Monday 25 October 2010

SMS Ugut Bunuh - Sabotaj Terhadap Ahmad Said & Kerajaan BN?

http://teganuku.blogspot.com/

Perbicaraan “Ugutan Bunuh menerusi SMS” akan bersambung esok - 26 Oktober hingga 28 Oktober 2010 - yang dijangka akan mendedahkan beberapa bukti baru bahawa SMS dihantar pihak tertentu kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (UMNO), bukan oleh Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Apakah relevannya perbicaraan ini dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said?

Jika terbukti Wan Ahamad tidak melakukannya maka Ahmad Said dan bekas Setiausaha Sulitnya sengaja dikaitkan dengan SMS Ugut Bunuh yang membawa kepada pemulauan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu.

Juga jika Wan Ahamad tidak melakukannya, tindakan ADUN BN daripada UMNO memulaukan DUN berkenaan tidak wajar dan tindakan sengaja berasaskan SMS yang dihantar oleh pihak tertentu yang cuba menggugat dan mensabotaj BN dan kepimpinan negeri yang diperkenan lantikannya oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perbicaraan tiga hari sebelum ini, iaitu pada 21, 22 dan 23 September 2010 lalu di Mahkamah Sesyen menunjukkan Akaun Diguna Untuk Kes Ugutan SMS Milik Pelanggan Bernama Irwan.

Mahkamah Sesyen pada perbicaraan itu diberitahu bahawa akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan bunuh kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu diaktifkan sebelum menerima pembayaran langganan.

Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong (gambar kiri) berkata, beliau meluluskan pengaktifan akaun untuk pelanggan bernama Irwan selepas diminta berbuat demikian oleh pemilik syarikat itu, Hazwan Abu Hassan.

Menurut Mohd Latif, pengaktifan sesuatu akaun itu sama ada belum atau telah menerima pembayaran langganan bergantung kepada budi bicara beliau.

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," katanya ketika menjawab soalan peguam bela di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu.

Dr Ahmad Ramzi kini didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) (gambar kanan) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 hingga 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Untuk mengetahui lebih dekat perbicaraan pada 21, 22 dan 23 September 2010, lalu, sila rujuk ke entri yang disiarkan sebelum ini ( di sini, di sini dan di sini).

No comments:

Post a Comment