Saturday 14 May 2016

Kahwin Perdana - Kerajaan Terengganu Peruntuk RM2 Juta


Kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM2 juta bagi menjayakan program perkahwinan perdana melibatkan 217 pasangan muda, yang berlangsung hari ini.

Majlis melibatkan lapan daerah di Terengganu itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di bawah program 'Keluarga Bahagia TTB: Perkahwinan Perdana Tahun 2016.'

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan dan Inovasi yayasan berkenaan, Mohd Fauzi Abdul Ghani berkata, menerusi peruntukan tersebut, setiap pasangan diperuntuk lebih RM9,000 termasuk kelengkapan majlis pernikahan dan resepsi.

"Peruntukan itu juga bagi membiayai program selepas pernikahan dengan mengadakan program berbulan madu dan pemantapan keluarga yang akan dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh empat tahun," katanya kepada media selepas majlis akad nikah 23 pasangan daerah Besut yang diadakan di Masjid Hadhari Jerteh hari ini.

Mohd Fauzi berkata, program sedemikian akan diteruskan pada masa depan kerana dapat membantu pasangan muda yang kurang berkemampuan namun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.



Lokasi  akad nikah  dan majlis resepsi pada 22 Mei akan diadakan di masjid serta dewan yang ditentukan penganjur dan diantaranya bagi Parlimen Besut (Masjid Hadhari, Bandar Jertih), Setiu (Masjid Bandar Permaisuri), Kuala Nerus (Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu-UMT), Kuala Terengganu (Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang), Marang (Masjid Sultanah Nur Zahirah), Hulu Terengganu (Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang), Dungun (Masjid Balai Besar) dan Kemaman di Masjid Sultan Ahmad, Chukai

Sementara itu, di Besut, sebanyak 23 pasangan termasuk dua adik beradik (pengantin perempuan), dinikahkan secara serentak, manakala di Kuala Terengganu melibatkan 33 pasangan; Kuala Nerus (37): Hulu Terengganu (21); Marang (29); Setiu (22); Kemaman (27) dan Dungun (25).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof  berkata, hampir  15,000 jemputan terlibat dengan penganjuran program itu di mana setiap pasangan dibenarkan  mengundang 50 pasangan saudara terdekat.

Katanya,  mereka  terpilih layak menerima pelbagai keistimewaan, termasuk pakaian akad nikah, persalinan pakaian  pengantin, perkhidmatan fotografi dan  pakej berbulan madu selama tiga hari dua malam di mana-mana hotel yang akan ditentukan kemudian.

“Lebih istimewa, setiap pasangan diberi keutamaan mendapatkan perumahan kerajaan dalam tempoh lima tahun usia perkahwinanan, selain layak memohon Skim Pinjaman Modal Perniagaa di bawah Pinjaman Jaya Diri maksima RM20,000/

“Semua pasangan dikenakan yuran  RM1,000 sebagai komitmen penyertaan, selain sebagai bayaran mas kahwin dan sebagai ganti mereka layak menerima Sijil Simpanan Premium dengan nilaian sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment