Sebahagian kontraktor yang hadir pada sidang media Jumaat lalu. |
Banyak pihak yang perlu menjawab isu yang dikemukakan
oleh 16 kontraktor pembinaan kilang dandang wap (steam boiler) yang terletak di
Kerteh, Terengganu.
Dilaporkan, selepas lebih 20 kali rundingan dengan
pelbagai pihak berkaitan sejak 29 Disember 2014 lalu, kesemua 16 kontraktor
terbabit semakin buntu menanti bilakah segala janji dan jaminan akan
ditunaikan.
Pada sidang media, antara yang disebut ialah Kementerian
Kewangan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia(MIDA), Malaysian Biotechnology
Corporation (BiotechCorp), malah mungkin Jabatan Perdana Menteri.
Apalagi penantian mereka bagaikan tidak akan berakhir lebih-lebih
lagi apabila mendapat maklumbalas, bahawa kerajaan tidak akan membayar
kontraktor atas arahan Menteri Kewangan II.
Perlu ada jawapan yang jelas kenapa arahan itu
dikeluarkan.
Apa masalah sebenarnya?
Yassin...janji tinggal janji |
Menurut laporan Dateline semalam, sebahagian 16
kontraktor yang terbabit dengan projek berkenaan merayu kerajaan segera
menyelesaikan masalah mereka.
Dikatakan, sudah dua tahun sekumpulan kontraktor menuntut
pihak kerajaan menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM26 juta selepas
mereka menyiapkan pembinaan kilang dandang wap berkenaan.
Wakil kontraktor terbabit, Ir Khalil Ishak berkata,
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Malaysian Biotechnology
Corporation (BiotechCorp) sebelum ini berjanji akan menyelesaikan bayaran
terbabit.
“Kami sudah banyak
kali berbincang dengan pihak kerajaan seperti Mida (Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia), BiotechCorp dan MOF (Kementerian Kewangan) sehinggalah
pada 1 Ogos lalu, kami telah menghantar surat kepada Perdana Menteri.
“Malangnya, sampai hari ini (26 Ogos) jangankan maklum
balas, kami diberitahu bahawa kerajaan tidak akan membayar kontraktor atas
arahan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Ghani. Ini amat mengejutkan,” ujarnya
pada sidang media, Jumaat lalu.
Menurut Khalil, reaksi menteri berkenaan amat
mengecewakan kontraktor terbabit memandangkan kerajaan sebelum ini telah
memberi komitmen akan menyelesaikan isu mereka termasuk melalui mesyuarat
Majlis Ekonomi Negara pada Mac 2015 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Tiga arahan untuk BiotechCorp laksanakan iaitu mengambil
alih operasi kilang dandang wap, membayar segala hutang kontraktor yang
bernilai RM26 juta serta menyelesaikan bayaran ‘shareholdership’ dengan pemilik
asal,” jelasnya.
Beliau memberitahu, NSE Energy Sdn Bhd (NSEE) sebagai
pemilik asal kilang itu tidak mampu membayar hutang bernilai RM26 juta kepada
semua kontraktor dan konsultan terlibat walaupun kilang di Kerteh Bio Polymer
tersebut sudah beroperasi mulai Julai 2014.
“Kami hanya mahu duit kami semula. Kami sudah buat banyak
pelaburan untuk menjayakan projek ini.
Sekarang, akibat bayaran tertunggak sebahagian daripada
kami sedang diburu Ah Long selain ada yang kereta ditarik bahkan anak kelaparan
tidak makan,” keluhnya pada sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut, Khalil melalui syarikatnya sahaja dengan
tuntutan bayaran sebanyak RM2.94 juta itu berkata, pihak mereka telah membuat
laporan polis pada 24 Disember 2014 bagi mendesak pihak pengurusan kilang NSEE
menyelesaikan tunggakan terbabit.
“Akibat masalah bayaran ini, projek itu yang mulanya mahu
diambil alih kerajaan negeri tetapi tidak jadi sebaliknya kerajaan persekutuan
iaitu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) ambil alih dan
serahkan kepada Biotech Corp,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang kontraktor Yassin Salim
berkata, kali terakhir mereka dijanjikan bayaran akan diselesaikan adalah
sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Tapi sampai sekarang janji tinggal janji. Kami kecewa
bagaimana proses membuat keputusan di pihak kerajaan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Malaysia Dateline pada 31 Julai lalu melaporkan pendedahan
salah seorang kontraktor terbabit, Lily Surya, 40, yang berdepan masalah
kewangan kritikal termasuk anaknya terpaksa berlapar ekoran kegagalan pihak
kerajaan melunaskan tunggakan bayaran tersebut.
No comments:
Post a Comment