Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan
sebarang arahan supaya guru dan pelajar di Terengganu melakukan latihan tepuk
tangan, kata Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan.
Beliau berkata, sebaliknya arahan berkenaan dikeluarkan
oleh Pengarah Pendidikan Negeri.
"Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan
(berlatih tepuk tangan) sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan
saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.
"Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang
hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo baharu 'Dengue Patrol 2016' di
Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan
Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Urusan Sanofi Pasteur
Malaysia, Singapura dan Brunei, Baptiste de Clarens.
Kamalanathan berkata demikian ketika mengulas mengenai
rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan guru dan pelajar di
sebuah sekolah di Terengganu menjalani latihan tepuk tangan.
Arahan itu didakwa dikeluarkan Pengarah Pendidikan
Terengganu (JPNT) menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta semua guru dan
pelajar menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit.
Sementara itu, JPT
berkata ia memperkenalkan budaya salam, budaya
berterima kasih dan budaya menghargai kepada sesiapa yang memberi sesuatu
dengan tepukan.
Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin, berkata budaya yang
sudah diwarisi sejak zaman-berzaman itu segar dalam amalan hidup ke arah
kesejahteraan bermasyarakat.
Malah, katanya beliau bertanggungjawab kepada pendidik
dan pelajar di negeri ini dalam mendidik budaya yang baik, termasuk menerapkan
integriti di kalangan penjawat awam berkenaan supaya ia dapat menjadi
teladan kepada pelajar pula.
“Apa yang saya minta cikgu lakukan ianya merupakan satu
permintaan dalam kumpulan tertutup (menggunakan aplikasi WhatsApp) antara saya
dan pengetua serta guru besar.
“Permintaan guru untuk bertepuk tangan merupakan satu
cara untuk menceriakan sesebuah majlis sama ada di dalam ataupun luar sekolah.
Mudah-mudahan amalan yang baik ini menjadi ikutan pelajar-pelajar,” katanya
kepada pemberita di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu semalam.
Shafruddin mengulas demikian susulan tersebar mesejnya
supaya guru berlatih tepuk tangan menerusi WhatsApp yang kemudiannya di print
skrin dan kini menjadi viral.
Tambah beliau lagi, hasil penelitian yang dibuat sebaik
isu berkenaan tersebar, golongan pendidik dapat menerima mesej beliau itu
secara positif, bagaimanapun ianya dilihat dari sudut negatif oleh penulis di
laman blog pembangkang kerajaan yang rata-rata bertindak mengecam tindakan
(mesej) itu.
Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam Elemen
Transformasi Kemenjadian Murid, pihaknya berhasrat melahirkan Generasi
Terengganu Baharu yang memiliki ciri-ciri seperti agama, akhlak, sahsiah; baca,
iaitu memanfaatkan masa dan ilmu; jujur dan berintegriti, iaitu tidak mengambil
hak orang; bersih; keselamatan diri; budaya sukarelawan; menepati masa;
hormat-menghormati; kesihatan dan cergas; sayang-menyayangi,;saling membantu
serta mengejar kecemerlangan.
Menurut Shafruddin, elemen Transformasi Kemenjadian Murid
itu merupakan perkara keenam dalam pendekatan .`Memperkasakan Transformasi
Pendidikan yang diperkenalkan beliau sejurus bergelar pengarah pada 27 April
tahun lalu.
Beliau berkata, lima elemen lain yang menjadi teras MTP
ialah Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran, Transformasi Guru, Transformasi
Sekolah, Transformasi Pejabat Pendidikan daerah dan JPNT serta Bahagian
Teknologi Pendidikan Negeri, Transformasi Pengetua dan Guru Besar serta
Transformasi Kemenjadian Murid.
No comments:
Post a Comment