Sunday 29 January 2017

Di Mana PPBM Dalam Konteks Kerjasama Pembangkang Di Terengganu...


Apakah PAS akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) di Terengganu untuk pilihan raya umum akan datang bagi menumbangkan UMNO/Barisan Nasional  (BN)?

Persoalan ini masih berlegar di pemikiran pemimpin tertinggi PPBM di Kuala Lumpur serta kumpulan ‘pemimpin penaja Terengganu’ yang semakin menyerlahkah  wajah-wajah mereka akhir-akhir ini.

Bagi pemimpin PAS, mereka seakan sudah menetapkan pendiriannya – boleh bekerjasama atau PAS bersendirian menempuhi PRU kali ini.

PPBM mempunyai beberapa pilihan untuk bertanding di Terengganu, sama ada berpakat dengan PAS atau Pakatan Harapan (PH).

Memanglah PPBM tidak akan sama sekali berpakat dengan UMNO/BN kerana matlamat penubuhan PPBM ialah menggantikan UMNO/BN di negara ini, termasuk Terenganu.

Apa yang menjadi masalah mengenai kerjasama di Terenganu, seperti juga di pusat ialah kediudukan di mana PAS langsung tidak mahu bekerjasama dengan DAP, juga AMANAH.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menegaskan Jumaat lalu bahawa PAS menolak pelewaan Lim Kit Siang untuk bersama DAP menghadapi BN  pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, selagi pemimpin veteran parti itu bersikap menentang Negara Islam.

DAP tidak menunjukkan sikap positif serta masih menentang Negara Islam, tegas Hadi.

Beliau berkata, ia termasuklah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang DAP tidak bersetuju dengan pindaan tersebut. Lagipun, pelawaan pemimpin veteran DAP itu yang mahu berbaik semula dengan PAS bukan perkara baharu, demikian kata Hadi.

“Dia (DAP) acap kali doh nok berbaik ini, keluar pun acap kali doh. Dia (Lim Kit Siang) tidak ada tunjuk bukti yang dia terima secara positif, dia masih menentang Negara Islam. Termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 pun dia (DAP) tak setuju. Itu ‘benda’ (perkara) yang berkait dengan prinsip, kita kena sedar.

“Sekadar untuk menang pilihan raya? Kita (PAS) bukan nak menang pilihan raya sahaja, kita nak buat perubahan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, kelmarin, mengenai kenyataan Lim Kit Siang mempelawa PAS bersama DAP untuk menghadapi BN, hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa PAS dan DAP mempunyai agenda parti masing-masing selain  PAS tidak boleh bersama dengan mana-mana parti yang bercanggah dengan agenda mendaulatkan Syariat Islam.

“Memang dia (DAP) ada agenda, kita (PAS) pun ada agenda. Kalau agenda bercanggah (dengan Islam) tak bolehlah,” tegasnya.
Berbalik kepada kerjasama pembangkang di Terengganu, ternyata ia masih samar, apa lagi tidak akan berlaku kerjasama PAS dan AMANAH.

Ini sudah pasti. Ini bermakna PPBM sahaja yang boleh menjadi rakan kepada kepada PAS jika ia mahu bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi membentuk kerajaan baru selepas PRU-14.

Persoalannya di mana PPBM di Terengganu ketika ini?

Sudah wujudkah ia? Di mana ia akan bertanding dan bagaimana jentera pilihan rayanya?

Persoalan juga ialah kerjasama yang bagaimana?

Apakah PPBM akan diberikan ruang untuk bertanding di semua kerusi yang dimenangi oleh UMNO?

Untuk rekod, UMNO memenangi 17 kerusi DUN dan empat Parlimen pada PRU-13 sementara PAS menang 14 kerusi selain empat kerusi Parlimen (bagaimanapun Kerusi Parlimen Kuala Terengganu sudah dimiliki oleh AMANAH).

Atau PAS akan memberikan enam hingga lapan kerusi sahaja yang dilihatnya sukar untuk menang, sementara di kerusi yang dijangka dimenanginya (baki kerusi  UMNO) ketika ini akan ditandingi oleh PAS?

Apakah PAS akan menilai kerjasama dengan PPBM sebagai ‘rakan sebenar’ atau ‘ekornya sahaja’ dengan keyakinan PAS akan mendapat sekurang-kurangnya 20 kerusi pada PRU-14?

Banyak persoalan masih berlegar dan yang pasti kemunculan PPBM pada pilihan raya kali ini bukan untuk mencukupkan kuota pertandingan semata-mata.

Ia membawa misi untuk perubahan demi rakyat. Misi membela dan menyelamatkan rakyat!

Gerakan ini sudah pasti melangkaui sekadar menjadi ‘ekor kepada PAS’ sebaliknya sebagai ‘rakan dalam kerajaan negeri’.


Apakah PAS akan bersetuju dengan hasrat PPBM itu atau kerjasama hanya untuk PAS jadikan PPBM sebagai ‘anak tangga’ bagi  menguasai pemerintahan di Terengganu.

No comments:

Post a Comment