Sunday 15 May 2016

Peruntukan RM72 Juta Bina Bahru, Naik Taraf Pasar Payang - MB


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada 23 Mei ini, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata Najib dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 8.45 pagi dan memulakan lawatan kerjanya dengan tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang.

"Alhamdulillah, kita dapat peruntukan RM72 juta untuk bina baharu (dan menaik taraf) Pasar Payang. Jadi, Perdana Menteri akan melawat dan melihat model kompleks bangunan itu nanti dan beramah mesra bersama peniaga yang ada," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas itu, Perdana Menteri akan merasmikan Ijtimak Pondok di Universiti Malaysia Terengganu sebelum mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan Barisan Nasional negeri di Duyong Marina & Resort.

Pada 3 petang, beliau dijadual merasmikan Projek Akuapolitan Kuala Nerus di Seberang Takir sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyampaikan sijil penyertaan kepada tujuh wakil murid sekolah yang menyertai Program Empower Akademik ECER dan peserta program Empower ECER Seberang Takir.

Terdahulu, Ahmad Razif merasmikan program gotong-royong Puspanita, Kementerian Pengangkutan dan IM4U Bersama Penduduk Kampung Batin di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Sarippudin Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie.

No comments:

Post a Comment