Monday 13 January 2014

MIC Gesa Pemuda UMNO Tumbuk Kamalanathan Dikenakan Tindakan


Pemimpin MIC mahu tindakan diambil terhadap lelaki yang didakwa menyerang Timbalan Menteri Pelajaran P. Kamalanathan pada Ahad.

Setiausaha Agung MIC A.Prakash Rao berkata beliau kesal apabila seorang lelaki menunjukkan kemarahannya di khalayak ramai.

"Ini bukan cara untuk mendekati seorang timbalan menteri yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor," kata beliau ketika dihubungi.

Pada Ahad, Kamalanathan telah menghadiri program di bahagian ini dan beliau telah diserang oleh seorang lelaki, dipercayai anggota Pemuda Umno Hulu Selangor berhubung permintaannya mengenai pemindahan guru sekolah.

Ketua Penerangan MIC L.Sivasubramaniam berkata penyerang 'patut dihukum'.

Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel meneliti kes itu.

Ketua Pemuda MIC C.Sivarraajh berkata sayap itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Ia sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang lelaki menyerang seorang timbalan menteri yang merupakan Ahli Parlimen kawasan itu.

Perbuatan seperti itu memang salah dan tidak sepatutnya berlaku," katanya sambil menyeru jawatankuasa disiplin Umno untuk bertindak.

Ketua Pemuda MIC Selangor Shanker Raj A. berkata tindakan lelaki itu adalah memalukan seluruh pergerakan belia BN.

Kamalanathan semalam membuat laporan polis selepas mendakwa beliau ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor itu di Bandar Bukit Beruntung, Rawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata Kamalanathan membuat laporan itu di Balai Polis Bukit Beruntung selepas mengalami kecederaan di bahagian leher dalam kejadian pukul 2.30 petang itu. 

"Selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Baharu, Kamalanathan seterusnya telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk rakaman percakapan," kata Mohd Shukri semalam.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan polis sedang mencari suspek tersebut.

Menurut laporan polis itu, sebelum kejadian, bapa suspek berkenaan dikatakan menemui Kamalanathan di pejabat itu untuk meminta bantuan timbalan menteri itu bagi urusan memindahkan menantunya yang bertugas sebagai guru di Johor ke Hulu Selangor.

Kamalanathan bagaimanapun menerangkan beliau hanya mampu memberikan sokongan kepada permohonan itu, sebelum bapa suspek bertindak merayu hingga menyatakan sanggup mencium kaki anggota Parlimen Hulu Selangor itu.

Menurut laporan polis, Kamalanathan mendakwa suspek kemudian berjumpanya dengan sekumpulan pemuda lain di pejabatnya dan melepaskan satu tumbukan ke bahagian lehernya.

No comments:

Post a Comment