Rakyat Terengganu kena tunggu sehingga Pilihan Raya Umum
ke-14 untuk mengetahui siapa akan membentuk kerajaan negeri.
Dalam tempoh setahun atau mungkin 18 bulan akan datang, rakyat
boleh menilai parti yang wajar mereka pilih untuk perintah negeri.
Walaupun ketika ini persaingan antara PAS dan UMNO
(Barisan Nasional), namun dalam tempoh
setahun, bentuk persaingan mungkin akan bertukar.
Ini kerana ada beberapa kemungkinan.
Dengan wujudnya
parti baharu - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – yang menunggu
kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) , jika diluluskan pendaftarannya, sudah
pasti persaingan akan menjadi semakin sengit.
Alignmen politk mungkin berubah. Apalagi jika ada perubahan
kepimpinan dalam UMNO Terengganu itu sendiri, dalam masa terdekat.
PAS yang menganggap cara terbaik menyelesai krisis
politik UMNO tanpa menyusahkan pelbagai pihak terutamanya rakyat, akan sabar menunggu PRU akan datang.
Apakah kemungkinan senario dalam setahun ini?
1. UMNO akan
mempunyai masa untuk ‘memperbetulkan’ sebarang kelemahan atau kekurangan yang
ada untuk menghadapi persaingan dalam PRU-14 melalui perubahan-perubahan
tertentu yang akan dilaksanakan;
2. Wujudnya parti
baharu akan menjadikan kerjasama pembangkang akan lebih mantap dengan adanya
PKR, AMANAH dan DAP dalam pakatan berkenaan;
3. PAS belum pasti
akan menyertai pakatan itu dengan adanya AMANAH dan parti baharu.
4. PAS yang tidak
boleh lagi bekerjasama dengan PKR Terengganu dan AMANAH mungkin akan berjuang
bersendirian dengan IKATAN, dan
5. PAS berkongsi
kerusi dengan BN untuk membentuk kerajaan campuran.
Melihat kepada suasana sekarang, rasanya jalan yang akan
dipilih oleh PAS ialah berjuang bersendirian.
UMNO juga tidak ada sebab untuk berkongsi kerusi dengan
PAS.
Rasanya PAS juga tidak akan memilih untuk berkongsi
kerusi dengan UMNO kerana sejarah sebelum ini menunjukkan PAS memang ‘tamak’.
Dia tidak akan berkongsi dengan sesiapa untuk membentuk
kerajaan negeri.
Apa lagi PAS amat yakin akan dapat mengalahkan BN pada
PRU-14, tanpa melihat realiti politik baru di Terengganu.
Ini bermakna BN hanya boleh bernafas lega dalam tempoh 12
hingga 18 bulan ke hadapan ini.
Ahmad Razif sudah terselamat daripada ancaman
PAS dan Ahmad Said ketika ini tetapi tidak pasti apakah apabila ada ‘pembaharuan politik BN' Terengganu tidak lama lagi,
beliau tidak akan terjejas.
PAS juga tidak
mudah melepaskan kerusi kepada PKR seperti dalam pilihan raya umum lalu.
PKR mendakwa, PAS mulanya berjanji untuk menyerahkan
kepada PKR kerusi Bukit Besi, Kota Putera dan satu kerusi dalam Parlimen Kual
Nerus, selain DUN Bandar.
Pertikaian di mahkamah membuktikan dakwaan PKR itu benar,
khususnya di DUN Bukit Besi.
Jika demikian, apakah PAS akan bekerjasama dengan pihak
lain daripada parti pembangkang? Tidak mungkin.
PAS sudah membuktikan ia tidak akan bekerjasama dengan
sesiapa, termasuk dengan ADUN UMNO jika ada kejadian lompat parti.
PAS Terengganu jelas patuh dengan pendirian PAS Pusat
yang melarang berkerjasama dengan 'pemberontak UMNO' (Ahmad Said) untuk
menggulingkan Ahmad Razif.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengakui ini
adalah kerana parti itu berpegang kepada pendirian bahawa proses untuk memilih
teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui cara demokrasi menerusi pilihan
raya umum.
