Showing posts with label Kontraktor. Show all posts
Showing posts with label Kontraktor. Show all posts

Sunday, 28 August 2016

Projek ‘Steam Boiler’ Kerteh - 16 Kontraktor Rayu Bayaran Disegerakan...

Sebahagian kontraktor yang hadir pada sidang media Jumaat lalu.
Banyak pihak yang perlu menjawab isu yang dikemukakan oleh 16 kontraktor pembinaan kilang dandang wap (steam boiler) yang terletak di Kerteh, Terengganu.

Dilaporkan,  selepas lebih 20 kali rundingan dengan pelbagai pihak berkaitan sejak 29 Disember 2014 lalu, kesemua 16 kontraktor terbabit semakin buntu menanti bilakah segala janji dan jaminan akan ditunaikan.

Pada sidang media, antara yang disebut ialah Kementerian Kewangan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia(MIDA), Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), malah mungkin Jabatan Perdana Menteri.

Apalagi penantian mereka bagaikan tidak akan berakhir lebih-lebih lagi apabila mendapat maklumbalas, bahawa kerajaan tidak akan membayar kontraktor atas arahan Menteri Kewangan II.

Perlu ada jawapan yang jelas kenapa arahan itu dikeluarkan.

Apa masalah sebenarnya?

Yassin...janji tinggal janji
Menurut laporan Dateline semalam, sebahagian 16 kontraktor yang terbabit dengan projek berkenaan merayu kerajaan segera menyelesaikan masalah mereka.

Dikatakan, sudah dua tahun sekumpulan kontraktor menuntut pihak kerajaan menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM26 juta selepas mereka menyiapkan pembinaan kilang dandang wap berkenaan.

Wakil kontraktor terbabit, Ir Khalil Ishak berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) sebelum ini berjanji akan menyelesaikan bayaran terbabit.

 “Kami sudah banyak kali berbincang dengan pihak kerajaan seperti Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), BiotechCorp dan MOF (Kementerian Kewangan) sehinggalah pada 1 Ogos lalu, kami telah menghantar surat kepada Perdana Menteri.

“Malangnya, sampai hari ini (26 Ogos) jangankan maklum balas, kami diberitahu bahawa kerajaan tidak akan membayar kontraktor atas arahan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Ghani. Ini amat mengejutkan,” ujarnya pada sidang media, Jumaat lalu.

Menurut Khalil, reaksi menteri berkenaan amat mengecewakan kontraktor terbabit memandangkan kerajaan sebelum ini telah memberi komitmen akan menyelesaikan isu mereka termasuk melalui mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada Mac 2015 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Tiga arahan untuk BiotechCorp laksanakan iaitu mengambil alih operasi kilang dandang wap, membayar segala hutang kontraktor yang bernilai RM26 juta serta menyelesaikan bayaran ‘shareholdership’ dengan pemilik asal,” jelasnya.

Beliau memberitahu, NSE Energy Sdn Bhd (NSEE) sebagai pemilik asal kilang itu tidak mampu membayar hutang bernilai RM26 juta kepada semua kontraktor dan konsultan terlibat walaupun kilang di Kerteh Bio Polymer tersebut sudah beroperasi mulai Julai 2014.

“Kami hanya mahu duit kami semula. Kami sudah buat banyak pelaburan untuk menjayakan projek ini.

Sekarang, akibat bayaran tertunggak sebahagian daripada kami sedang diburu Ah Long selain ada yang kereta ditarik bahkan anak kelaparan tidak makan,” keluhnya pada sidang media, kelmarin.

Mengulas lanjut, Khalil melalui syarikatnya sahaja dengan tuntutan bayaran sebanyak RM2.94 juta itu berkata, pihak mereka telah membuat laporan polis pada 24 Disember 2014 bagi mendesak pihak pengurusan kilang NSEE menyelesaikan tunggakan terbabit.

“Akibat masalah bayaran ini, projek itu yang mulanya mahu diambil alih kerajaan negeri tetapi tidak jadi sebaliknya kerajaan persekutuan iaitu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) ambil alih dan serahkan kepada Biotech Corp,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang kontraktor Yassin Salim berkata, kali terakhir mereka dijanjikan bayaran akan diselesaikan adalah sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Tapi sampai sekarang janji tinggal janji. Kami kecewa bagaimana proses membuat keputusan di pihak kerajaan,” ujarnya lagi.


Sebelum ini,  Malaysia Dateline pada 31 Julai lalu melaporkan pendedahan salah seorang kontraktor terbabit, Lily Surya, 40, yang berdepan masalah kewangan kritikal termasuk anaknya terpaksa berlapar ekoran kegagalan pihak kerajaan melunaskan tunggakan bayaran tersebut.

Sunday, 31 July 2016

Projek Biomass - Beginikah Caranya Kerajaan Layan Kontraktor Bumiputera?


Bukan seminggu atau sebulan dua tetapi hampir dua tahun menanti.

Itu nasib dialami kontraktor yang mahu dikenali sebagai Lily Surya, 40, akibat kegagalan kerajaan melunaskan bayaran yang sepatutnya diterima selepas menyiapkan kerja-kerja berkaitan projek dandang wap (biomass) di Kerteh, Terengganu.

Ibu tunggal bagi seorang anak itu mewakili 15 kontraktor lain dengan keseluruhan bayaran sepatutnya mereka terima mencecah RM26 juta. 

Lily memberitahu, projek itu yang diambil alih oleh kerajaan pusat kemudiannya melantik Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk menjelaskan bayaran kepada kesemua kontraktor terbabit.

Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober 2012.
Beliau berkata, selain BiotechCorp, pihak yang dilantik untuk menyelesaikan isu berkenaan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Kewangan (MoF).

"Sampai hari ini, sesen bayaran pun tak terima lagi. Kami sudah banyak kali ulang-alik mesyuarat dengan mereka semua tapi janji (bayaran) bulan ini sudah berganti tahun," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Akibat kegagalan bayaran tersebut, jelasnya, beliau sendiri mengalami masalah kewangan kritikal sehingga tidak mampu menjelaskan sewa rumah dan menghantar anak ke sekolah.

"Beberapa hari lepas, saya sendiri nak makan pun tiada duit. Anak tidur tapi tak makan sejak tengah hari. Dia pun sudah dua hari tak pergi sekolah sebab saya nak isi minyak kereta hantar dia ke sekolah pun tak boleh.
 
Kerja kerja membalut paip antara yang dilakukan syarikat Lily yang merupakan skop insulation.
Antara mesyuarat kumpulan kontraktor terlibat baru baru ini. Dipengerusikan wakil MoF tengah turut hadir Datuk Mazlee (Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal?) dari BiotechCorp (CEO?) yang mereka anggap wakil Perdana Menteri.

"Saya tak malu untuk beritahu sudah habis ikhtiar untuk bayar sewa rumah, makan minum dan anak ke sekolah sebab saya ibu tunggal yang bergantung harap pada pendapatan dari kerja-kerja yang saya buat.

"Tuan rumah pula sudah suruh saya kosongkan rumah sewa kalau masih tak boleh jelaskan tunggakan yang masuk bulan keempat," ceritanya.

Ibu kepada anak berusia 16 tahun itu memberitahu lagi, beliau juga gagal untuk mendapatkan semula barangan kemas yang digadai bagi tujuan mendapatkan dana menyifatkan projek tersebut sebelum ini.

"Untuk makan, saya terpaksa harapkan adik saya yang kerja kampung bagi RM100 untuk kami dua beranak. Bolehlah dapat bertahan buat sementara waktu," ujarnya.

Mengulas lanjut usaha terbaharu dilakukannya bersama kumpulan kontraktor terbabit, Lily berkata, sebahagian daripada mereka telah ke Putrajaya semalam (29 Julai) untuk bertemu dengan pihak MoF.

"Malangnya, kedatangan kami tidak dilayan. Seorang (pegawai MoF) pun tak muncul. Kami macam pengemis duduk di lobi tunggu dari jam 3 sampai dekat pukul 6 petang," keluhnya.

Beliau berkata, sebelum ini telah beberapa kali mereka berbincang dengan MIDA, MoF dan BiotechCorp.

"Sampaikan sudah 'meeting' dengan wakil Datuk Seri Najib Razak. Silih berganti mesyuarat tapi janji tinggal janji. Sekarang kami tidak sabar tunggu lagi," tegasnya.

Sehubungan itu, Lily mewakili kumpulan kontraktor terlibat menyeru Perdana Menteri untuk campur tangan dalam menangani masalah yang berlarutan itu.

"Tolonglah. Kami berharap perkara ini dapat segera diselesaikan," rayunya lagi.

Difahamkan, projek berkenaan bermula pada Jun 2013 sehingga kilang NSE Corporation berjaya disiapkan dengan menyalurkan wap pada 7 Julai 2014 kepada dua kilang milik pelabur asing iaitu CheilJedang (CJ) dari Korea dan syarikat kimia dari Perancis iaitu Arkema dengan nilai pelaburan sebanyak RM 1 billion.

Tuesday, 10 May 2016

Lapan Kontraktor Tidak Berdaftar, Tujuh Diarah Hentikan Kerja

Lapan kontraktor di Terengganu dikesan tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri ini sepanjang tahun lalu.

Sementara  tujuh kontraktor diarah berhenti kerja manakala lima kontraktor didapati menjalankan kerja melebihi gred selepas 223 projek diperiksa oleh CIDB Terengganu tahun lalu.

Pengarahnya Annis Othman berkata selain itu sebanyak 1,245 pekerja binaan pula didapati tidak mempunyai Kad Pendaftaran Personel Binaan dan dari jumlah itu, 26 kes telah diambil tindakan tatatertib manakala empat kes di bawah tindakan pendakwaan.

Kelmarin (9 Mei), CIDB membuat operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dan hasilnya, ia mengarahkan projek pembinaan sebuah rumah mewah di Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, dihentikan serta merta.
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1244161
Arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 25(1) Akta CIDB 520 (Pindaan) 2011 kerana menjalankan kerja pembinaan atau mengaku sebagai kontraktor tanpa berdaftar dan mendapatkan perakuan pendaftaran sah daripada CIDB.

"Sehingga kontraktor berdaftar dengan CIDB, barulah kita tarik balik arahan henti kerja tersebut. Bagaimanapun, kontraktor tetap akan dikenakan tindakan iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau kompaun tidak lebih RM50,000 agar boleh menjadi pengajaran ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita kelmarin (9 Mei) selepas operasi membabitkan 45 anggota dan pegawai penguat kuasa daripada CIDB, Jabatan Imigresen, Pejabat Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Akademi Binaan Malaysia.

Annis berkata dalam operasi di sebuah tapak pembinaan hotel di Chendering, CIDB mengesan kontraktor menggaji 25 pekerja yang tidak memiliki kad perakuan pekerja binaan atau kad hijau, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 33 (1), Akta 520 (Pindaan) 2011.

Dalam operasi bersepadu itu, Jabatan Imigresen menahan 23 pendatang asing tanpa izin kerana melakukan kesalahan salah guna pas, tiada dokumen dan tinggal lebih masa.