggal bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota, Razif tidak banyak pilihan sebenarnya.

Pertama, meletakkan jawatan secara berseorangan di mana lantikan baru dibuat segera; dan

Kedua, memohon menghadap Sultan Terengganu untuk mendapat perkenan perkenan dibubarkan  DUN bagi pilihan raya negeri (PRN).

Namun, cara kedua ini turut mempunyai dua kemungkinan – (a) Sultan Terenganu perkenan dan DUN dibubarkan utk PRN, juga (b)Tidak perkenan yang dengan secara automatik menyebabkan Menteri Besar dan EXCO perlu melepaskan jawatan.

Berikutan ini, akan ada pemilihan Menteri Besar baharu dan pengundian akan dijalankan.

Azan hanya meramalkan bahawa salah satu daripada situasi akan berlaku dengan tempoh yang segera dan pastinya akan memberi peringatan bahawa MERUGIKAN RAKYAT DAN NEGERI TERENGGANU SECARA KESELURUHANNYA, jika tidak ditangani dengan baik.



Bersambung esok

Wednesday, 27 April 2016

Ketua Pembangkang DUN Terengganu 'Tak Ada Telor'?


Oleh  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu)     
  
Saya tidak membuat ulasan kemelut Terengganu walau beberapa kali ditanya hingga keadaan menjadi lebih tenang. Situasi Terengganu agak lebih kompleks daripada apa yang dijangka.

Pelucutan gelaran kebesaran menteri besar Terengganu walaupun mungkin tidak ada kaitan dengan pergolakan politik tempatan, merupakan situasi terkini yang hangat dialami.

Saya telah mengulas tentang perlunya kerajaan negeri menjadi stabil apabila usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru baru ini.

Malangnya ada pihak tertentu menempelak cadangan saya supaya pilihan raya negeri diadakan.

Sebenarnya usul undi tidak percaya itu dibenarkan mengikut perlembagaan.

Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri juga diadakan!


Sejak Datuk Seri Ahmad Said digugurkan sebagai menteri besar oleh Datuk Seri Najib Razak, politik Umno Terengganu bergolak hebat.

Dari segi parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak percaya dahulu lagi parah.

Pada masa itu, daripada segi teorinya, Ahmad Said yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" daripada kerajaan kerana menentang parti.

Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk kerajaan berfungsi.
Tumpang masalah pihak lain.

Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri diadakan.

Keadaan bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan situasi kembali tenang buat sementara.

Situasi sekarang antara istana dan menteri besar dan bukan tidak melibatkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi di DUN dengan komposisi 17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran menteri besar yang juga masih daripada BN.

Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia kononnya untuk menghadapi pilihan raya negeri?

Adakah sekadar menumpang atas isu dan masalah pihak lain. Melainkan Umno Terengganu bergolak hebat, semula itulah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini dan jangan emosi.

Jika hendak bertindak, sepatutnya semasa usul undi tidak percaya dahulu.

Memang diakui Umno bergelora di peringkat pusat dengan masalah Najib dengan timbalan, naib serta bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad serta pengikut-pengikut mereka.

Masalah di pusat sudah tentu akan menjejaskan kedudukan menteri besar Terengganu yang dipilih Najib.

Ini semua menyusahkan rakyat Terengganu dan perlu dicari penyelesaian atau diadakan pilihan raya semula.

Rakyat Terengganu yang menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit Malaysia menjadi mangsa dan menanggung pelbagai derita.

Situasi penuh ketidaktentuan ini harus berakhir demi kesejahteraan rakyat.

Pihak kerajaan dan pembangkang harus memainkan peranan mereka demi masa depan rakyat Terengganu.

Kemelut Umno Terengganu telah lama berlaku dan menjadi lebih ketara selepas Ahmad Said diganti dengan menteri besar sekarang.

“Ramai yang berminat menjadi menteri besar Terengganu, maklumlah bajet tahunan melebihi RM2 bilion setahun dengan penduduk hanya 1 juta berbanding dengan Selangor sekitar RM1.5 billion tetapi penduduk 4.5 juta!

Sangat lumayan habuannya tetapi sejak minyak ditemui 40 tahun dahulu, di Terengganu, rakyat terus menjadi antara tiga negeru termiskin dan kerajaan negeri terus bermewah-mewah.

“Kerana itu Umno negeri terus bergolak merebut kuasa dan kekayaan duit minyak”.

Jika pertukaran menteri besar berlaku, ia belum tentu akan berakhir kerana pergolakan Umno pusat sedang hebat membara!

Kalau pertukaran menteri besar Terengganu juga berlaku, ia hanya akan meredakan keadaan hanya untuk beberapa ketika.


Bukan hanya Terengganu, seluruh negara menghadapi dugaan yang amat hebat.

