Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee (gambar) meminta orang
ramai supaya berhenti membuat spekulasi kononnya beliau akan dilantik Menteri
Besar Terengganu yang baharu.
Katanya, spekulasi seperti itu boleh menimbulkan
kekeliruan dan akan menyinggung perasaan terutamanya pentadbiran sekarang ini.
“Saya ada baca viral tersebut tetapi nasihat saya
cukuplah setakat itu, sebab sebarang keputusan mengenai (perlantikan Menteri
Besar) tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui
pemberita seusai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman
hari ini.
EXCO Pelancongan dan Kebudayaan itu menambah kesemua EXCO
dan wakil rakyat Terengganu memberi sokongan penuh kepada pentadbiran Ahmad
Razif.
“Menteri Besar kalau nak ikutkan program dia akan
berjumpa dengan semua ADUN BN petang ini (tetapi ditangguhkan), malah secara
individu Menteri Besar ada membuat perbincangan (dengan wakil-wakil rakyat) dan
berjumpa untuk mendapatkan sokongan sebagai Menteri Besar,” katanya.
Jidin menegaskan bahawa kesemua EXCO dan wakil rakyat
Terengganu akan menghormati segala keputusan daripada Istana.
Pada masa yang sama, Jidin memaklumkan bahawa pertemuan
antara Perdana Menteri dan wakil rakyat BN terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh
baru.
Perdana Menteri dilaporkan akan menghadap Sultan
Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bagi membincangkan isu
berbangkit.
“Sepatutnya Perdana Menteri akan melakukan perjumpaan
dengan semua wakil rakyat BN esok di Kuala Lumpur tetapi ditangguhkan kepada
tarikh baharu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif
Abd Rahman tidak membatalkan semua acara rasminya seperti yang dilaporkan
media.
Penafian itu dibuat Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr
Rozailan Ibrahim @Mamat menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap penjelasan itu dapat menghentikan semua
spekulasi yang tersebar.
“Pentadbiran (pejabat Menteri Besar) ini menafikan
spekulasi yang mengatakan bahawa YAB Menteri Besar Terengganu telah membatalkan
semua acara rasmi yang melibatkan beliau sepertimana yang tersebar hari ini.
“YAB Menteri Besar akan menjalankan tugas-tugas rasmi
seperti biasa. Adalah diharapkan dengan penjelasan ini dapat memberi maklumat
yang tepat terhadap pelbagai spekulasi yang tersebar sebelum ini,” katanya.
Semalam, Ahmad Razif dilapor membatalkan semua program
rasmi yang sepatutnya dihadiri beliau dalam minggu ini.
Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai kepada Menteri
Besar Terengganu yang turut mendedahkan, semua program itu kini diwakili exco
negeri itu.
Menurut pegawai itu, pembatalkan program tersebut mungkin
disebabkan kemelut yang sedang dihadapi Ahmad Razif dan pihak Istana ketika
ini.
sumber - FMT
No comments:
Post a Comment