Wednesday, 23 September 2015

PAS Enggan Iktiraf Penubuhan Pakatan Harapan


Apakah PAS akan kekal ‘berkerat rotan, berpatah arang’ untuk selama-lamanya dalam isu Pakatan Harapan yang kini menggantikan Pakatan Rakyat?

Apakah PAS yakin hubungannya dengan PKR akan kekal lama dan tidak perlu hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang?.

Pakatan Harapan ditubuhkan kelmarin (22 September 2015) secara rasmi menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, tanpa penyertaan PAS.

Ia diumumkan selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Amanah yang  sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel, di Kuala Lumpur.

Walaupun dijemput untuk hadir, PAS nampaknya tetap berdegil untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

Mereka bagaikan begitu yakin mampu berjuang bersaorangan, namun apa yang jelas PAS kini mungkin hanya kuat di dua negeri sahaja – Kelantan dan Terengganu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bercakap pada sidang media selepas mensyuarat itu berkata  Pas sekadar  mengucapkan terima kasih atas jemputan. “PAS tidak dapat menghadirkan diri buat masa ini,” ujar Wan Azizah.
  
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat waktu ini pendirian PAS adalah masih bekerjasama dengan PKR tetapi tiada jalinan kerjasama antara Pas dengan DAP mahupun Amanah.

Tuan Ibrahim selanjutnya berkata, biarpun  begitu PAS terus bersama pembangkang dalam isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan menentang salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana awam terutamanya isu 1MDB kerajaan Umno-BN.

"Pas menghargai jemputan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ke meja bulat pembangkang hari ini, namun Pas memilih untuk tidak menghadirinya. PAS akan menumpukan sepenuh tenaga menguatkan jentera parti dari segala sudut terlebih dahulu sebagai persiapan menghadapi Umno-BN di PRU14," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, perjumpaan antara PAS dan PKR akan diadakan dari semasa ke semasa dan sentiasa menilai apa jua isu antara kedua parti sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang.

Ditanya adakah rundingan akan dibuat dengan PAS pada masa akan datang, Wan Azizah berkata, pihaknya akan sentiasa mengalu-alukan PAS untuk membincangkan usaha bersama dalam memperkukuh kubu pertahanan pembangkang untuk menentang kerajaan.

“Kita (sentiasa) bersifat terbuka. Kita ini adalah antara mereka yang bersama-sama menentang kepimpinan kerajaan sekarang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pembentukan pakatan baharu ini.

Ketika disoal mengenai perbezaan antara pembentukan Pakatan Harapan dengan Pakatan Rakyat, Wan Azizah menjawab, pihaknya buat masa ini sedang membincangkan polisi terbaharu yang akan dipersetujui oleh kesemua parti dalam pakatan baharu ini.

  


Semalam, 23 September 2015, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,  PAS tidak mengiktiraf pakatan baharu itu.

“Saya buat keputusan untuk tidak pergi. Kesan (baik atau tidak) itu akan datang, saya tidak boleh jawab (sekarang) Tindakan kita (selepas ini) akan lihat perkembangan selepas ini. Kita tidak iktiraf, kita tidak pergi,”katanya ketika ditanya pihak media berhubungan Pakatan Harapan yang hanya melibatkan PKR, DAP dan sebuah parti baharu,” katanya.

No comments:

Post a Comment