Tuesday 5 October 2010

Media Kini Menyebelahi Ahmad Said

Kini amat jelas Wan Ahamad tidak terlibat dengan 'SMS Ugut Bunuh' dan sejak akhir-akhir ini dikhabarkan Wan Ahamad sudah mula menerima SMS ‘mohon kemaafan’ kerana keterlanjuran penulis kolum atau kolumnis tertentu selama ini yang hanya mendapat info daripada sebelah pihak.

Pada ketika mula-mula kejadian ‘ SMS Ugut Bunuh’ menggegarkan politik Terengganu April tahun lalu, ramai wartawan dan kolumnis tertentu, termasuk dari akhbar berbahasa Inggeris melihat Ahmad Said dengan sinis.

Rata-rata yang di Kuala Lumpur, termasuk beberapa blogger (sini) terutamanya yang hanya mendapat info daripada pihak yang rapat dengan kumpulan yang menentang Ahmad Said ‘mengutuk Ahmad Said’, kalau tidak sabar dan berserah kepada Allah, boleh menyembah bumi.

Bagi mereka, begitu sekali teruknya Ahmad Said mahu mempertahankan kedudukannya hingga sanggup ‘menitahkan’ Setiausaha Sulit Kanannya melakukan apa sahaja untuk menjatuh dan memalukan saingannya – Datuk Seri Idris Jusoh.

Mereka hairan bagaimana Menteri Besar yang mendapat kepercayaan dan keyakinan Tuanku Mizan Zainal Abidin ini boleh melakukan perkara seteruk dan seburuk itu.

Mereka yakin Wan Ahamad Wan Muda (kini bergelar Datuk) tidak akan sewenang-wenangnya melakukan perkara sedemikian. Ini kerana Wan Ahamad tidak ‘bermusuh’ dengan Idris. Kalau Wan Ahmad Nizam (Setiausaha Politik kepada Menteri Besar) ada sedikit kebenaran.

Ini kerana Mat Nizam digugurkan sebagai calon DUN pada pilihan raya umum 2008 bagi membuka jalan kepada anak bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, iaitu Wan Hakim.
Jadi apabila riuh seluruh Terengganu ada beberapa pihak menerima ‘SMS Ugut Bunuh’ pada sebelah malam dan diikuti dengan siri laporan polis, Ahmad Said berada dalam keadaan yang tidak selesa.

Kenapa tidak selesa?

Pertama, apakah benar Ahmad Said menyuruh Wan Ahamad menghantar ‘SMS Ugut Bunuh’ sedemikian?

Kedua, benarkah Setiausaha Sulit Kanannya yang melakukan sedemikian dan untuk apa?

Ketiga, apa kesannya ‘SMS Ugut Bunuh’ itu kepada politik Terengganu pada ketika kemelut politik – penentangan terhadap perlantikannya oleh Tuanku Mizan masih membara dan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sedang berlangsung?

Memburukkan keadaan, ada seorang tukang spin bodoh dalam isu ini iaitu Abdul Mubin Ismail dengan blognya jarang anak melayu yang awal-awal mengulas isu SMS Ugut Bunuh ini yang menunjukkan beliau tahu mengenai perkara ini.

Mubin, seorang guru adalah bekas pegawai Exco semasa Idris menjadi Menteri Besar iaitu Datuk Din Adam. Beliau adalah penyokong kuat kumpulan penentang Ahmad Said tetapi ‘kebal’ dan tidak dikenakan apa-apa tindakan disiplin sama ada ketika Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi Menteri Pelajaran juga ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran.

Baca kenyataan Mubin ini melalui blognya:

“Ekoran daripada ugutan yang dibuat oleh YAB Dato’ Ahmad b. Said pada 8 April 2009 jam 9.30 malam di Kediaman Menteri Besar kepada ADUN yang hadir semasa pre-council, YAB Dato’ Ahmad b. Said terus membuat kenyataan berupa ugutan melalui kenyataan media pada 11 April 2009. Kemuncak siri ugutan tersebut adalah UGUTAN BUNUH melalui sms yang dipercayai daripada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Wan Ahmad Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar. Ugutan bunuh tersebut merupakan suatu ancaman yang amat serius, ancaman keselamatan dan menimbulkan kebimbangan kepada ADUN-ADUN.


Ketidakhadiran ADUN-ADUN ke Dewan Undangan Negeri pada hari ini adalah atas faktor keselamatan, ANCAMAN KE ATAS NYAWA MEREKA (UGUTAN BUNUH) dan tiada kaitan sama-sekali dengan dakwaan ‘boikot’ atau cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Ahmad Said, yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun ADUN-ADUN berkenaan memberi akujanji untuk menghadiri sidang dewan sekiranya keselamatan mereka terjamin dan pihak yang bertanggungjawab membuat ugutan bunuh tersebut dibawa ke muka pengadilan.


Sekian, terima kasih.


Disediakan oleh xxxxx


xxxxx Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu

Bertarikh pada:14 April 2009.


disediakan oleh abdul mubin ismail @ 11:20 AM 0 komen

Sebaliknya, daripada laporan-laporan akhbar berikutan SMS Ugut Bunuh itu jelas menujukkan Ahmad Said.

