Friday 15 October 2010

Pembalakan Di Kenyir - TIDAK PERNAH SEBELUM INI...

Bahagian Satu – Balak Kenyir & Ahmad Said


Membaca sebuah entri dalam sebuah blog proPAS bertajuk “Syarikat Mek Hawa ‘cabul’ alam sekitar Tasik Kenyir” (13 Oktober 2010) dan laporan Utusan Malaysia yang memetik Bernama bertajuk “Kelaba kecam pembalakan haram” semalam (14 Oktober 2010) menimbulkan banyak persoalan.

Pertama, apa yang diperkatakan melalui blog proPAS ini sealiran dengan laporan Bernama yang turut memetik kenyataan AJK Kelaba (Persatuan Penguasa Bot Pelancong Tasik Kenyir. Apakah kedua-duanya berpakat atau mendapat ‘wahyu’ daripada seseorang untuk memperbesarkan isu ini?

Penulis mengatakan demikian kerana ada petikan kenyataan daripada seseorang yang jelas memang anti Ahmad Said sebelum ini dalam laporan yang disiarkan di blog berkenaan.

Anehnya, walaupun sebelum ini kerja pembalakan dalam tasik dan pemotongan tunggul dilakukan sejak era Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad hinggalah ke zaman Datuk Seri Idris Jusoh, seolah-olah ia dijalankan dengan ‘bersih’ dan ‘tidak membahayakan’.

Tidak pernah diperkatakan sebelum ini mengenai isu ini secara besar sedangkan hakikatnya, sudah berpuluh atau mungkin beratus juta ringgit balak dikeluarkan daripada tasik berkenaan namun mereka yang bersuara kini sebelum ini diam seolah-olah mereka turut kenyang.

Apakah ia kerana Ahmad Said dan Wan Ahamad Wan Muda?

Kedua, laporan Bernama (agensi berita nasional milik kerajaan) hanya melaporkan sebelah pihak. Dalam ilmu kewartawan, laporan perlu adil, apalagi jika ia datangnya daripada agensi kerajaan. Tetapi tidaklah diketahui sama ada Bernama dan Utusan Malaysia sudah mendapatkan maklumat tepat mengenainya sebelum menyiarkan kenyataan oleh Kelaba itu.

Apapun, sebelum mengulas persoalan yang ditimbulkan melalui laporan blog dan Bernama berkenaan, amat jelas kedua-dua laporan itu memperkatakan beberapa dakwaan berikut:

1. Hampir 100 orang ahli Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Tasek Kenyir (KELABA) melahirkan rasa bimbang terhadap 'pencabulan' dan kemusnahan alam sekitar akibat kerja-kerja pembalakan di Tasek Kenyir;


2. Kerja-kerja pembalakan air di sekitar Gua Bewah, Tasek Kenyir yang terletak di Taman Negara sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor pembalakan terbabit;


3. Sekiranya aktiviti pembalakan 'dalam air' itu diteruskan, menurut jurucakap KELABA, ia akan memusnahkan 'sanktuari' habitat pembiakan semulajadi ikan di tasek berkenaan;

4. Aduan serta bantahan pernah diajukan kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri tetapi tidak mendapat ‘respon’ malah pihak kontraktor berkenaan semakin ‘berani’;

5. Pihak kontraktor ‘ali baba’ yang mendapat projek pembalakan berkenaan pernah ‘merayu’ kepada pihak persatuan agar membenarkan kerja-kerja pembalakan diteruskan;

6. “Saya diberitahu oleh pihak ‘taukeh’ Cina (kontraktor) itu yang syarikatnya telah ‘habis’ (belanja) sebanyak RM1 juta untuk dapatkan kawasan pembalakan itu,” jelasnya. Beliau turut mempersoalkan kepada siapa wang RM1 juta itu dibayar oleh pihak kontraktor Cina untuk mendapatkan kawasan balak berkenaan;

7. Terdapat beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak sehaluan dengan kepimpinan MB Dato’ Seri Ahmad Said telah melahirkan rasa ‘marah’ dan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri; dan,

8. Persoalannya, siapakah pemilik Syarikat Wargasuria Holdings Sdn. Bhd?, Ini kerana, pemilik syarikat berkenaan dikatakan kroni rapat dengan ‘Mat Said’ (Menteri Besar) Terengganu.

Lapan perkara di atas adalah hasil tinjuan skuad blog berkenaan.

Apa yang jelas daripada laporan ini, balak yang dimaksudkan di Kenyir telah dikelirukan oleh puak yang berkepentingan.

Ia bukan kerja menebang balak dalam hutan tetapi membersih saki baki tunggul kayu yang kelihatan masih banyak bagi kemudahan laluan bot.

Bila disebut laluan bot, bukan untuk bot milik Kelaba semata-mata. Ia adalah persediaan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terbesar Terengganu.

Memanglah banyak pihak yang skeptikal mengenai menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terbesar serta kawasan bebas cukai.

Tidak apalah - itu hak mereka untuk mengatakan apa sahaja.

Tetapi melihat kepada apa yang diperkatakan oleh Kelaba dan mereka yang mengulas mengenai perkara ini, amat jelas mereka kekurangan maklumat dan dengan maklumat terhad tetap juga mahu ‘melakukan sesuatu’ terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Bersambung Bahagian Kedua

No comments:

Post a Comment