Wednesday 22 September 2010

Apa Tidak Kena Dengan Ahmad Said?

Sambungan rencana mengenai POLITIK TERENGGANU : APA SEBENARNYA?


Disebutkan pada entri kelmarin bahawa apabila dilantik Menteri Besar Mad Said mengharapkan sokongan dan perhatian daripada rakan-rakan ADUN dan Ketua Bahagian. Namun pada peringkat awal perlantikannya, Mad Said berada pada kedudukan 23-0.

Apa yang tidak kena dengan Mad Said sehingga di peringkat negeri ADUN-ADUN ini menolaknya secara total sementara di peringkat Pusat, ada yang menyamakan Ahmad Said sebagai ‘nangka masak yang akan jatuh berdebab ke bumi pada bila-bila masa’?

Apa sebenarnya yang TIDAK KENA dengan Mad Said?

1. Mad Said bukan kelibat MB

Mad Said bukan tokoh Menteri Besar. Gaya Mad Said bukan gaya Menteri Besar. Mad Said tak ada stail nak jadi Menteri Besar. Itu kata bomoh dan pawang politik. Mad Said bukan high profile macam Rasol Wahid atau Din Adam atau Alias Abdullah. Dia juga bukan Awang Tera atau Rahin Said.

Seperti disebutkan sendiri oleh Mad Said bahawa beliau ‘lawa tiada, manis ada’. Malah Mad Said juga sering ‘mengatakan dirinya sendiri’ dan sedar beliau ‘jongang’ dan bukanlah smart seperti Exco atau ahli politik Terengganu yang lain.

Jadi, apabila Mad Said dilantik sebagai Menteri Besar, pihak yang tidak berpuashati mengatakan inilah yang tidak kena dengan perlantikan Menteri Besar itu. Tak ada tokoh MB.

Tetapi tiba-tiba dilantik sebagai Menteri Besar. Siapa kita untuk mempertikaikannya? Menyalahkan Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana memilih Ahmad Said?

2. ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu Tidak Sebulu Dengan Mad Said?

Semua tahu ADUN yang bertanding pada pilihan raya umum 2008 adalah pilihan Idris. Kalau diibaratkan pasukan bolasepak, Idris sebagai Pengurus Pasukan membeli dan menentukan pemain untuk pasukannya. Tiba-tiba dia dipecat dan penggantinya Mad Said terpaksa melatih dan mengurus pemain yang sedia ada tanpa boleh membeli yang baru atau menukarnya.

Sudah pasti pemain berkenaan loyal dengan pengurus lamanya dan Mad Said berdepan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan. Lebih menyulitkan Idris sebagai pengurus begitu high flyer bertaraf Jose Maurinho yang mengecapi kejayaan di FC Porto, Chelsea, Inter Milan di kini di Real Madris. Mad Said pula pengurus biasa yang dilantik berdasarkan keupayaan sekadar kejuaraan liga biasa. Dengan kata lain potensi dan keupayaannya belum teruji. Apakah wajar dia terus dipersalah atau dikritik berterusan?

Mahu tidak mahu, Mad Said berdepan dengan pelbagai masalah dan perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah pengurusan politiknya. Apakah bentuk pengurusan yang perlu dilakukannya?

Perkara ini akan diperkatakan dalam bahagian-bahagian yang berikutnya.

3. Perlantikan EXCO

Selepas dilantik menjadi Menteri Besar, menjadi tugasnya melantik Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Dengan kata lain, kini Mad Said perlu melantik siapa kapten, penolong kapten, meletakkan pemain di posisi sesuai dan banyak lagilah.

Namun hakikat yang perlu diterima ialah, dengan pemain yang ada itulah beliau perlu mengurus dan menjamin pasukannya menang.

Apapun, Ahmad Said tidak meninggalkan terus bekas pengurus. Beliau mempelawa Idris untuk menjadi Exco tetapi Idris menolaknya. Langkah Idris adalah tepat kerana tidak mungkin dia mahu menerima jawatan yang lebih rendah daripada jawatan lamanya. Namun di pihak Mad Said begitu jelas menghormati Idris.

Oleh kerana tiada jawatan lain lebih tinggi, lagipun kerusi Menteri Besar hanya satu, Mad Said tidak boleh menyerahkan kerusi itu kepada Idris atas dua fakta – Idris sudah ditolak oleh istana dan Mad Said perlu memenuhi titah dan berkhidmat untuk rakyat. Beliau harapan Tuanku Mizan!

4. Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tonjolkan hukuman untuk Mad Said

Mad Said tidak pernah lupa bahawa kuasa dan pengaruh Idris dalam UMNO Terengganu begitu besar. Di mana-mana juga orangnya.

Apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) membuat rombakan drastik dalam badan tersebut pada 22 Januari 2000, Pak Lah melantik muka baru - Idris (ketika itu Datuk) sebagai timbalannya. Walaupun Idris menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan pengerusinya dipegang Pak Lah, banyak perkara membabitkan UMNO Terengganu diserahkan kepada Idris.

Dengan kata lain, antara tahun 2000 hingga 2004 hingga Idris dilantik sebagai pengerusi perhubungan yang baru, hakikatnya Idrislah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Jadi apabila Mad Said dilantik sebagai Menteri Besar, Majlis Tertinggi (MT) UMNO boleh mengekalkan jawatan kepada Idris atau sesiapa juga yang difikirkan mampu menerajui UMNO Terengganu. Kekuatan politik Idris yang mendapat sokongan UMNO Pusat terpancar apabila dia mengatakan enggan melepaskan jawatan berkenaan pada...

Namun MT membuat keputusan bahawa Mad Said perlu dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar pada 14 Jun 2008 menggantikan i Idris Jusoh yang melepaskan jawatan itu sebulan sebelumnya. Menurut Pak Lah yang ketika itu Presiden UMNO, pemilihan Mad Said dibuat berikutan kedudukannya kini selaku Menteri Besar Terengganu.

