Showing posts with label JPNT. Show all posts
Showing posts with label JPNT. Show all posts

Thursday, 12 January 2017

Benarkah Di Terengganu, ‘Murid Cerdik, Cik Gu Bodoh’ ???

 

Siri PERTAMA -  UMRAH GURU

Kes penipuan ‘umrah guru’ yang diperkatakan dengan meluas di Terengganu akhir-akhir ini sebenarnya memperlihatkan perlunya suatu bentuk perjuangan pembelaan demi membantu GURU-GURU dan semua yang ‘kena tipu’.

Melihat bagaimana guru-guru mudah ditipu dan seolah-olah ‘bodoh’ kerana mudah ditipu, maka tidak pelik jika ada pihak tertentu mengatakan di Terengganu ini ‘Murid Cerdik, Guru Bodoh’.

Murid tidak ikut pun guru ‘kencing berdiri’ tetapi merasakan guru mereka ada yang seperti ‘ketam mengajar bagaimana untuk berjalan betul’.

Kenapa jadi begini dan kenapa dikatakan begini?

Bukan mahu merendah-rendahkan guru di Terengganu yang bertungkus lumus mengajar dan memberikan ilmu yang baik kepada murid mereka hingga pencapaian cemerland pelajar Terengganu dalam apa juga peperiksaan.

Dengan kejayaan murid Terengganu yang setiap tahun mendapat keputusan cemerlang, agak pelik apabila guru-guru dengan mudah ‘ditipu’ oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan – Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBKT) – dengan menyerahkan wang dan dijanjikan tajaan untuk menunaikan umrah.

Benarkah guru-guru ‘bodoh’ dan mudah ditipu dengan mudah?

Tidak sama sekali.

Guru-guru adalah manusia terpilih yang kerjaya mereka suci bersih. Mendidik anak bangsa supaya menjadi rakyat yang bijak, cemerlang dan berintegriti.

Begitulah juga di kalangan hampir 5,000 orang yang dilaporkan ditipu oleh pihak yang kononnya mahu menguruskan pakej umrah ini.


Kalangan guru dan pak-pak cik, mak cik , atok dan nenek-nenek menyerahkan wang mereka sebanyak RM3,990 pula ditaja.

Lebih meyakinkan peserta umrah kerana ia mendapat restu PEJABAT PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU (JPNT).

Memang JPNT terlibat kerana ada dokumen dan personaliti tertentu terbabit secara langsung. Jika tidak polis tidak akan mengambil dua kakitangan penting JPNT untuk disoalsiasat.

Dalam istilah korporat dan undang-undang, mereka yang menyerahkan wang itu memang berniat baik, penuh kepercayaan dan penuh ‘SUCI HATI’. Diulangi, dengan penuh SUCI HATI.

Bermakna, kalau tidak dikempen dan seolah-olah ada jaminan kerajaan (JPNT itu apa?) mereka mengeluarkan wang dari tabung, korek bantal atau keluarkan daripada nak untuk membayar pendahuluan sebanyak RM3,000.

Namun malangnya kepercayaan mereka, niat baik mereka dan ‘suci hati’ mereka dikhianati oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Blog ini tidak mahu menghukum atau menamakan siapa pengkhianat kepada guru dan penyumbang yang berniat menunaikan umrah itu.

Tidak adil menghukum sesiapa, termasuk individu  lagipun siasatan polis sedang dilakukan.
Namun sehingga kini, yang diketahui ialah YPKT menjalankan kerja mereka mengutip tabungan melalui persetujuan dan galakan JPNT.

Penipuan ini memilu dan memalukan.

Bagaimana insan mulia sebegini boleh dijadikan alat oleh mereka yang rakus dan tamak.
Isunya sekarang, siapa mempertahan dan membela guru-guru selepas duit mereka lesap dan umrah tidak dapat ditunaikan?

Apabila menyebut kerjasama JPNT, bermakna kalaupun bukan 100 peratus JPNT terbabit tetapi ia sudah menjadi sebahagian program kerajaan.

Bermakna JPNT perlu bertanggungjawab. Kalaupun tidak dapat menjamin penabung dapat tunaikan umrah, setidak-tidaknya RM3,000 itu dipulangkan.

Malah, JPT perlu meminta maaf kepada guru-guru kerana kegagalan ini kerana mereka terlibat sama, tetapi usahkan meminta maaf, nampak sangat cuba lepas tangan.
Kerajaan negeri pula apa yang diharapkan?

Kenyataan Menteri Besar yang tidak kena mengena dengan penajaan ini terus ‘menggelapkan harapan’ penyumbang yang terdiri ramai daripada guru-guru untuk mendapat pembelaan.

Sewajarnya kerajaan negeri tidak ‘lepas tangan’ kerana banyak program YBNT juga engadakan program dengan Yayasan Terengganu, yang menjadi salah satu daripada agensi penting kerajaan negeri.

Namun kepada siapa mahu diharapkan?

Kementerian Pelajaran yang mendapat aduan daripada mereka yang teraninya juga bersikap mendiamkan diri.

Mungkin mahu membela JPNT dan menganggap jabatan itu ‘bersih dan bebas’ daripada kes penipuan ini.

Ironinya, guru-guru yang menyokong kerajaan selama ini bagaikan tiada harga – low class – bagi pemimpin UMNO negeri, termasuk kalangan muda apabila membisu seribu bahasa.

Mujurlah dalam kesepian sokongan itu, muncul Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar, Azam Ismail membuat kenyataan membela guru yang teranianya ini dengan menyebut Kerajaan Terengganu mesti bertanggungjawab terhadap kerugian 4,800 orang peserta ekoran dakwaan kes penipuan umrah itu.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu mempersoalkan bagaimana YBNT boleh diberi kepercayaan mengendalikan umrah yang didakwanya tidak cukup syarat pengendalian.

Malah, ADUN Bandar itu mendakwa badan itu membelakangkan fungsi pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

Kenyataan Azan itu menggambarkan bagaimana kes guru yang dianianya ini langsung tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa, khususnya pemimpin UMNO, kerajaan negeri serta Kementerian Pelajaran sendiri.

Lantas timbul pertanyaan, siapa dan bagaimana penipuan ini boleh terjadi?

Juga siapa di belakang mereka?

Ikuti ulasan seterusnya dalam SIRI KEDUA  nanti.

Wednesday, 11 January 2017

Umrah Tipu- Apakah Pegawai Pelajaran Negeri Akan Dikenakan Tindakan?

ROSLI AB. RAHMAN (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan kes disyaki penipuan pakej umrah oleh Yayasan Bakti Negara Terengganu ketika sidang akhbar di IPK Terengganu di Kuala Terengganu, 29 Disember lalu.
Isu penipuan ‘pakej umrah guru’ semakin menarik.

Terkini polis Terengganu sudah memanggil Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bersama seorang lagi pegawainya bagi membantu siasatan berhubung penipuan pakej umrah yang melibatkan guru di negeri ini.

Percakapan pengarah berkenaan, Shafruddin Ali Hussin dan pegawainya direkodkan oleh polis tiga hari lalu.

Ada dakwaan mengatakan JPNT bersekongkol dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 'berkempen' melalui satu surat diedarkan kepada guru-guru.

Apakah akan ada tindakan susulan siasatan terhadap pengarah berkenaan?


Polis Terengganu dalam menjalankan siasatan terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT), turut menerima bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Ia  bagi mengesan transaksi aliran wang serta aset yang diperolehi daripada suspek

Kesemua suspek kini masih dalam tahanan reman bersabit laporan penipuan pakej yang sama dilaporkan di beberapa daerah lain di negeri ini.

Setakat ini polis Terengganu menerima lebih 200 laporan berhubung penipuan YPNT itu di beberapa daerah di Terengganu termasuk Besut, Kuala Terengganu dan Marang.

 Pada 3 Januari lalu, Polis Besut berkata lebih ramai mangsa penipuan pakej umrah yang diuruskan YBNT dijangka tampil membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata sehingga kini pihaknya telah menerima 40 laporan berhubung kes penipuan itu yang melibatkan 4,000 mangsa dengan nilai wang kutipan sebanyak RM14.2 juta sejak 21 Nov lepas.

Menurut Mohd Zamri, pihaknya mendapati ramai mangsa tampil membuat laporan selepas tersebarnya berita dua suspek terlibat dengan kes tersebut ditahan minggu lepas.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Ia melibatkan 4,800 orang mangsa kerugian berjumlah kira-kira RM14.2 juta. 

Ekoran laporan itu, pada 27 Disember lepas dua orang individu iaitu pengarah dan akauntan NGO berkenaan ditahan reman bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman pada sidang media hari ini berkata: "Kita juga menerima bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mengesan transaksi aliran wang serta aset yang diperolehi daripad suspek.

Blog ini pada  27 Disember 2016  lalu mengemukakan pertanyaan apa kedudukan JPNT dlam penyiasatan polis apabila ia ternyata  bekerjasama menaja pakej itu, malah turut berkempen guru-guru agar menyertai pakej umarah tajaan YBKT?

Apakah mereka ‘bebas daripada siasatan dan tindakan’ pada ketika ramai guru yang teraninaya akibat kerjasama itu?

Blog ini menganggap kegagalan YBNT dengan kerjasama JPNT dalam penganjuran pakej umrah itu  membuka mata dan menimbulkan banyak persoalan, apalagi Kerajaan Negeri pernah menolak untuk bekerjasama dengannnya.


Dengan tajuk laporan Pakej Umrah Gagal - Kenapa Hanya YBNT, Tidak JPNT, Pengarah DiSiasat? turut merasa pelik apabila Facebook YBNT sudah dipadamkan di mana maklumat serta gambar yang dipaparkan mengenai kegiatannya selama ini turut dipadamkan.

Pada awal November lalu, wujud viral mengatakan NGO  itu melalui kerjasama dengan JPNT gagal menghantar sebilangan besar guru-guru menunaikan umrah dan disyaki berlaku penipuan.

Berikutan itu, blog ini menyiarkan keresahan guru-guru dan mengemukakan pertanyaan bagaimana JPNT beria-ia turut bekerjasama dengan YBNT dan apa tindakan jabatan itu untuk membela guru-guru yang teranianya?

Blog ini turut mengemukakan pertanyaan, apakah JPNT terlibat kerana ada tuduhan mengenainya yang merupakan tuduhan berat.

“Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini. “ demikian laporan blog ini.

Malah ada dakwaan bahawa ada  peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini turut membabitkan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini diketahui umum dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan YBKT apabila kempen-kempen yang memaklumkan pakej ini kepada guru-guru pada Ramadan lalu dibuat melalui satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT.


Tuesday, 27 December 2016

Pakej Umrah Gagal - Kenapa Hanya YBNT, Tidak JPNT, Pengarah DiSiasat?

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu adalah penaja bersama YBNT.
Isu kegagalan sebuah pertubuhan kerajaan (NGO) Terengganu, Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) membuka mata dan menimbulkan banyak persoalan, apalagi Kerajaan Negeri pernah menolak untuk bekerjasama dengannnya.

Namun, bagaimana pula dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang bekerjasama menajanya, malah turut berkempen guru-guru agar menyertai pakej umarah tajaan YBKT?

Apakah mereka ‘bebas daripada siasatan dan tindakan’ pada ketika ramai guru yang teraninaya akibat kerjasama itu?

Aneh juga kini apabila Facebook YBNT sudah dipadamkan di mana maklumat serta gambar yang dipaparkan mengenai kegiatannya selama ini dipadamkan.

