Tuesday, 28 December 2010

Ahmad Said Kembali, Khabar Duka Buat Idris?


Oleh Dr Azman Ibrahim (Tajuk Asal, Ahmad Said Kembali, Apa Petandanya?)
Harakahdaily Online

Setiausaha Agung Umno mengumumkan rombakan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri bagi tiga negeri; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Sekadar catatan, selain Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan juga bukan dipengerusikan oleh anak tempatan negeri.

Menariknya kerana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang dirombak tersebut disandang oleh 3 orang Naib Presiden, Hishammuddin, Zahid Hamidi dan Shafie Afdal sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan dipengerusikan sendiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Apakah misi ketiga-tiga Naib Presiden ini untuk memulihkan masalah yang melanda Umno di negeri-negeri tersebut telah berjaya (mission accomplished) lalu melayakkan ianya dikembalikan semula kepada anak negeri untuk memimpin atau hakikat sebaliknya, mereka gagal sehingga Najib terpaksa akur kepada desakan supaya mereka bertiga digantikan?

Saya berpendapat faktor kegagalan mereka lebih menjadi penyebab utama kepada perubahan ini. Persoalan yang mungkin timbul, apakah Najib sendiri dan Muhyiddin berjaya dalam misi mereka untuk memulihkan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan sehingga mereka masih kekal sebagai Pengerusi Perhubungan bagi dua negeri berkenaan.

Kenapa Jawatan Pengerusi Perhubungan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak turut dikembalikan kepada anak negeri sama seperti Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang?

Mustahil tidak ada di kalangan pemimpin negeri yang bermimpi dan bercita-cita cuma mereka belum berani untuk mengisytiharkan secara terbuka sebagaimana beraninya Mukhriz.

Berbanding dengan Umno Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dilihat lemah dan bermasalah setelah negeri mereka dikuasai Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, senario di Terengganu agak unik dengan negeri kekal dikuasai Umno BN tetapi krisis perebutan jawatan Menteri Besar membawa perpecahan parah dalam Umno negeri.

Ahmad Said yang disokong oleh minoriti Adun Umno negeri tetapi dengan sokongan dan dokongan istana membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar mengatasi kemahuan Pak Lah yang masih inginkan Idris Jusoh menerajui negeri.

Episod panjang perbalahan kekal berterusan sekalipun kerajaan negeri berjaya juga akhirnya dibentuk sehingga sengketa yang tidak mampu lagi dirungkai mengundang campur tangan Umno Pusat dengan perlantikan Panglima Keris Panca Delima sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Perlantikan ini dilihat sebagai kompromi jalan tengah walaupun ianya terlalu jauh untuk menuju titik penyelesaian. Apatah lagi bila pihak yang bertelingkah sebenarnya bukan mengambil kira agenda rakyat tetapi lebih memikirkan kepentingan puak, bukan untuk mencari damai tetapi untuk membuktikan siapa lebih handal dan jaguh dalam permainan ini.

Berulang-alik lah Hishammuddin ke Terengganu kononnya untuk menyusun semula barisan. Kadang-kadang Muhyiddin pun campur tangan sekali walaupun kerap program mereka diboikot begitu sahaja. Setiap kali berkunjung ke negeri angkatnya, Hishammuddin mencanangkan segala masalah telah berlalu dan Umno sedang diperkuatkan semula. Tetapi realiti yang dilihat berlaku amat berbeza.

Senario 10 budak hitam yang bisu di sidang Dun masih berterusan, kemudiannya berkurangan kepada 4 budak hitam sahaja. Mungkin 6 budak hitam lagi yang mula bersuara melihat mereka perlu bersuara walaupun bercakap dengan nada menghentam kerajaan sendiri, lebih teruk dari pembangkang.

Kehadiran Muhyiddin merasmikan Persidangan Agung Umno Bahagian Setiu tahun ini diboikot dengan ketidakhadiran kesemua empat Adun dari Parlimen Setiu. Isu agihan kontrak dan projek yang mementingkan kroni dan puak menjadikan kudis lebih bernanah. Idris Jusoh tentu sama sekali tidak akan mengalah. Puak-puak sekelilingnya yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankannya walaupun sehingga Sultan yang bersemayan digelar ‘natang’ (gambar kanan).

Majlis perdamaian demi perdamaian diatur tetapi lebih kepada simbolik dan retorik. Kita berdamai di dalam majlis, di luar nanti cerita lain. Kamu puak kamu, aku puak aku!

Dengan kedudukan Ahmad Said sebelum 1 Januari 2011 hanya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri tentu ianya akan mencetus dilema bagi seorang Menteri Besar yang tidak menerajui kepimpinan parti di negeri sendiri dalam rangka menghadapi PRU 13 nanti. Tentu sekali percaturan susun atur calon-calon tidak berada di tangannya apatah lagi dengan kedudukan Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya Umno Malaysia.

Hubungan rapat Idris dengan orang yang berkuasa di Putrajaya boleh menggugat peluang orang-orang Ahmad Said. Apatah lagi kepimpinan Ahmad Said dilihat tidak begitu dihirau dan dihormati oleh kerajaan pusat. Timbul juga cakap-cakap politik, apakah penggal ini, penggal pertama dan terakhir Ahmad Said menduduki kerusi Menteri Besar.

Mungkin atas senario ini beberapa orang Adun Umno dilihat berani menjadi pembangkang kepada kerajaan sendiri tanpa mereka bimbang dengan peluang mereka untuk dicalonkan semula nanti. Pernah terdengar mereka berkata, “Apa kita nak takut dengan Mad Said, dia bukan Pengerusi Perhubungan. Kita lok (biar) dia duduk situ penggal ni saja, lepas ini kita bubuh (letak) dia dalam Zoo Kijal.” Begitulah optimisnya mereka tentang singkatnya hayat politik Ahmad Said.

Itu pun belum diambil kira peluang Umno BN untuk kembali memerintah Terengganu selepas PRU 13 nanti.

Ketika perwakilan Umno Kedah mendesak di dalam Persidangan Agung Umno supaya dikembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kepada pemimpin dari negeri jelapang padi tersebut, perwakilan Terengganu nyata membisu.

Apakah betul bagai dikata, perwakilan Terengganu sendiri tidak menghendaki Ahmad Said dikembalikan jawatan tersebut? Kalau bukan Menteri Besar, maka siapa lagi yang layak dilantik ke jawatan ini. Idris Jusoh, Nasir Ibrahim Fikri, Ahmad Razif Abdul Rahman atau siapa lagi...?

Mampukah pengumuman Tengku Adnan Mansor semalam (Isnin, 27 Disember 2010) memberikan nafas baru kepada hayat politik Ahmad Said? Mungkinkah ini khabar duka untuk Idris Jusoh dan penyokong setianya? Episodnya masih terlalu panjang...

No comments:

Post a Comment