Namun itu hanya sementara.Pada 24 April 2009, setelah Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Presiden UMNO, Mad Said digugurkan dan tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Amat jelas bahawa MT melihat ada yang tidak kena kepada Mad Said yang wajar digantikan!

Mad Said ‘dihukum’ kerana kemelut politik Terengganu berterusan dan Hishamuddin adalah ‘lampu ajiab’ untuk mengatasi kemelut itu.

5. Pemilihan Parti & Ketua Bahagian

Mad Said menjadi Menteri Besar pada ketika UMNO mahu mengadakan pemilihan. Mahu tidak mahu, Mad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri seboleh-bolehnya tidak mahu ada pertandingan. Bahaya pertandingan ialah boleh memecahbelahkan parti dan pentadbiran UMNO. Namun siapa Mad Said mahu menyekat mereka? Pemimpin UMNO di bahagian-bahagian bagai hulubalang.

Lagipun, isyarat yang ditunjukan di bahagian-bahagian begitu terserlah akan wujud pertanding besar-besar di Setiu, Hulu Terengganu, Marang serta Dungun.

Apa yang diramalkan amat tepat. Pertandingan bahagian menjadi ‘bebanan’ kepada Mad Said dan nasihatnya supaya tiada pertandingan tidak dihiraukan. Sebenarnya inilah pembayang atau permulaan kepada kemelut politik Terengganu selepas ini.

Perincian peristiwa dan kesannya akan diperkatakan pada Bahagian Kedua sebelas ini.

6. UMNO Terengganu

Mad Said Ketua Bahagian Kemaman. Jauh dari Kuala Terengganu. Banyak orang mengatakan Kemaman lebih rapat dengan Kuantan seperti Besut rapat dengan Kota Bharu.

Apabila Mad Said menerajui UMNO Terengganu, ada ‘mulut jahat’ mengatakan Mad Said hanya mementingkan bahagiannya. Namun orang lupa bahawa kedudukannya yang kuat di bahagian – menang tidak bertanding seperti juga Idris di Besut dan Datuk Wan Ahmad Farid ( di Kuala Terengganu akan membolehkan beliau menumpukan tugas negeri dengan lebih baik dan lebih yakin.

Namun, UMNO Terengganu yang dilihat tidak stabil oleh MT dan beberapa pemimpin UMNO Pusat menjadi punca Mad Said hilang ‘pengawalannya’ di Terengganu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak percaya dengan bisikan pihak tertentu bahawa Mad Said gagal mengawal kemelut politik Terengganu.

Mat Said pegang Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu hanya tujuh bulan pada ketika kedudukannya sebagai Menteri Besar diserang daripada setiap sudut dan beberapa Bahagian UMNO Terengganu pula bergelut dengan kesan pemilihan.

Yang kalah dalam pemilihan boleh dikatakan rata-rata adalah ‘anak buah Idris’ – kecuali Marang – lebih memberi tekanan kepada Mad Said untuk memulihkan pertelingkahan. MT melihat ada orang lain lebih baik daripada Mad Said – Hishamuddin – yang mampu mengatasi kemelut.

Sehingga entri ini ditulis, kemelut politik Terengganu belum selesai dan yang berusaha menyatukan kembali pemimpin yang bertelagah adalah banyak diusahakan Mad Said.

Namun, Hishamuddin tetap dilihat sebagai penyelamat dan tinggallah Mad Said sebagai orang yang ‘serba tidak kena’ dalam konteks UMNO Terengganu hingga setakat ini.

7. UMNO Pusat

Mad Said dilihat gagal dalam tugasnya menjamin kemenangan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Mad Said juga dilihat gagal mengatasi kemelut politik Terengganu – sebahagian besar diakibatkan penentangan terhadap perlantikan beliau – menyebabkan Hishamuddin dihantar sebagai ‘lampu ajaib’ menyelesaikan kemelut.

Persepsi UMNO Pusat ialah selagi kemelut tidak berakhir, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tidak akan dipulangkan. Bagi yang mahu melihat Mad Said tidak memegang teraju UMNO negeri, adalah baik jika mereka meneruskan kemelut politik di Terengganu. Ini kerana jika MT merasakan Terengganu sudah kembali stabil, Mad Said akan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO.

Bagi yang ‘bengang’ dengan Mad Said, cara terbaik ialah terus menerus ‘kacau’ politik Terengganu dan memberikan impression kepada UMNO Pusat bahawa kemelut politik Terengganu belum reda. Amat nyata peranan kumpulan yang turun naik Kuala Terengganu – Kuala Lumpur/Putrajaya akan terus ‘penting’ selagi Najib sendiri percaya atau terpengaruh dengan maklumat palsu dan sengaja mempamirkan kononnya Mad Said terus dibenci dan tidak akan mampu mentadbir dan menguruskan UMNO Terengganu.

SEBENARNYA? Kumpulan yang membawa berita dan memberikan impression kelemahan mad Said adalah mereka yang tidak percayakah kepada Qada dan Qadar.


Sebagai orang Islam, kita tidak wajar mempersoalkan hukum dan ketentuan Allah. Ada sebab dan hikmahnya di sebalik pemilihan Mad Said sebagai Menteri Besar.

Selain itu pemimpin Pusat – UMNO dan Pentadbiran – perlu melihat dengan sikap lebih terbuka bahawa Tuanku Mizan membuat perlantikan selepas menilai banyak faktor termasuk melihat pemimpin paling senior, ‘tidak berniaga’ dan cakna rakyat sesuai dengan moto pentadbiran Mad Said sejak 2008 lagi – Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

No comments:

Post a Comment