Monday 30 January 2017

Siapa ‘Kontraktor Baik Hati’ Yang Hadiahkan 'Ceiba Chodatii' Kepada MB?


Kecil bagi Kerajaan Negeri, Ahmad Razif atau JKR mengenai isu pokok dari Brazil ini tetapi besar bagi rakyat untuk ketahui ketelusan dan ‘baik hati’ kontraktor yang ‘menghadiahkan’ tiga pokok 'Ceiba Chodatii' itu.
  
Rakyat Terengganu patut bersyukur dan berterima kasih kepada kontraktor utama projek Bandar Baharu Kuala Nerus kerana menghadiahkan tiga pokok 'Ceiba Chodatii'.

Jarang sekali kita temui kontraktor yang baik hati seperti ini. Sudah semestinya kerajaan Terengganu dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif gembira dengan ‘keikhlasan kontraktor’ berkenaan.

Malah, seluruh rakyat Terengganu pastinya bangga dengan kebijaksanaan kerajaan negeri memilih dan memberikan projek kepada kontraktor yang ‘sangat prihatin’ seperti ini.

Mungkin di masa akan datang, perbanyakkan lagi kontraktor baik hati seperti ini di Terengganu untuk mendapat lebih banyak ‘hadiah atau sumbangan’ dalam apa juga bentuk.

Semalam Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menafikan pembelian pokok 'Ceiba Chodatii' yang menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus melibatkan sebarang kos kewangan kerajaan negeri.

Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud menegaskan,  pembelian pokok yang diimport dari Brazil itu ditanggung kontraktor utama projek itu.
 
Ia juga tidak termasuk dalam skop projek.

Baik sungguh hati kontraktor berkenaan, namun ingin juga diketahui siapa kontraktor berkenaan?

Apa kerja yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap kontraktor baik hati itu di Kuala Nerus?

Berapa jumlah atau nilai projek yang diberikan?

Menteri Besar mesti jawab persoalan ini selepas JKR sudah mendedahkan bahawa ia bukan melibatkan wang negeri.

Apakah pokok benang emas Brazil itu dihadiahkan kepada daerah Kuala Nerus atau kepada Menteri Besar yang kebetulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir?
  
JKR semalam meminta  orang ramai tidak lagi membuat sebarang spekulasi liar berhubung isu pokok berkenaan.

Untuk mengelakkan spekulasi liar, Ahmad Razif juga perlu telus  untuk memberitahu untuk apa dan kenapa pokok 'benang sutera' berkenaan dihadiahkan.

Apakah sebagai ‘membalas budi kerana kontrak’ atau memang itu sebahagian perjanjian penawaran kontrak untuk syarikat korporat berkenaan.

Atau ia memang ‘ derma ikhlas’ daripada kontraktor utama projek Bandar Baharu Kuala Nerus.

Isu tiga pokok dari Brazil itu menjadi tular di media sosial selepas ada pihak  mendakwa penanaman tiga batang pokok berkenaan sebagai mercu tanda bandar Kuala Nerus merupakan satu pembaziran kerana difahamkan pokok berkenaan berharga RM180,000 sebatang.

Malah  jika Pergerakan Pemuda UMNO  Terengganu mahu membantu kerajaan negeri dan Menteri Besar untuk nampak telus, cubalah cari jawapan untuk dimaklumkan kepada orang ramai, kontraktor manakah yang ‘baik hati’ itu.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar sepatutnya mencari  jawapan telus terlebih dahulu sebelum menggesa kerajaan negeri supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah berhubung isu pokok berkenaan.

Selepas dikenal pasti syarikat korparat mana yang menghadiahkan pokok berkenaan dan ia memang ‘derma ikhlas’ seperti derma keluarga Diraja Arab dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  maka jika mempunyai asas kukuh, sewajarnya syarikat berkenaan dan kerajaan negeri bolehlah menyaman pihak yang ditakrifkan sebagai ‘pembawa fitnah’.

Malah, jika mahu, Ahmad Razif sendiri pun boleh saman pihak yang menimbulkan isu ini.

Jangan mudah menuduh pihak yang membangkitkan perkara itu sebagai tidak berasas. Malah  dengan saman jangan diharap ia akan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak sewenang wenangnya membuat fitnah menerusi media sosial.

Yang baik ialah Menteri Besar, kerajaan negeri dan juga syarikat korporat berkenaan mengajar erti ketelusan dengan tampil ke hadapan dan menjelaskan kepada rakyat kenapa dan untuk apa  hadiah itu di berikan, selain kenapa di Seberang Takir?

Jika Johari mengharapkan agar kerajaan negeri akan dapat segera memulakan proses undang-undang bagi membawa si pelaku ke muka pengadilan, Johari dan semua pihak terlibat dalam isu 'Ceiba Chodatii' tampil ke hadapan untuk menjelaskannya kepada rakyat secara terbuka.


Kecil bagi Kerajaan Negeri atau Ahmad Razif mengenai isu pokok dari Brazil ini tetapi besar bagi rakyat untuk mengetahui ketelusan dan ‘baik hati’ kontraktor yang ‘menghadiahkan’ tiga pokok 'Ceiba Chodatii' itu.


Ada berani Ahmad Razif, Kerajaan negeri dan JKR sendiri untuk mendedahkannya?

No comments:

Post a Comment