Friday, 15 October 2010

UMNO Terengganu kembali bertaut, bersatu?

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin
Berita Harian 14 Oktober 2010


BIASANYA selepas terbabit kemalangan, seluruh sendi dan anggota tubuh menjadi lesu dan usaha pemulihan menjadi satu proses yang jerih dan cukup meletihkan. Tiada siapa pernah menginginkan kemalangan, justeru selepas ia banyak terjadi, mula membuka naskhah dan bersurih bagaimana ia terjadi dan salah-menyalah mula menjengah.

Dalam nada hampir sama, itulah keadaan yang menimpa UMNO Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008. Mujurlah tiada penumpang yang terbunuh, tetapi luka dan kejutan berikutan pertukaran ‘pemandu’ secara tiba-tiba menyebabkan ramai yang tidak sedia menerima hakikat dan perbalahan terjadi.

Bagaimanapun, seiring lumrah alam, akan sampai satu peringkat semua yang terbabit ‘letih’ untuk terus bertelagah, diikuti tempoh bertenang, bak biduk berlaku kiambang bertaut.
Seperti disebut Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, selepas ‘kemalangan’ pada 2008, jentera kita rosak teruk, lama kita nak baiki dan selepas setahun proses pemulihan, kereta kita kini sudah sedia untuk jalan laju. Sekarang kita nak buang fobia orang ramai kita masih berpecah kerana kini kita sudah bersatu.

Justeru, ‘panglima perang’ dari Hulu Terengganu yang dikurniakan personaliti lemah lembut dan menyejukkan hati orang sekeliling ini, memanfaatkan kelebihannya itu untuk menjadi pendamai menerusi pendekatan memujuk dan seruan kebersamaan. Memang terlihat beliau tidak menghampakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussin sejak setahun menggalas tanggungjawab itu.

Hasilnya, akui Tengku Putera, semua 28 wakil rakyat UMNO daripada 32 kerusi DUN negeri ini dikatakan kembali bersatu dan sudah menyarung pedang perang masing-masing.

Begitupun, ramai kalangan pemerhati dan veteran parti yang curiga keadaan itu mungkin sekadar drama ketika ini, akibat sudah letih terlalu lama berperang. Siapa tahu apa sebenarnya, hanya keadaan menentukan.

Dalam senyap sejak setahun lalu proses pengukuhan parti dilaksanakan, jentera UMNO negeri sedia mara ke hadapan. Begitupun, tempoh pemulihan yang begitu lama, kesenyapan dalam gerakan menyebabkan parti dilihat lesu dan tidak bermaya untuk meraih sokongan, apatah lagi untuk mengharungi pilihan raya umum akan datang.

Jika ketika UMNO negeri tewas kepada PAS pada 1999, selepas itu terlihat wujud gerakan yang cukup bersemangat untuk merampas kembali negeri terutama gagasan ‘Gelombang Biru’ ketika itu. Transformasi ketika itu ternyata berkesan menyentuh gerak rasa dan kesedaran rakyat untuk bersama UMNO kembali merampas negeri yang ditadbir PAS ketika itu. Hasilnya, Terengganu kembali dikuasai BN pada 2004. Roh gerakan itu juga dapat mempertahankan UMNO terus menguasai pentadbiran pada 2008.

Bagaimanapun, ‘kemalangan’ selepas itu merubah keadaan. Pelantikan Datuk Ahmad Said (sekarang Datuk Seri) sebagai Menteri Besar mengalihkan teraju Datuk Seri Idris Jusoh menyebabkan wujud kumpulan wakil rakyat yang menjauhkan diri daripada Ahmad. Dalam tempoh setahun selepas itu wujud pelbagai pergeseran nyata, hingga kemuncaknya terjadi peristiwa memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April 2009 oleh sekumpulan 10 wakil rakyat. Timbul juga kisah tiga ADUN menerima SMS ancaman bunuh supaya tidak hadir sidang DUN itu.

Lantaran pergolakan yang berterusan hingga mengganggu tumpuan Ahmad memacu negeri, pucuk pimpinan parti mengumumkan perubahan jawatan pengerusi badan perhubungan di lima negeri termasuk Terengganu yang diserahkan kepada Hishammuddin, manakala Ahmad menjadi timbalannya. Begitupun, keadaan dilihat tidak banyak berubah terutama apabila kaedah Naib Presiden itu dikatakan terlalu senyap hingga tidak terkesan di hati ahli dan rakyat.

Kini, sinar di hujung terowong sudah bermula buat UMNO Terengganu dan ia akan diterjemahkan menerusi konvensyen; ‘Teganu Kite: Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ pada Sabtu ini yang mana ucaptama perasmian akan disempurnakan Hishammuddin, manakala penggulungan oleh Ahmad.

