Monday 2 May 2016

Terus Bekerja, Segala Kekalutan Telah Berakhir - Ahmad Razif



Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berharap semua pihak dapat bersama-samanya terus bekerja untuk kebajikan rakyat berikutan segala kekalutan dan isu yang berlaku telah berakhir.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua pihak bersama bergerak ke hadapan, terus bekerja untuk kebajikan rakyat dan yang mustahak adalah bekerjasama serta terus memastikan perkhidmatan dan apa sahaja kerja yang kita buat adalah untuk kebaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Besut semalam susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarian bahawa beliau akan terus meneraju kerajaan Terengganu.

Pada kenyataan medianya kelmarin, Ahmad Razif turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai ketua pentadbir negeri.

"Syukur...saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya", kata Ahmad Razif susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Ahmad Razif berkata beliau turut bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan Allah serta berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua," katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif apabila Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Najib hari ini berkata Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu semalam membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment