Komentar oleh Datuk Raja Bahrin Shah
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu)
Pihak pembangkang telah dituduh bersikap anti Negara
China kerana pendirian kita menyoal pelaburan dan cara kontrak dirunding dengan
mereka. Sebenarnya isu ini sengaja dikelirukan.
Kami bukan anti Negara China tetapi kami anti monopoli
ekonomi mana-mana negara dan kebergantungan tinggi Malaysia kepada negara
tersebut. Umno dan BN berjinak dengan Negara China kerana wangnya dan manfaat
yang berkaitan dengannya untuk terus kekal berkuasa selepas PRU yang akan
datang walaupun risikonya tinggi kepada kedaulatan negara kita.
Motif ini mesti kita faham.
Sekarang ini pun, Malaysia telah menunjukan sikap terlalu
tunduk kepada kuasa besar China dengan menyepi di Parlimen, isu kapal peronda
China mencerobohi perairan Malaysia Timur dan juga keputusan Tribunal
antarabangsa di Hague yang telah menolak tuntutan Negara China di perairan Laut
China Selatan.
Malahan cadangan Negara ASEAN lain untuk menyokong
keputusan Tribunal Hague tidak dipersetujui oleh Malaysia. Dalam masa yang sama
Kerajaan Malaysia telah persetujui untuk membenarkan Syarikat dari Negara China
membina serta menyerahkan pengurusan pelabuhan di Kuantan, Melaka, Johor Bharu
dan Bagan Datoh.
Projek Keretapi Pantai Timur berharga RM 55 Billion juga
akan diserahkan kepada syarikat Negara China. Inilah monopoli dan
kebergantungan kepada Negara China yang dibantah oleh kami. Negara Afrika yang
bergantung kepada Negara China telah mengalami masalah tersendiri mereka.
Apabila sebuah negara atau pemimpin terlalu banyak
mempunyai kebergantungan ekonomi serta kewangan daripada negara lain, soal
kedaulatan negara tersebut akan dipersoal.
Apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak
menunjukkan kecenderungan yang terlalu rapat dengan pimpinan Negara China
Komunis, banyak tanda tanya telah timbul tentang kebijaksanaannya.
Presiden baru kuasa besar Amerika, Donald Trump, pun
telah disoal tentang kecenderungan dan hubungan yang terlalu rapat dengan
Presiden Putin dan Negara Russia.
Penglibatan anak Trump dan penyokong kuatnya, Rex
Tillerson, yang ada kaitan perniagaan dengan Russia juga dipersoalkan.
Anak Najib juga telah menyertai rombongan bersama ahli
perniagaan pada kunjungan Najib ke Negara China sementara Jho Low, sahabat
akrab anak Najib, yang dicari oleh pihak berkuasa Amerika kerana isu 1MDB, juga
dipercayai berada di negara China.
Yang menjadi kebimbangan rakyat Amerika adalah pengaruh
dan tekanan politik dan komersial yang akan dikenakan oleh Russia ke atas
Donald Trump dengan hubungan yang ada.
Begitu jugalah kekhuatiran kami rakyat Malaysia seperti
juga di Amerika dimana pengaruh Russia dipercayai telah membantu Trump menang.
Rakyat Malaysia juga khuatiri pelaburan besar, kontrak serta wang Negara China
akan mempengaruhi keputusan PRU14 untuk memenangkan Najib dan BN.
Dimanakah kedaulatan negara kita untuk memilih pemimpin
secara bebas dan adil tanpa pengaruh luar? Selepas pihak tertentu menang,
apakah tuntutan dari kuasa luar yang telah mempengaruhi keputusan PRU?
Kebimbangan rakyat Amerika terhadap Russia sekarang akan
dialami juga oleh rakyat Malaysia terhadap kuasa besar Negara China dan Perdana
Menteri, BN jika dipilih pada PRU14.
Kerana itulah kami hari ini membantah monopoli komersial
dan kebergantungan yang amat tinggi Malaysia kepada Negara China. Bukan kerana
ianya Negara China, tetapi kerana ianya melibatkan kedaulatan Negara Malaysia
memilih pemimpin tanpa pengaruh luar dan selepas PRU14 untuk kita bebas membuat
keputusan sendiri tampa apa- apa tekanan luar.
Itulah kedaulatan yang kami berhak miliki sebagai sebuah
Negara yang betul-betul Merdeka.
12 Januari 2017
No comments:
Post a Comment