Saturday 21 May 2016

Empat Berita Palsu Libatkan Bernama, SKMM Giat Lakukan Siasatan

Ahmad Razif bersalam dengan Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus giat menjalankan siasatan berhubung empat laporan berita palsu melibatkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman juga turut membantu siasatan berikutan beliau juga antara mereka yang menerima laporan palsu tersebut menerusi aplikasi WhatApps.

Ahmad Razif berkata pihaknya berharap kerjasama dan maklumat yang diberi kepada SKMM akan melancarkan siasatan itu sekaligus mencari dalang yang terlibat.

"Saya juga berterima kasih kepada SKMM dan Bernama yang sangat serius dalam menangani masalah ini demi menjaga nama baik semua pihak dan berharap siasatan ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan lima pegawai SKMM di kediaman rasmi Seri Iman di sini semalam.

Kunjungan itu bertujuan mendapatkan maklumat daripada Menteri Besar berhubung penyebaran berita palsu kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lawatan rasmi ke Terengganu pada Isnin ini (23 Mei).

Sementara itu, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Peguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata pihaknya sangat mengambil berat aduan Bernama Biro Terengganu mengenai laporan berita palsu yang tersebar sejak Mac lalu dan yang terbaharu melibatkan pemimpin nombor satu negara.

"Ini adalah sesuatu yang sangat serius kerana menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan besar apatah lagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kredit berita 'Bernama'.

"Setakat ini, siasatan sedang berjalan lancar di mana tiga pegawai SKMM dari Cyberjaya turut 'berkampung' di Terengganu untuk menjalankan siasatan," katanya.

Pada 11 Mac lepas, Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah membuat laporan polis berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lepas, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Beliau sekali lagi membuat laporan polis pada 4 Mei berhubung artikel yang bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

No comments:

Post a Comment