Saturday 30 April 2016

Najib Sahkan Ahmad Razif Kekal MB Terengganu


Ahmad Razif Abdul Rahman akan terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Isu itu telah diselesaikan," kata Najib pada sidang media selepas majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 diKuala Lumpur, hari ini.

Najib juga berkata pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

Sebelum ini, Ahmad Razif mengakui reda dan pasrah anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya ditarik balik.

Malahan, dengan apa yang berlaku beliau bertekad untuk terus membuktikan taat setia kepada Sultan Mizan.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah itu.

"Yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya.


mStar

No comments:

Post a Comment