Thursday 28 April 2016

PBSNT Tidak Akan Berkompromi Lagi Dengan Pemain, Jurulatih


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menyerahkan surat amaran kepada barisan pemain termasuk jurulatih pasukan negeri itu berikutan gagal mempamerkan aksi cemerlang.

Timbalan Presidennya Datuk Mazlan Ngah berkata pihaknya tidak akan berkompromi lagi dengan barisan pemain dan pegawai pasukan ekoran kemerosotan prestasi pasukan negeri berkenaan.

"Surat amaran tersebut akan diserahkan kepada barisan pemain petang ini selain kami akan terus meneliti secara terperinci menerusi dua perlawanan lain iaitu menentang Sarawak pada 4 Mei dan T-Team pada 18 Mei," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan kewangan semalam.

Sebelum ini, kekalahan empat kali berturut-turut skuad Penyu dengan dibolosi 13 jaringan ketika bertemu Felda United, Polis Diraja Malaysia, Perak dan Kelantan bukan sahaja mendapat reaksi kurang menyenangkan penyokong setia pasukan Terengganu bahkan juga kerajaan negeri.

Mazlan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menggugurkan mana-mana pemain sama ada tempatan mahupun import yang gagal mencapai tahap prestasi sebagaimana ditetapkan dalam Aras Pencapaian Pasukan (APP) selain memotong gaji mereka.

"Jika masih gagal PBSNT akan mengemukan satu lagi surat amaran terakhir kepada mereka dan perlu segera diperbaiki dalam masa tujuh hari. Sekiranya masih gagal memenuhi kriteria ditetapkan APP gaji pemain, ketua jurulatih dan pegawai pasukan dipotong," katanya.

Mazlan berkata tindakan dan amaran yang dikeluarkan itu bagi memastikan skuad penyu dapat mengembalikan semula reputasi dan tidak terlepas daripada mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Dalam perkembangan lain, Mazlan juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit rombakan dalam barisan skuad Penyu itu menjelang pintu perpindahan kedua pemain kempen Liga Super musim ini.

Beliau turut berharap barisan pemain dapat segera menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Mike Mulvey dalam dua perlawanan terakhir akan datang dengan meraih kejayaan.

Terengganu kini menghuni tangga kelapan selepas sembilan perlawanan dengan hanya mengumpul sembilan mata.

No comments:

Post a Comment