Jumaat, 2010 Disember 24
RAMAI yang tertanya-tanya, sampai bilakah isu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mahu berdendam dengan pihak tertentu di negeri ini, bermula dengan isu mengoncang pintu pagar Istana, tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri dan kini, membisu ketika Dewan Undangan Negeri Terengganu bersidang.
Walaupun bukan Idris yang mengoncang pintu pagar Istana, tetapi kejadian itu berpunca daripada namanya tidak diperkenankan menjadi Menteri Besar Terengganu selepas PTU 12, Mac 2008 yang lalu.
Selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar, beliau sendiri melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Jawatan itu akhirnya diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Malangnya, apabila Datuk Seri Ahmad Said mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Idris Jusoh tidak pernah sekali pun menghadirkan diri.
Sedangkan, ketika dia menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dikatakan antara ketua bahagian yang tidak pernah gagal untuk hadir mesyuarat tersebut.
Dia juga terlibat sama dengan Sembilan lagi ADUN yang memboikot persidangan DUN Terengganu, tetapi kemudiannya hadir atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Bayangkan, sebagai seorang bekas Timbalan Menteri, bekas Menteri Besar dan kini seorang ADUN di kawasan Jerteh, Idris hanya menyertai persidangan atas arahan Perdana Menteri.
Agaknya, kalau PM tidak mengarahkannya untuk hadir, mungkin dia tidak hadir di persidangan DUN.
Sejak peristiwa itu, macam-macam lagi kejadian berlaku. Ketika Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hadir untuk merasmikan Persidangan Umno Bahagian Setiu, ada empat ADUN dalam kawasan tersebut turut memboikot Muhyiddin.
Pun tidak ada tindakan dikenakan terhadap ADUN-ADUN ini, sebagaimana tidak ada tindakan terhadap 10 Budak Hitam (10 ADUN yang memboikot) yang tidak menghadiri persidangan DUN Terengganu itu.
Apa yang Perdana Menteri takutkan kepada 10 Budak Hitam ini? Apa istimewa 10 Budak Hitam ini? Apa kelebihan 10 Budak Hitam ini? Adakah mereka kebal dan kalis dari sebarang hukuman?
Yang peliknya, ada pihak mendakwa, kalau orang lain dihadapkan ke mahkamah, jawatannya hilang (digantung) seperti apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tetapi ia tidak berlaku kepada AJK Umno Bahagian Marang, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zuber yang masih boleh menjadi perwakilan Umno bahagian ke Perhimpunan Agung.
Kenapa begitu istimewa mereka ini? Apakah mereka sudah berjaya memperdayakan pucuk pimpinan di Kuala Lumpur hingga mereka dilihat bebas sebebas bebasnya melakukan apa sahaja yang mahu mereka lakukan.
Dalam buku Kemelut Politik Terengganu yang diterbitkan Penerbitan Ceria Kuala Lumpur, terdapat 89 artikel mengenai Kemelut Politik Terengganu, tetapi tidak langsung ada mana-mana pihak yang berani bertindak ke atas 10 Budak Hitam yang cuba memusnahkan Umno dan BN Terengganu.
Sehingga ada yang percaya, PM dan TPM sendiri sudah begitu yakin bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak mampu menjadi Menteri Besar dan tidak mampu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Padahal, yang membuat pelbagai karenah dan masalah ini ialah di kalangan mereka yang berdendam dengan kehendak Istana memperkenankan perlantikan Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar.
Bayangkan, Idris dan tiga lagi rakan-rakan kongsinya, sanggup membisu seribu bahasa, menjahit mulutnya dari berkata-kata, memekakkan telinganya dan menjadi kelu lidahnya daripada bangun untuk berbicara seketika bagi menyampaikan hasrat pengundi-pengundi mereka di DUN-DUN yang mereka wakili.
Idris juga terus berdiam diri, bersama-sama rakan kongsinya, Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Mohd Pehimi Yusof melihat bagaimana Syed Azman Syed Ahmad dan Mohd Abdul Wahid Endut menyerang Menteri Besar Terengganu.
Padahal, ketika Idris menjadi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmadlah yang bermati-matian mempertahankan dia sebagai Menteri Besar dan imej Kerajaan Negeri dari serangan pembangkang.
Apakah Idris tidak tahu? Apakah Idris mudah lupa atau Idris memang jenis Melayu haprak!
http://citra-bangsa.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment