Tuesday 10 May 2016

Lapan Kontraktor Tidak Berdaftar, Tujuh Diarah Hentikan Kerja

Lapan kontraktor di Terengganu dikesan tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri ini sepanjang tahun lalu.

Sementara  tujuh kontraktor diarah berhenti kerja manakala lima kontraktor didapati menjalankan kerja melebihi gred selepas 223 projek diperiksa oleh CIDB Terengganu tahun lalu.

Pengarahnya Annis Othman berkata selain itu sebanyak 1,245 pekerja binaan pula didapati tidak mempunyai Kad Pendaftaran Personel Binaan dan dari jumlah itu, 26 kes telah diambil tindakan tatatertib manakala empat kes di bawah tindakan pendakwaan.

Kelmarin (9 Mei), CIDB membuat operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dan hasilnya, ia mengarahkan projek pembinaan sebuah rumah mewah di Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, dihentikan serta merta.
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1244161
Arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 25(1) Akta CIDB 520 (Pindaan) 2011 kerana menjalankan kerja pembinaan atau mengaku sebagai kontraktor tanpa berdaftar dan mendapatkan perakuan pendaftaran sah daripada CIDB.

"Sehingga kontraktor berdaftar dengan CIDB, barulah kita tarik balik arahan henti kerja tersebut. Bagaimanapun, kontraktor tetap akan dikenakan tindakan iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau kompaun tidak lebih RM50,000 agar boleh menjadi pengajaran ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita kelmarin (9 Mei) selepas operasi membabitkan 45 anggota dan pegawai penguat kuasa daripada CIDB, Jabatan Imigresen, Pejabat Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Akademi Binaan Malaysia.

Annis berkata dalam operasi di sebuah tapak pembinaan hotel di Chendering, CIDB mengesan kontraktor menggaji 25 pekerja yang tidak memiliki kad perakuan pekerja binaan atau kad hijau, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 33 (1), Akta 520 (Pindaan) 2011.

Dalam operasi bersepadu itu, Jabatan Imigresen menahan 23 pendatang asing tanpa izin kerana melakukan kesalahan salah guna pas, tiada dokumen dan tinggal lebih masa.


No comments:

Post a Comment