Saturday, 16 April 2016

Ceramah Dr Zakir Di Bukit Jalil – 3 Lagi Peluk Islam

PENJAWAT swasta dan warganegara India, Harinder Pal Singh mengucapkan syahadah selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.
Selepas Woo Nina Grace, seorang lelaki Sikh dan seorang wanita tempatan pula terbuka hatinya untuk mengucapkan syahadah, sekali gus memeluk Islam selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.

Penjawat swasta dan warga India, Harinder Pal Singh, ketika tampil mengajukan soalan kepada Zakir, tersentuh dengan penjelasan pendakwa ulung antarabangsa itu.

Harinder, 23, kemudian dengan rela hati memeluk Islam selepas Zakir membuktikan wujud persamaan antara al-Quran dan kitab Singh, bahawa Allah hanya satu dan Nabi Muhammad SAW pesuruhnya.

"Sekarang saya jelas bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," katanya sambil dipeluk hadirin yang membanjiri ceramah Zakir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Dr Zakir turut berkesempatan mendoakan supaya perjalanan Harvinder mendalami ajaran Islam dipermudahkan, selain meminta pelbagai pihak untuk membantunya.

"Apa saja yang anda lakukan sebelum ini akan diampunkan, insya-Allah dan semoga Allah kurniakan anda Jannah," katanya disahut laungan takbir 35,000 orang di stadium berkenaan.

Harinder mengakui dirinya sudah mendalami ajaran Islam daripada rakan dan tokoh agama sejak setahun lalu, namun masih menunggu penjelasan yang akhirnya diutarakan secara jelas oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

"Saya akan terus ikut ceramah Dr Zakir selepas ini dan memasuki kelas agama untuk memahami syariat Islam, selain menguatkan kepercayaan diri terhadap Allah dan rasulnya.

"Kehendak saya untuk memeluk Islam bukan atas paksaan, sebaliknya dilakukan atas penuh kerelaan diri kerana tertarik dengan keindahan dan kesempurnaan agama ini," katanya.

Sementara itu, dua wanita tempatan turut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir dan 35,000 pengunjung ceramah.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka hari ini bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Orang ramai dilihat tiba seawal 4 petang untuk mendengar ceramah daripada pendakwah Islam itu yang bertajuk 'Is the Quran God's Word?'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Exco Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan antara yang hadir mendengar ceramah berkenaan.

Pasangan kembar beragama Kristian, Darren dan Daryl Cruz, 23, dari Kota Damansara berkata mereka merasa bertuah menghadiri ceramah Dr Zakir pada malam ini selepas mengagumi penceramah itu sejak 2010.

"Kami berdua sering menonton video Dr Zakir di YouTube dan amat kagum dengan hujah beliau yang sememangnya berdasarkan ilmu yang tinggi.

"Malam ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana selain dapat melihat sendiri Dr Zakir, kami dapat memahami sedikit berkenaan al-Quran," kata Darren.

Soon Mei Mei, 22, yang hadir bersama dua rakannya yang berbangsa Cina berkata ia merupakan pengalaman pertamanya mendengar ceramah daripada Dr Zakir.

"Sebelum ini ada pelbagai persepsi mengenai Dr Zakir dalam media sosial sejak beliau mula berceramah di Malaysia dan malam ini saya datang bersama rakan untuk mendengar sendiri ceramah beliau.

Ceramah Dr Zakir banyak memetik ayat al-Quran dan saya terkejut beliau hafal setiap baris dengan baik sehingga mendapat tepukan orang ramai," katanya.

Sumber - Berita Harian & Bernama

No comments:

Post a Comment