Konvensyen mengumpulkan lebih 1,200 ahli serta wakil jemputan itu disasar menjelmakan kesan besar, penyatuan dalam perjuangan UMNO negeri, sekali gus mengubah terus persepsi masyarakat negara ini selama ini yang melihatnya sebagai berpecah dan lemah.

Persepsi itu sesungguhnya memberi impak besar hingga ramai yang tidak yakin UMNO akan terus bertahan di negeri ini, meskipun Ahmad sudah membuat yang di luar biasa dalam kuasanya sebagai ketua eksekutif negeri untuk ‘menguasakan’ rakyat negeri ini untuk merasai terus nikmat daripada kemakmuran kewangan negeri.

Projek yang dilaksanakan beliau, dirumus khusus untuk memberi impak dan limpahan langsung kepada rakyat termasuk e-book, pembinaan rumah rakyat, prasarana asas, pembangunan perbandaran dan langkah mengupayakan ekonomi negeri dalam bidang pelancongan sebagai persediaan mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum.

Begitupun, kelesuan UMNO negeri menyebabkan kebimbangan menebal, apatah lagi kajian pihak berkenaan mendapati penerimaan rakyat terhadap parti pemerintah itu masih sekitar 48 peratus saja.

Kelesuan jentera UMNO negeri yang terlihat berpecah belah dengan pelbagai isu dalaman terutama di Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun hampir tidak menampakkan usaha Hishammuddin di negeri ini berbekas. Keadaan itu dimanfaatkan sebaik mungkin PAS yang sebenarnya tidak kuat, tetapi dengan gerakan tersusun termasuk siri ceramah berterusan, malah sudah mula memperkenalkan barisan calon, hingga dakyahnya meninggalkan kesan kepada penduduk terutama di kawasan bandar.

Sehubungan itu, ramai juga yang optimis konvensyen ini akan menjadi wadah besar menstabilkan parti dan mengorak penyatuan yang akan merealisasikan strategi yang dicatur Hishammuddin dalam senyap sebelum ini. Keadaan ini diakui sayap parti. Seperti diutarakan Ketua Pemuda negeri, Saiful Bahari Baharuddin, penyatuan dan pengukuhan parti penting bagi mengekal dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO seperti digariskan Hishammuddin.

"Selaku Pengerusi UMNO negeri, beliau sudah menunjukkan hala tuju yang jelas. Jadi, semua wakil rakyat mesti bekerja bersama rakyat dan melupakan perbalahan dalaman serta mengutamakan agenda parti," katanya sambil menambah pergerakan dengan lebih 70,000 itu melihat krisis dalaman UMNO negeri sudah kendur dan penyatuan sudah bermula.

Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Datuk Fatimah Hamat pula menyifatkan strategi yang disusun Hishammuddin adalah gerakan kemas dan halus yang dapat meraih keyakinan dan penerimaan setiap kumpulan.

"Kini sampai masanya gerakan diuar-uarkan dan Wanita yang tidak pernah goyah akan memainkan peranan membantu mengembalikan semangat dan agenda perjuangan parti seperti sebelum ini."

Bagi Ketua Puteri UMNO negeri, Asfalinda Anuar, berkata pergerakan dengan 39,000 ahli itu antara yang terkuat di negara ini dan mereka nampak apa dilaksanakan Hishammuddin, akan membantu dengan melipatgandakan usaha memulihkan bahagian yang tercalar akibat pergeseran segelintir kepemimpinan parti.

Selepas dua tahun bergolak dan setahun dalam proses pengukuhan, UMNO Terengganu tidak mempunyai masa panjang lagi untuk membuat lonjakan yang diperlukan menuju PRU-13. Bermula dengan konvensyen yang akan menjadi wadah negeri ke Perhimpunan Agung UMNO minggu depan, diikuti retreat pada November dan 'trial' atau simulasi pilihan raya pada April depan, gerakan penyatuan 265,000 ahli UMNO negeri untuk mengajak keseluruhan 530,000 pengundi sepatutnya sudah lama bermula.

UMNO negeri sudah mula melakukan sesuatu untuk mendapat petunjuk ia diterima majoriti rakyat. Seperti yang dikatakan Tengku Putera, selepas proses penyatuan dan pengukuhan, sekarang adalah masa UMNO negeri merumus kaedah supaya rakyat tidak benci kepada parti. Setiap gerakan dibuat untuk menunjukkan UMNO yang mentadbir negeri ikhlas membangunkan negeri dan bukannya gimik politik semata-mata.


Kesedaran beliau memang sangat berasas kerana dengan tempoh yang berbaki semakin singkat, janganlah kesedaran untuk bersatu di kalangan pemimpin UMNO negeri hanya timbul selepas ‘kemalangan maut’ dalam PRU-13 dan barulah ketika itu mereka akan membuat gerakan 'Gelombang Biru II'. Ketika itu mungkin semua sudah terlambat.