Diviralkan melalui Whatsapp beberapa hari kebelakangan ini bahawa satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jertah pada 29 Ogos lalu oleh seorang penadu, Roslen Bt Khalis, Pengurus Syarikat Interleisure Sdn Bhd di Kuala Lumpur bahawa:

“Pada 29/08/2016, pengadu yang merupakan Pengurus Syarikat  Interleisure Sdn Bhd telah dilantik oleh *Yayasan Bakti Negara Terengganu* *(YBNT)* yang beralamat di Besut, T'ganu untuk menguruskan jemaah umrah dengan harga pakej seorang jemaah adalah RM6,990.00. Pengarah YBNT iaitu En Adam telah menyerahkan kepada pengadu surat lantikan untuk menguruskan jemaah umrah seramai (300) orang tersebut. En Adam telah memberikan cek deposit sebanyak RM150 000.00 yang bertarikh 16/10/2016 dan apabila pengadu ingin menunaikan cek tersebut didapati cek tersebut adalah cek tendang. Apabila perkara diberitahu kepada En Adam,En Adam telah memberitahu bahawa akaun syarikatnya mengalami masalah kewangan. Walaubagaimanapun, pada 19/10/2016 En Adam telah memberikan kepada pengadu sebanyak RM 50,000.00 dan bayaran selebihnya akan dibayar kemudian oleh En Adam.Namun pengadu hanya dapat menghantar (07) jemaah sahaja untuk menunaikan umrah dan pengadu merasakan dirinya telah diperdayakan oleh En Adam.”

Berikutan itu melalui butir tangkapan *Kg Raja Rpt 6447/16* Nama OKT: *Mohd Adam Bin Mohd  Ghazali berusia 28 tahun dari Kg Pasir Tawar Jabi, berjawatan *Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT)* akan dihadapkan di esok di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu untuk tahan reman.

Bersamanya ialah  OKT: Johari Bin Rahman berusia 28 tahun berlamat di Kampung Padang Lengkuas, Jerteh yang merupakan Akauntan YBNT.

Tahanan reman empat hari...
Semalam Bernama melaporkan, dua  lelaki termasuk seorang pengarah direman selama empat hari bagi membantu kes penipuan umrah membabitkan kira-kira 3,000 mangsa dengan nilai jutaan.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sinar Online melaporkan kedua-duanya menyerah diri di balai polis Besut, kelmarin.

Akhbar sebelum ini melaporkan YBNT mengesahkan kenyataan berkaitan kegagalannya menguruskan kira-kira 2,000 jemaah menyertai pakej umrah disediakannya.

Sebelum ini YBKT dengan bangganya mengatakan pihaknya sudah memberikan berbagai bentuk bantuan dengan menyebut lebih 30,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di Terenganu  mendapat manfaat daripada kewujudannya.

Pengarah eksekutifnya, Mohd Adam Mohd Ghazali pernah berkata, pihaknya memperuntukkan RM14.9 juta pada tahun ini (2016) bagi membiayai program tanggungjawab sosial korporat, khususnya program meningkatkan prestasi pelajaran dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut tidak termasuk bantuan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, fakir miskin selain bantuan pendidikan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Itu laporan media 28 Julai lalu.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, bagaimana yayasan itu mempunyai bajet begitu banyak untuk dibelanjakan?

Apakah pihak berkuasa akan menyiasat punca kewangan yang diperolehi dan jika ia berbentuk sumbangan, bagaimana ia dibelanjakan?

Benarkah pelajar yang mendapat untung atau pemilik dan pemegang amanah kepada NGO ini?

Mengejutkan, pada awal November lalu, wujud viral mengatakan yayasan itu melalui kerjasaa dengan JPNT gagal menghantar sebilangan besar guru-guru menunaikan umrah dan disyaki berlaku penipuan.

Berikutan itu, blog ini menyiarkan keresahan guru-guru dan mengemukakan pertanyaan bagaimana JPNT beria-ia turut bekerjasama dengan YBNT dan apa tindakan jabatan itu untuk membela guru-guru yang teranianya?

