Monday 30 May 2016

Petronas Taja 48 Pelajar Terengganu Lanjut Pelajaran, RM18 Juta Untuk 5 Sekolah Di Kemaman


Seramai 48 pelajar cemerlang anak Terengganu terpilih menerima biasiswa melalui Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) untuk tahun ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada 391 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang turut mendapat penajaan Petronas untuk melanjutkan pelajaran.

"Bagi tahun ini, Petronas memperuntukan sebanyak RM110 juta untuk menaja kesemua 391 pelajar ini yang mana kita menerima lebih 7,500 permohonan di seluruh negara untuk penajaan.

"Tajaan ini diberikan kepada pelajar lepasan SPM yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, mekanikal, geofizik dan kewangan.

"Selain itu, ia juga untuk bidang perundangan berkaitan industri minyak dan gas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak serta universiti luar negara di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2016 yang disempurnakan Pegawai Daerah Setiu Talaha Ali yang mewakili Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia Zamri Jusoh, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AMIR Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mokhlis Jaafar.

Raiha berkata melalui PESP, Petronas akan menaja pelajar daripada peringkat pengajian pra-universiti hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan sejak diperkenalkan pada 1975, sebanyak RM3 bilion telah dilaburkan Petronas untuk membiayai pendidikan lebih 35,000 pelajar cemerlang di seluruh negara.

Dalam majlis itu, sebanyak tiga sekolah di daerah Dungun turut dipilih sebagai sekolah angkat Petronas menerusi Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP).

Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, SK Serdang dan SK Kompleks Rantau Abang.

Raiha berkata menerusi PSIP, Petronas menyediakan pelbagai program untuk membantu murid harapan lulus daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan prestasi mereka dalam bidang akademik dan sahsiah diri.

"Kita akan menekankan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang mana pelajar akan diajar dalam suasana yang menyeronokkan supaya minat mereka untuk belajar dapat dipupuk, sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah," katanya.

Pada majlis itu, Raiha turut menyerahkan surat hasrat kerjasama kepada Mokhlis yang mewakili Politeknik Sultan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun untuk menjalinkan hubungan melalui program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (Vista).

"Selain pendidikan sekolah rendah dan menengah, Petronas juga amat menitikberatkan kemahiran teknikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi serta mengembangkan industri minyak dan gas di negeri ini.

"Kerjasama dengan PSMZA ini adalah meliputi bidang latihan, tenaga pengajar dan kelengkapan untuk kemudahan belia yang menjalani latihan serta kemahiran di PSMZA yang kita harap akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan golongan profesional dalam kalangan belia," katanya.

Raiha berkata ketiga-tiga program iaitu PSEP, PSIP dan Vista merupakan komitmen Petronas yang dilaksanakan melalui inisiatif pelaburan sosial korporat yang berteraskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar.


Sementara itu, Petronas turut memperuntuk lebih RM18 juta untuk menaja lima sekolah di Kemaman menyertai Program Sekolah Amanah bermula tahun ini.

Raiha Azni berkata penajaan program itu, yang diterajui Yayasan AMIR di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), merupakan perjanjian strategik kedua-dua pihak bagi memacu transformasi pendidikan holistik untuk anak-anak Terengganu.

"Petronas sangat komited dalam membantu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak negeri...kita lihat Program Sekolah Amanah sangat membantu dan dapat memberi impak yang positif," katanya.

Raiha Azni berkata kerjasama Petronas dengan Yayasan AMIR dimulakan sejak tahun lepas dan sehingga kini, sebanyak 15 sekolah termasuk lima di Terengganu dipilih menyertai program itu.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal, SK Ibok, SK Bukit Anak Dara dan SK Teluk Kalong.

Program lima tahun itu, yang bermula di Sabah dan Sarawak, dijalankan secara berfasa mengikut modul yang ditetapkan.

Noor Rezan turut menjelaskan Sekolah Amanah merupakan program kolaborasi di antara Kementerian Pendidikan dan badan-badan swasta dengan matlamat meningkatkan prestasi pelajar secara holistik.

Pada majlis itu, Raiha Azni turut menyampaikan sijil Program Sekolah Amanah kepada guru besar dan pengetua lima sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment