Friday 24 January 2014

Lawatan ke Antartika - Ahmad Said Tidak Amanah, Berbohong Kepada Rakyat Terengganu?


"Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam. Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!"

Penafian oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) semalam bahawa ia tiada kena mengena dengan lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika memang sewajarnya diumumkan.

Ini kerana YDSM memang tidak terlibat dengan sebarang program atau rancangan di luar negara.

Sebaliknya YDSM hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.

Apakah Ahmad Said selaku Menteri Besar bercakap bohong dan menipu rakyat Terenggnu mengenai lawatannya ke khutub selatan itu?

Apakah Ahmad Said sebagai Menteri Besar sudah melanggar etika beramanah dan bercakap benar di mana pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah?

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan tidak wajar Ahmad Said menyalahgunakan nama Yayasan Diraja Sultan Mizan sebagai ‘justifikasi’ kepada lawatan beliau ke Antartika.

Beliau menegaskan, lawatan tersebut tidak ada kena mengena dengan negeri dan rakyat Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah memohon penjelasan daripada Menteri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh YDSM melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail semalam.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM, kata Mohd Nor.

Sultan Terengganu melancarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan pada 19 Julai 2012 di Universiti Malaysia Terengganu. 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Dr Kahiruddin Aman Razali pula , berkata penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan berhubung penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika mewajarkan mempertikaikan kedudukan beliau.

“Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar,” kata Khairuddin.

Tegasnya, pemerintah melibatkan etika beramanah dan bercakap benar dan pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah.

Penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail memang tepat dan wajar untuk menjaga nama baik YDSM yang apabila memperkatakan yayasan berkenaan sudah pasti akan menarik sama nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Nama YDSM dan Sultan Terengganu tidak wajar dipergunakan sewenang-wenangnya, apa lagi jika YDSM dan Sultan Terengganu tidak terlibat langsung dengan lawatan itu.

Datuk Seri Haji Ahmad Said di majlis MoU antara National Antartic Research Center of Malaysia dengan Institut Antartico Chileno.
Bagaimanapun, oleh kerana YDSM dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) adalah dua entity berbeza, Mohd Azrul tidak menyebut langsung mengenai pembabitan YPASM dalam isu lawatan itu.

Apa yang kita dapat lihat dan baca ialah kritik dan persoalan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS Terengganu khususnya berasaskan kepada mungkin kesilapan pada kenyataan akhbar oleh Pejabat Menteri Besar pada 15 Januari 2014 lalu yang mengarahkan kepada penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu. Sebaliknya Pejabat Menteri Besar semalam sudah memperbetulkan kenyataan sebelum ini dengan merujuk YDM kepada YPASM. Malah kesilapan itu diakui 'tidak disengajakan dan amaat dikesali'.

Jadi sudah jelas penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu tepat dan Menteri Besar membuat lawatan itu dikendalikan YPASM di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Amat jelas, tidak wajar isu penafian YDSM dijadikan bahan untuk menghentam Ahmad Said.

Kita sewajarnya menunggu 'tuan badan' pulang dan menjelaskan segala-galanya.

Jangan kita mempergunakan kesilapan kenyataan Pejabat Menteri Besar itu ‘menghodohkan’ kerajaan negeri dan Ahmad Said. Juga jangan buat prasangka melulu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang datang daripada parti yang mendakwa memperjuangankan Islam.

Memetik kenyataan Khairuddin sekali lagi : “Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar.”

Yang kita hairan ialah kenapa pegawai pentadbir negeri yang mengetahui mengenai lawatan ini, termasuk SUK sesiapa juga tampil memperjelaskan isu ini.

Kenapa mereka terus MENGUNCI MULUT?

Atau apakah SUK, dua timbalannya atau sesiapa sahaja yang maklum mengenai lawatan dan perbelanjaan MERAHSIAKAN SESUATU?

Di mana mereka yang sering mendakwa ‘orang kuat dan yang rapat dengan Menteri Besar’ dalam kekalutan seperti ini? Jika kesemua mereka ‘mendiamkan diri’ akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah Ahmad Said ke Antartika ‘melalui PINTU BELAKANG’ tanpa pengerahuan pegawai utama kerajaan negeri?

Di manakah ‘ikatan rapat’ antara Menteri Besar dan penjawat awam negeri Terengganu yang dikatakan rapat selama ini.

Tentunya di waktu seperti inilah mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Negeri perlu tampil menjelaskan isu ini.

Sidang media Menteri Besar sebelum ke Antartika 15 Januari lalu . Di kanan beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Kita lihat bagaimana Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sering bercakap mengenai isu yang sama dan KSN menjelaskan bagaimana 11 langkah penjimatan yang menjadi kecaman beberapa pihak diperjelaskan dengan begitu baik oleh KSN.

Perlu ada penjelasan yang baik mengenai ‘kemelut lawatan ini’ ini daripada kerajaan negeri kerana serangan yang ditujukan kpada Ahmad Said bukan ke atas dirinya tetapi kepada kedudukannya sebagai Menteri Besar. Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam.

Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!

Kita melihat beberapa Exco Kerajaan Negeri berusaha menjawab isu ini tetapi jawapaan mereka masih kabur.

Mereka juga seolah-oleh tidak diberikan ‘pengetahuan secukupnya’ mengenai lawatan ini?

Rasanya dengan makluman bahawa YPASM yang terbabit dalam lawatan ini ‘mencerahkan sedikit suasana’.
Namun jawapan yang jelas dan tepat tetap diperlukan untuk menafikan tuduhan bahawa Ahmad Said tidak beretika, tidak amanah dan menipu rakyat Terengganu khususnya.

Kita tunggu jawapan Ahmad Said, kerajaan negeri dan mungkin selepas ini akan ada kenyataan daripada YPASM untuk menafi, mematahkan serangan pembangkang selain memberitahu rakyat bahawa lawatan ke Antartika itu sangat BERBALOI untuk kepentingan iklim, kajian khutub, akademik serta penyelidikan untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya.

Juga Ahmad Said perlu buktikan bahawa pemikiran ke hadapannya perlu disambut oleh rakyat Terengganu dengan sikap dan pemikiran yang se arah dengannya, bukan pemikiran pembangkang yang terus berusaha mencemuh, memperkecil serta mencerca usaha beliau demi memaju dan mengangkat pemikiran dan martabat negeri ke satu tahap yang lebih maju dan ke hadapan berbanding sekarang.




No comments:

Post a Comment