Blog ini turut mengemukakan pertanyaan, apakah JPNT terlibat kerana ada tuduhan mengenainya yang merupakan tuduhan berat.

“Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini. “ demikian laporan blog ini.

Malah ada dakwaan bahawa ada  peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini turut membabitkan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini diketahui umum dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan YBKT apabila program umrah ini dimaklumkan kepada guru-guru pada Ramadan lalu, smelalui satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT.

Ia diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

Pada surat itu diberitahu bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000. Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT.

Pertanyaan ialah:

1.      Apakah Menteri atau Menteri Pelajaran sudah bertindak menyiasat pegawai JPNT kerana terlibat, termasuk berkempen dalam program ini?

2.      Apa tindakan Kementerian terhadap Pengarah JPNT yang dilihat terbabit secara langsung dalam memujuk guru-guru menyertai program ini?

3.      Jika beliau tidak disabitkan, apakah usahanya untuk membantu guru-guru yang teranianya?

4.      Apakah guru-guru dan perserta terbabit sudah mendapat pulangan wang kerana gagal menunaikan umrah?

5.      Apakah tindakan terhadap NGO ini dan apakah siasatan lanjut akan dilakukan terhadap pertubuhan, selain pemilik dan kakitangannya?

Pada ketika JPNT dikaitkan  dengan  kes penipuan ini, pada 14 Disember lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendedahkan, Kerajaan Negeri pernah menolak tawaran mengadakan usaha sama dengan yayasan itu.

Ini kerana kerajaan negeri perlu teliti sebelum menerima sebarang bentuk usaha sama daripada mana-mana pihak, lebih-lebih lagi pihaknya tidak dapat mengenal pasti secara jelas sumber dana diperoleh yayasan terlibat.

Malah Menteri Besar Terengganu meminta mana-mana pihak yang merasa mereka dianiaya perlu menggunakan saluran sewajarnya termasuk membuat laporan polis.

Laporan Sinar Harian sebelum ini menyebut YBNT menafikan telah menipu seramai 2,418 peserta yang kebanyakannya adalah guru untuk mengikuti program umrah anjuran yayasan tersebut.

Pengarah Eksekutifnya mendakwa, punca penangguhan dan pindaan tarikh penerbangan ke tanah suci itu disebabkan pihaknya lewat menerima sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat daripada beberapa syarikat korporat.

Menurutnya, daripada keseluruhan peserta, seramai 1,218 orang ditaja sepenuhnya YBNT, baki 1,200 orang lagi hanya perlu membayar sebahagian atau kurang daripada kos sebenar, sementara selebihnya ditaja yayasan tersebut. 

Sunday, 11 December 2016

Pakej Umrah JPNT/YBNT Tidak Menjadi, Apakah Wujud Unsur Penipuan?


Penipuan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terenganu (JPNT)? Ini tuduhan berat.

Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini.

Satu laporan menyebut, dikatakan cuti hujung tahun kali ini dianggap tidak bermakna bagi ratusan guru di Terengganu akibat masalah yang boleh dianggap sebagai  penipuan pakej Umrah.

Lebih mengejutkan ia dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini dalam pengetahuan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini dikatakan dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan Yayasan Bakti Negeri Terengganu YBNT.

Menurut laporan yang diviralkan sejak beberapa hari yang lalu, program ini dianggap penipuan kerana walaupun mulanya dikatakan ia akan membabitkan seramai yang mungkin, iaitu mececah 2,000 orang, namun akhirnya tidak sampai 300 orang sahaja yang terpilih.

Pakej ini dimaklumkan kepada guru-guru apabila pada Ramadan lalu, satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

“Diberitakan bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000.

“Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT,” menurut laporan berkenaan.

Pengarah JPNT...apakah beliau ketahui?
Memandangkan surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah JPNT dan disahkan sendiri oleh pegawai JPNT, maka berduyun-duyun guru yang menelefon YBNT meminta kuota tersebut dan diluluskan.

