Showing posts with label Bantu. Show all posts
Showing posts with label Bantu. Show all posts

Monday, 13 June 2016

Polis Terengganu Bantu Balu, Pesara Sepanjang Ramadan

Rosli (tengah) bersama pegawai dan anggota polis Terengganu.
Polis Terengganu merancang membantu meringankan beban golongan balu dan pesara anggota polis di pelbagai daerah sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata sebelum ini pihaknya memberi fokus kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim namun setelah mengambil kira keadaan semasa, beliau berhasrat memperluaskannya kepada golongan lain.

"Setiap tahun kita akan menyampaikan bantuan dan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa...walaupun kami sibuk bertugas demi menjaga keselamatan namun kami tetap tidak lupa bagi membantu dan meringankan mereka yang memerlukan.

"Selain anak yatim dan OKU, kita juga akan membantu golongan pesara dan balu polis...ia sedikit sebanyak dapat membantu meringan beban yang ditanggung mereka," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan warga polis di Kuala Terengganu, malam semalam.

Rosli berkata bantuan yang dihulurkan adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota polis di seluruh negeri ini.

Pada majlis berkenaan seramai 30 anak yatim dari dari Darul Akhyar, Batu Rakit dan 10 OKU yang terdiri daripada anak anggota diraikan pada majlis berbuka puasa bersama warga Polis Terengganu.


Menurut Rosli program sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat selari dengan konsep polis bersama masyarakat.

Sunday, 8 May 2016

Kerajaan Negeri, PDRM Janji Bantu Keluarga Ahmad Sobri

Fauziah Musa menyiram air ke atas pusara anaknya Allahyarham Lans Koperal Ahmad Sobri Harun yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah di Kampung Bukit Chempaka hari ini.
Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga Lans Koperal Ahmad Sobri Harun, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lepas.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata seorang ahli keluarga Allahyarham telah memohon bantuan kerajaan negeri untuk memudahkan pertukaran kakak mangsa yang bertugas di Pulau Pinang ke negeri ini.

Katanya, permohonan itu dibuat bagi membolehkan kakak Allahyarham menjaga ibu bapa mereka yang telah tua dan tidak sihat memandangkan sebelum ini Allahyarham kerap bersama mereka apabila berkelapangan.

“Saya akan cuba berbincang dengan Menteri terbabit,” kata Ahmad Razif ketika berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk bersama menyambut jenazah Ahmad Sobri yang tiba dari Kuching, pukul 6.20 pagi tadi.

Ahmad Razif turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahmad Sobri dan berharap mereka tabah melalui dugaan kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada keluarga Ahmad Sobri.

“Antaranya bantuan dari Tabung Amanah Perwira, duit tabung kebajikan sukan dan sosial serta pampasan insuran,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri serta penduduk kampung yang membantu melancarkan urusan pengkebumian Allahyarham.


Allahyarham berkhidmat di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman setelah tamat latihan polis pada 28 Dis 2012, dan bertugas sebagai pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu.

Mayat Ahmad Sobri ditemui terapung di Sungai Batang Lupar, pada pukul 12.04 tengah hari semalam, kira-kira satu kilometer daripada mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dijumpai.

Allahyarham Ahmad Sobri, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak Khamis lepas, dibawa dengan pesawat Charlie C130 diiringi bapanya, Harun Muda dan ibunya, Fauziah Musa serta tiga adik beradiknya.

Jenazah Ahmad Sobri, 26, anak keempat daripada lima beradik kemudiannya disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Bukit Cempaka, di Kuala Nerus.

Ketika di lapangan terbang, suasana pilu menyelubungi perkarangan tempat menunggu dan hampir 200 orang termasuk ahli keluarga dan Menteri Besar sedia menunggu sejak awal pagi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman turut mengiringi jenazah yang diberi penghormatan mengikut tradisi polis.

Ahmad Razif dan Rosli juga menyertai orang ramai untuk solat jenazah sebelum Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah di Kuala Nerus pada pukul 8.20 pagi.


Allahyarham yang bertugas sebagai pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu, berkhidmat di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman setelah tamat latihan polis pada 28 Dis 2012.