Wednesday 6 January 2010

Kelemahan pentadbiran punca nama tercicir

Disalin daripada : Sinar Harian, www.sinarharian.com.my

KAMPUNG KUA - Keciciran nama individu menerima bantuan sedangkan dia layak sebenarnya disebabkan beberapa faktor dan antaranya adalah kelemahan pentadbiran pihak yang bertanggungjawab mengendalikan urusan berkaitan sehingga menyebabkan senario terlepas pandang.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman berkata, fahaman parti politik bukan penyebab utama mengundang keadaan sedemikian kerana ada individu adalah dalam kalangan penyokong kerajaan sendiri tidak menerima bantuan walaupun layak.

Menurutnya, ketidakpuasan hati segelintir individu terhadap bantuan disampaikan kerajaan, khususnya bagi membantu meringankan beban mereka bukanlah isu baru, namun ia bagaikan tidak berkesudahan kerana pasti ada dalam kalangan mereka mempertikaikannya.

“Politik bukan soal utama dalam hal ini tetapi ia dilihat banyak berpunca daripada kelemahan pengurusan sehingga menyebabkan individu yang layak mendapat bantuan tidak tersenarai.

“Malah, disebabkan kini pentadbiran peringkat akar umbi iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) banyak dibarisi ‘orang baru’ dan telah berubah, ia sedikit sebanyak mengundang keadaan terlepas pandang kerana berkemungkinan mereka kurang pengalaman berkaitan aspek pengurusan,” katanya.

Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sewaktu turun padang menjayakan Program Cakna Mesra membabitkan 14 rumah iaitu di Kampung Pengkalan Ajal, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail.

Mohd Nor berkata, program itu adalah salah satu aktiviti dilaksanakannya sebagai peluang terbaik bagi beramah mesra dengan rakyat dan beliau yakin dapat turun padang ke setiap cawangan sepanjang satu penggal selepas memulakannya di Kampung Tok Gebok, tahun lalu.

“Saya harap, individu ataupun pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus dan mengendalikan bantuan dapat mengatasi setiap kelemahan berkaitan supaya tidak berlaku sebarang keciciran penerima sehingga menyebabkan ada golongan mengambil kesempatan mengaitkannya dengan ketelusan,” katanya.


No comments:

Post a Comment