Difahamkan lebih 2,000 orang terlibat terdiri dariapda kalangan guru dan keluarga terdekat serta komuniti.

Berikutan itu, bayaran diminta dimasukkan ke dalam akaun YBNT Resort pada hari yang sama untuk mengelakkan kuota tersebut dibatalkan.

Mereka dikatakan memasukkan wang bayaran melalui Bank Muamalat di Kuala Terengganu.

Menjadikan guru-guru berminat dan yakin dengan program Umrah ini ialah apabila ada gambar kononnya majlis menandatangani MOU antara YBNT dan JPNT di Facebook rasmi JPNT.

Antara  September dan  November dikatakan  JPNT menyediakan tempat berupa dewan sekolah untuk diadakan taklimat di seluruh daerah secara berperingkat.

Dilaporkan pada majlis itu berbagai ‘janji manis’ ditabur oleh pihak penganjur.

Bagaimanapun menjelang bulan lalu (November), masalah mula kelihatan.
“Biarpun  tarikh berangkat bermula pada 27 Disember ini, namun peserta tidak diberitahu ejen mana yang akan menguruskan pemergian mereka.

“Dalam suasana kelam kabut,  JPNT dikatakan sekali lagi menyediakan tempat untuk penyerahan beg iaitu di PPD Setiu dan Dewan Sek Keb Sultan Sulaiman 1.

“Turut dimaklumkan ialah tarikh dan ejen yang akan menguruskan dan peserta mulalah  membuat persiapan awal,” menurut laporan itu.

Malah, mengejutkan peserta pada 27 November 2016, iaitu tarikh sepatutnya kumpulan awal  berlepas,  malangnya hanya tujuh (7) orang sahaja yang terbabit.

“Peserta lain ditangguhkan dan sejak itu ada kalangan peserta ada yang mengambil inisiatif sendiri menelefon ejen yang dimaklumkan kononnya akan menguruskan pemergian mereka.

“Mengejutkan apabila ejen diberitakan diberi cek kosong oleh YBNT dan tidak dapat membawa jemaah yang ditetapkan. Ejen tersebut adalah CS Holidays, HBY Travel, Bahrumazi Travel dan Interlesure Travel,” kata laporan itu.

Dilaporkan juga, peserta yang menyiasat dan cuba untuk mencari  kebenaran dianggap sebagai  musuh oleh peserta lain kerana mereka lebih percayakan YBNT yang memberitahu bahawa  ejen membuat hal.

Mengejutkan, dikatakan pegawai JPNT turut memberi amaran kepada peserta yang tahu akan maklumat sebenar.

Ada kenyataan daripada  JPNT bahawa  hanya 287 orang sahaja dipilih dan yang lain JPNT dilaporkan  “lepas tangan”  kerana dikatakan berurusan terus dengan YBNT.

“Apa yang menjadi persoalan kepada peserta ialah jika hanya 287 sahaja bawah tanggungjawab JPNT kenapa mereka bersusah payah mengeluarkan surat rasmi ke sekolah untuk taklimat, menyediakan kemudahan tempat kepada YBNT untuk taklimat?

“Juga kenapa pegawai JPNT dan PPD sendiri turun padang pada  majlis sebelum itu?” tanya peserta.

Laporan itu berkata penanguhan demi penangguhan dilakukan sehinggalah keluar kenyataan rasmi dari pada YBNT bahawa  semua tajaan umrah tahun 2016 dibatalkan.

Duit RM3,000 boleh dituntut mulai minggu ketiga Januari.

Dilaporkan seorang ketua Sektor JPNT sekali lagi memberikan amaran dan teguran untuk mengambil tindakan atas luahan peserta dan ini menyebabkan peserta daripada  kalangan guru tertekan.

“Kami dikatakan membuat onar dan masalah,” dakwa peserta.

Berikutan itu sebilang peserta  mohon siasatan terhadap  mereka yang terlibat dalam penganjuran program ini.