Baca dan teliti laporan di bawah ini:

1. Laporan Berita Harian Online (15 April 2009): – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, ugutan bunuh yang diedarkan kepada tiga daripada ADUN terbabit melalui sms adalah tidak sahih. “Mereka dapat SMS tetapi SMS tak berpunca daripada pejabat Menteri Besar, maka tidak ada kesahihan.”

2. Laporan Sinar Harian (23 April 2009): Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

3 . Laporan Utusan Malaysia (23 April 2009): ): Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan bahawa lelaki berusia 31 tahun itu tiada kaitan dengan Pejabat Menteri Besar seperti yang didakwa sebelum ini; dan

4. Laporan Berita Harian Online (24 April 2009) bertajuk “Ramai lagi ditahan” melaporkan “Sumber memberitahu, kerani berkenaan ada kaitan dengan 10 ADUN yang memulaukan hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri pada 14 April lalu.”

Malah Mubin pergi lebih jauh apabila melaporkan:

Pada 14 April 2009 lebih kurang jam 9.00 pagi, bertempat di Hotel Felda Residence, Kuala Terngganu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato’ Rosol Wahid bersama-sama 9 lagi ADUN Kelab Penyokong Kerajaan telah berbincang keseriusan ancaman bunuh tersebut dan memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Dewan Negeri pada hari ini sehingga mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa. Apatah lagi pihak ADUN Kelab Penyokong Kerajaan difahamkan bahawa suspek masih lagi berkeliaran bebas dan kehadiran orang ramai di Dewan Undangan Negeri pada hari ini agak luar biasa.

Disediakan oleh xxxxx

xxxxx Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu

Bertarikh pada:14 April 2009.

disediakan oleh abdul mubin ismail @ 11:20 AM 0 komen

Menurut sebuah blog, berasaskan apa yang ditulis oleh Mudin itu, jawapan kepada kekalutan dan ketakutan ADUN UMNO (penyokong kerajaan) boleh dibuat seperti berikut:

SMS yang mereka terima berbunyi “baik jgn teruskn niat YB, YB tak sayang nyawa?” dan telah disahkan oleh YAB PM bukan daripada Pejabat Menteri Besar Terengganu. SMS ini tidaklah pula berbunyi “baik jgn YB hadir sidang DUN, YB tak sayang nyawa?”

Mereka dengan jelas menafikan tidak ada niat membuat undi tidak percaya kepada YAB MB, jadi mereka tidak ada kaitan pun dengan sms yang mereka terima berbunyi “baik jgn teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”.

Lain halnya jika mereka menerima SMS yang berbunyi “baik jgn YB hadir sidang DUN, YB tak sayang nyawa?”, sms ini mungkin menakutkan mereka dan bolehlah diterima sebagai alasan yang dhaif untuk tidak hadir sidang Dewan.

Yang pasti, SMS Ugut Bunuh itu membuatkan ramai yang tertekan, termasuk Polis Terengganu yang turut tertekan kerana tidak semena-mena kena menyiasat kes ini dan seolah-olah keadaan di Terengganu tidak selamat lagi.

Tetapi sejak tiga atau empat perbicaraan terakhir mengenai ‘SMS Ugut Bunuh’ di Kuala Terengganu semakin menyerlahkan siapa yang sebenarnya terbabit dalam perbuatan khianat ini, kini meletakkan Ahmad Said dalam keadaan lebih selesa.

Ramai yang tidak sabar untuk mendengar dan mengikut perbicaraan akan datang – 26 hingga 28 Oktober ini – untuk lebih jelas apa peranan yang dimainkan oleh syarikat yang turut terbabit dalam kes penghantaran ‘SMS Ugut Bunuh’ ini.

Kini amat jelas Wan Ahamad tidak terlibat apa lagi Ahmad Said yang cuba dijatuhkan oleh pihak-pihak tertentu melalui taktik kotor sebegini.

Sejak akhir-akhir ini dikhabarkan Wan Ahamad sudah mula menerima sms ‘mohon kemaafan’ kerana keterlanjuran penulis kolum atau kolumnis tertentu selama ini yang hanya mendapat info daripada sebelah pihak.

Yang diharapkan ialah hasil perbicaraan mahkamah ini kelak semua pihak yang wajar mendapat keadilan akan mendapatnya dan yang jahat dan berniat buruk itu dihukum atas kesilapannya.

Apa kesalahannya? Bukan sekadar memfitnah Ahmad Said dan Wan Ahamad tetapi menggambarkan Terengganu sebagai negeri tidak aman.

Lebih buruk orang itu atau kumpulannya sanggup berbuat fitnah hanya kerana kepentingan politik seseorang sedangkan rakyat Terengganu – majoritinya Melayu dan Islam – tidak wajar diheret atau dibabitkan ke kancah politik kepentingan individu yang tamakkan kuasa dan kekayaan.

No comments:

Post a Comment