Sunday 26 September 2010

Wan Ahamad Tidak Ada Kena Mengena Pun!

PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN

Bahagian Pertama:


Kes perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu kini semakin kurang mendapat perhatian wartawan di Terengganu.

Kenapa? Apakah kes ini tidak penting? Atau apakah wartawan Terengganu tidak minat dengan politik?

Yang nyata akhbar yang sering memberikan liputan kepada ‘penentang Datuk Seri Ahmad Said ‘ seperti Sinar Harian pun tidak ada lagi selera meliputi kes ini.

Ini jelas kerana pada perbicaraan pada 22 September lalu, hanya Bernama yang memberikan laporan penuh sedangkan akhbar lain bagai tidak mempedulikannya.

Akhbar utama seperti Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, Kosmo!, New Straits Times dan The Star sudah tidak bermaya dalam melaporkan kes ini.

Seperti diketahui umum, Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 hingga 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Atau mungkin juga beberapa wartawan di Terengganu kini merasakan kes ini hampir kepada penghujungnya dan semakin terserlah orang yang dituduh menyebarkan sms ugutan bunuh itu tidak terbabit langsung.

Malah ada di kalangan wartawan tertentu yang sebelum ini beria-ia mengaitkan Wan Ahamad semakin mengunci mulut mereka kerana banyak perkara terpalit dan terpercik ke muka sendiri.

Malah bila diajukan dengan persoalan mengenai kes ini, mereka melarikan perbualan ke topik lain.

Perkembangan terbaru di mahkamah itu mungkin mengecewakan sebahagian mereka yang mahu melihat Wan Ahamad dipalitkan dan kemudian mengaitkannya dengan Ahmad Said.

Setidak-tidaknya jika Wan Ahamad yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dibabitkan, akan panjanglah cerita politik di Terengganu.

Wan Ahamad yang dilihat orang paling rapat dengan Ahmad Said jika berjaya disabitkan akan memberikan kesan besar kepada kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Yang pasti, pada perbicaraan 22 September itu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu diberitahu bahawa akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan bunuh kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu diaktifkan sebelum menerima pembayaran langganan.

Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong berkata, beliau meluluskan pengaktifan akaun untuk pelanggan bernama Irwan selepas diminta berbuat demikian oleh pemilik syarikat itu, Hazwan Abu Hassan.

Menurut Mohd Latif, pengaktifan sesuatu akaun itu sama ada belum atau telah menerima pembayaran langganan bergantung kepada budi bicara beliau.

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," katanya ketika menjawab soalan peguam bela di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Dr Ramzi iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu, 22 September lalu.

No comments:

Post a Comment