Malah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diminta menyiasat dan  menyelongkar perkara ini kerana ia sudah menjadi buah mulut di negeri ini.


Mereka juga mendesak pihak tertentu agar tidak mengugut akan mengenakan tindakan displin kepada peserta yang menuntut hak selepas menyertai pakej Umrah itu.

Siasatan perlu dilakukan segera untuk membersihkan JPNT dan Pengarahnya agar institusi pendidikan yang disanjung mulia di negeri ini dipertahankan.

Yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan.

Juga jika dakwaan ini sengaja diadakan, buat laporan polis segera dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Friday, 27 May 2016

Latihan Tepuk Tangan Bukan Arahan Kementerian Pelajaran - P Kamalanathan


Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya guru dan pelajar di Terengganu melakukan latihan tepuk tangan, kata Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, sebaliknya arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri.

"Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan (berlatih tepuk tangan) sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.

"Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo baharu 'Dengue Patrol 2016' di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Urusan Sanofi Pasteur Malaysia, Singapura dan Brunei, Baptiste de Clarens.

Kamalanathan berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan guru dan pelajar di sebuah sekolah di Terengganu menjalani latihan tepuk tangan.

Arahan itu didakwa dikeluarkan Pengarah Pendidikan Terengganu (JPNT) menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta semua guru dan pelajar menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit.

Sementara itu,  JPT berkata ia  memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih dan budaya menghargai kepada sesiapa yang memberi sesuatu dengan tepukan.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin, berkata budaya yang sudah diwarisi sejak zaman-berzaman itu segar dalam amalan hidup ke arah kesejahteraan bermasyarakat.

Malah, katanya beliau bertanggungjawab kepada pendidik dan pelajar di negeri ini dalam mendidik budaya yang baik, termasuk menerapkan integriti  di kalangan penjawat awam berkenaan supaya ia dapat menjadi teladan kepada pelajar pula.

“Apa yang saya minta cikgu lakukan ianya merupakan satu permintaan dalam kumpulan tertutup (menggunakan aplikasi WhatsApp) antara saya dan pengetua serta guru besar.

“Permintaan guru untuk bertepuk tangan merupakan satu cara untuk menceriakan sesebuah majlis sama ada di dalam ataupun luar sekolah. Mudah-mudahan amalan yang baik ini menjadi ikutan pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu semalam.

Shafruddin mengulas demikian susulan tersebar mesejnya supaya guru berlatih tepuk tangan menerusi WhatsApp yang kemudiannya di print skrin dan kini menjadi viral.
Tambah beliau lagi, hasil penelitian yang dibuat sebaik isu berkenaan tersebar, golongan pendidik dapat menerima mesej beliau itu secara positif, bagaimanapun ianya dilihat dari sudut negatif oleh penulis di laman blog pembangkang kerajaan yang rata-rata bertindak mengecam tindakan (mesej) itu.

Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam Elemen Transformasi Kemenjadian Murid, pihaknya berhasrat melahirkan Generasi Terengganu Baharu yang memiliki ciri-ciri seperti agama, akhlak, sahsiah; baca, iaitu memanfaatkan masa dan ilmu; jujur dan berintegriti, iaitu tidak mengambil hak orang; bersih; keselamatan diri; budaya sukarelawan; menepati masa; hormat-menghormati; kesihatan dan cergas; sayang-menyayangi,;saling membantu serta mengejar kecemerlangan.

Menurut Shafruddin, elemen Transformasi Kemenjadian Murid itu merupakan perkara keenam dalam pendekatan .`Memperkasakan Transformasi Pendidikan yang diperkenalkan beliau sejurus bergelar pengarah pada 27 April tahun lalu.


Beliau berkata, lima elemen lain yang menjadi teras MTP ialah Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran, Transformasi Guru, Transformasi Sekolah, Transformasi Pejabat Pendidikan daerah dan JPNT serta Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Transformasi Pengetua dan Guru Besar serta Transformasi Kemenjadian Murid.