"Dalam isu kemelut politik di Terengganu, PAS pada asasnya selari dengan pendirian Presiden PAS bahawa proses pilihan raya untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya umum.
"PAS bagaimanapun buat masa ini belum memikirkan untuk bersekutu dengan mana-mana pemimpin Umno, sebaliknya akan bersama PKR dalam pakatan pembangkang dan Parti Ikatan dalam Blok Ketiga," katanya dipetik Mingguan Malaysia kelmarin.
"Dalam isu kemelut politik di Terengganu, PAS pada asasnya selari dengan pendirian Presiden PAS bahawa proses pilihan raya untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya umum.
"PAS bagaimanapun buat masa ini belum memikirkan untuk bersekutu dengan mana-mana pemimpin Umno, sebaliknya akan bersama PKR dalam pakatan pembangkang dan Parti Ikatan dalam Blok Ketiga," katanya dipetik Mingguan Malaysia kelmarin.
Kerjasama yang disebut oleh Takiyuddin itu mungkin di
negeri lain pada ketika ini tetapi mungkin tidak langsung pada pilihan raya
umum akan datang.
Malah, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd
Abdul Wahid Endut mengatakan, jika berlaku pilihan raya negeri (PRN), seluruh negara
akan tumpu ke Terengganu.
Bererti jentera dari seluruh negara akan turun bantu BN.
Begitu juga dengan PAS. Rasanya soal jentera dan duit tidak lagi jadi masalah
kepada PAS, kecuali di pihak ‘ketiga; iaitu Pakatan Harapan.
Kerana itu Abdul Wahid Isnin lalu, rakyat diajak supaya
‘cool down’ dan mereka boleh tunjuk siapa sebenarnya yang mereka mahu mentadbir
negeri Terengganu.
Menteri Besar dan UMNO Terengganu sewajarnya berterima
kasih kepada PAS kerana tidak menunjukkan keinginan langsung untuk ‘merampas
kuasa’ walaupun pembangkang ada kerusi yang cukup ‘untuk’ melakukan sesuatu.
Dengan PAS ada 14 kerusi, PKR 1 bermakna mereka sudah ada
15 kerusi, Cuma memerlukan satu atau dua lagi kerusi untuk menjadikan
menjadikan DUN Terengganu terumbang-ambing. Namun PAS bermain ‘politik matang’.
Dalam pilihan Raya Umum Ke-13, BN hanya mencatatkan
kemenangan tipis di Terengganu dengan menguasai 17 kerusi DUN manakala PAS (14)
dan satu kerusi PKR.
PAS tidak mahu menangguk di air keruh dalam keadaan krisis
politik BN Terengganu ketika ini apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyerang secara terbuka
pentadbiran Negeri Terengganu.
Banyak pendedahan dibuat mengenai kelemahan dan penyewengan
takbir urus sehingga Ahmad Said pernah
mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, namun PAS tetap dengan
pendiriannya, tidak akan campur urusan rumahtangga parti lain.
Rakyat juga memerhati, dengan sikap PAS ketika ini yang
tidak menunjukkan minat untuk memerintah walaupun ada ruang dan peluang, apakah
mereka juga bersedia selepas PRU-14.
Juga dengan pelbagai perkembangan terbaru mengenai PAS
selepas ini, rakyat akan dapat menilai sejauh mana kejujuran pemimpin PAS yang
kononnya mampu menjadi pengganti kepada BN sekarang.
Juga paling penting, jika berlaku pertandingan tiga atau
empat penjuru di kebanyakan DUN Terengganu, bukankah itu akan memberikan
kelebihan kepada BN?
Apakah PAS sekali lagi akan berputih mata?
Ia akan menyesal kerana tidak menggunakan ruang dan
peluang yang tersedia untuk mereka mengambil alih kerajaan negeri ketika ini
gara-gara kononnya ia mengamalkan budaya ‘politik matang dan sejahtera’ yang
diperkenalkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
No comments:
Post a Comment