Tuesday 28 September 2010

Sudah Terang Lagi Bersuluh - Wan Ahamad Tidak Ada Kena Mengena Pun!

PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN

Wan Ahamad dan Ahmad Said

Bahagian Akhir
(Sambungan Semalam)

Dalam perbicaraan SMS Ugut Bunuh tiga hari - 21, 22 dan 23 September 2010 lalu - Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong telah memberi keterangan mengenai sistem sms hebahan berkenaan kepada Mahkamah.

Mohd Latiff Kachong
Dalam demonstrasi sistem berkenaan kepada Mahkamah beliau telah menggunakan komputer riba , projektor dan layar serta sambungan internet milik Mahkamah.

Mahkamah telah meminta Mohd Latif menghantar SMS dengan cara yang sama sebagaimana laporan polis yang telah dibuat oleh tiga Yang Berhormat - YB Rosol Wahid (ADUN Ajil) , YB Zakaria Abdullah (ADUN Paka) dan Yb Halim Jusoh (ADUN Permaisuri) terhadap Wan Ahamad Wan Muda bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar yang berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?’ dengan menggunakan nombor telefon bimbit 0199158369 sebagai penghantar.

Apa yang menarik daripada sistem yang ditunjukkan di layar kepada Mahkamah oleh Mohd Latif, dihantar daripada telefon bernombor “0199158369” telah berjaya diterima Hakim, Pendakwaraya dan Peguambela.

Pertama, Mahkamah mengarahkan Mohd Latif menggunakan aplikasi sIstem sms hebahan kepada telefon bimbit nombor 0123234884 mesej berbunyi ‘Selamat Hari Raya’ dengan menggunakan nombor 3288612345 sebagai penghantar. Kali kedua, Mahkamah mengarahkan Latif menghantar mesej yang sama kepada telefon bimbit nombor 0129885072 yang dihantar dari nombor yang sama.

Kali ketiga, Mahkamah mengarahkan Latif menghantar mesej ‘Selamat Hari Raya’ kepada telefon bimbit nombor 0192753026 yang dihantar melalui telefon bimbit nombor 0199158369 ia itu numbor milik Wan Ahamad bin Wan Muda, yang kini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Mahkamah juga telah mengarahkan Latif menghantar sms kepada telefon-telefon di atas menggunakan nama syarikat beliau iaitu ‘MobileBiz’ sebagai penghantar. Kesemua mesej yang telah dihantar kepada Mahkamah sama ada menggunakan nombor telefon termasuk nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad atau pun nama syarikat sebagai penghatar (sender ID) telah selamat diterima oleh pihak Mahkamah iaitu Hakim, Pendakwa dan Peguambela.
Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (gambar kiri), iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu.

Sebelum itu dalam perbicaraan pada 9 dan 10 Ogos 2010, Hazwan salah seorang pemilik Syarikat Mobile Biz Network memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini merupakan sistem hebahan SMS yang dihantar dalam kuantiti yang banyak serentak yang hanya menggunakan platform internet tidak melalui telefon bimbit.

Hazwan juga memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini telah dibeli oleh seorang yang dipanggil Irwan (kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang ditahan polis bagi siatan kes ini) untuk kegunaan seorang tokoh politik menyebarkan kempen melalui sms .

Sistem yang dibeli ini tidak dikendalikan oleh beliau sebaliknya menyerahkan password dan ID kepada orang lain untuk kegunaan kempen pemilihan UMNO pada tahun lalu.

Pada 4 Jun 2009 Ahmad Ramzi telah ditahan Polis dan dituduh dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 500 kerana memfitnah Datuk Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad melalui laman web http://ownsn-sbiz.com/v1

Dalam keterangnya kepada Mahkamah, Hazwan telah menggunakan komputer riba, projektor dan layar serta sambungan internet milik Mahkamah bagi demonstrasi sistem ini.
Perkara menarik di sini:

Daripada keterangan Hazwan sebelum ini, jelas yang menghantar SMS Ugut Bunuh dan sebagainya bukan dilakukan oleh Wan Ahamad Wan Muda. Hazwan jelas mengakui sms dihantar melalui platform internet.

Anihnya nombor handphone 0199158369 milik Datuk Haji Wan Ahamad bin Wan Muda, Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu telah tiada dalam perkhidmatan kerana telah ditamatkan perkhidmatannya lebih setahun lalu. Fakta ini menjelaskan lagi sms berkenaan tidak dihantar melalui handphone milik Wan Ahamad tetapi melalui sistem hebahan daripada internet.

BUKTI INI LEBIH MENJELASKAN BAHAWA PENAMA (PEMILIK NOMBOR HANDPHONE BERKENAAN) TELAH DIFITNAH.

Kini kes ini semakin hampir kepada siapa penghantar, kepada siapa dan siapa pula mengarahkan agar SMS Ugut Bunuh itu dihantar.


Peristiwa ‘SMS Ugutan Bunuh ADUN’ ini telah merakam titik hitam dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Terengganu apabila sepuluh ADUN menjadikan isu ini sebagai alasan untuk tidak hadir sidang. Rentetan isu ini juga membawa kepada perlantikan DS Ahmad Said ke jawatan Timbalan Pengerusi Perbubungan UMNO Negeri.

Dalam perbicaraan pada 26 April 2010, Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau yang terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Adun berkenaan pada 13 April, tahun lalu, menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut.

“Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa.

“Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kes perbicaraan Dr Ramzi yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Wan Ahamad yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), berkata beliau meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin (Zakaria) Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan bersambung semula pada 26 hingga 28 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment