Tuesday, 28 December 2010

Ahmad Said Perlu Bersihkan 'Kerosakan' Diakibatkan Idris, Hishamuddin

Oleh Izzul Farhan Rafiqin

Erti Pengerusi Perhubungan UMNO bagi pemimpin UMNO Terengganu berbeza-beza.

Kebanyakan pemimpin UMNO Terengganu kurang melihat fungsi sebenar Pengerusi Perhubungan UMNO yang bertanggungjawab membawa kemenangan dalam pilihan raya dan melicinkan pentadbiran UMNO negeri adalah orang yang menentukan siapa layak dan tidak layak menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

Ini mungkin kerana pengalaman dan mereka mengasaskan penglihatan kepada peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO sebelum pilihan raya umum 2008.

Apakah Ahmad Said jenis yang suka meniru cara kepimpinan Idris yang ‘pengecut’ itu?

Kenapa saya katakan pengecut?

Ini kerana Idris mengalih kerusi yang patut dipertandingkan oleh beberapa pemimpin bahagian UMNO atau menggugurkan nama sebahagian lagi bimbang akan menjadi saingan untuk beliau meneruskan karier politiknya sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

Tentunya ramai masih ingat bagaimana Idris menghantar Datuk Mohd Jidin Shafie (Ketua Bahagian Setiu dari DUN bertanding ke Parlimen) dan begitu juga Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Ketua Bahagian Kuala Nerus dari DUN ke Parlimen Kuala Nerus).

Sementara yang digugurkan terus ialah Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Rahman Bakar dan juga Datuk Ahmad Said (Ketua UMNO Kemaman).

Daripada kumpulan yang digugurkan ini hanya Ahmad Said yang berjaya ‘melawan arus’ apabila berjaya mendapatkan semua kerusi DUN Kijal yang kemudian membolehkannya dilantik menjadi Menteri Besar.

Kerana itu apabila heboh diperkatakan bahawa Terengganu akan mendapat pengerusi perhubungan UMNO yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Hihamuddin baru-baru ini, pemimpin UMNO Terengganu khususnya yang bimbang dengan kedudukan mereka seboleh-bolehnya tidak mahu Hishamuddin digantikan.

Malah, Hishamuddin pula jelas nampak tidak mahu melepaskan Terengganu kerana menjaga kepentingan ‘orang-orangnya’ selain untuk kedudukan strategik menghadapi pemilihan parti yang sedang ditunda sehingga selepas pilihan raya umum nanti.

Siapa orang-orang Hishamuddin? Kebanyakan mereka adalah yang menentang atau ‘tidak gemar’ dengan Ahmad Said.

Nombor wahid ialah Datuk Din Adam (bekas Exco pada era Idris Jusoh dan masih ADUN Bukit Besi); Ahmad Sabree Alwi (bekas Ketua Pemuda UMNO Terengganu kini Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu) yang bercita-cita menjadi calon; Alias Abdullah (peguam dan ADUN Alor Limbat yang sering mempertikaikan dasar dan keputusan Ahmad Said), selain mereka yang menyokong Idris, termasuk beberapa orang yang kini sudah ‘mendekati Ahmad Said’ dari kumpulan 10 budak hitam.

Dengan jelas, kedatangan Hishamuddin tidak menjernihkan politik Terengganu tetapi pada bahagian tertentu, ia semakin mengeruhkan suasana!

Kita lihat sendiri bagaimana peristiwa beberapa pemimpin Hulu Terengganu tidak menghormati kedatangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Hulu Terengganu dan Setiu.

Ada sebilangan pemimpin UMNO Hulu Terengganu dan Setiu yang memboikot Muhyiddin yang menjadi episod UMNO Terengganu yang memalukan. Siapa mereka? Mereka adalah pengikut dan pemimpin yang setia dengan Idris Jusoh!

Sementara Hishamuddin pula kerana kesibukannya pada politik nasional tidak mengadakan mesyuarat secara teratur, malah pernah terbabas sehingga lebih tiga bulan. Jika mengikut KPI, tidakkah ini kegagalan Hishamuddin menerajui Terengganu?

Jadi apabila Ahmad Said yang baru dilantik semula ke jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang diumumkan semalam 27 Disember 2010 dan akan berkuatkuasa 1 Januari 2011, beliau perlu memperbaiki banyak perkara yang dirosakkan oleh Idris dan Hishamuddin sebelum ini.

1. Menenuhi hasrat Presiden UMNO iaitu menstabilkan semula UMNO dengan kerap mengadakan mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri;

2. Melapor dan membuat cadangan-cadangan kepada Presiden UMNO sekerap mungkin sebagai salah satu KPI Pengerusi Perhubungan UMNO menjelang pilihan raya umum;

3. Mentadbir dengan cara bukan ‘pecah dan perintah’ dengan membuka ruang kepada semua pihak menyertai politik negeri secara berpasukan;

4. Merapatkan semula hubungan dengan yang ‘renggang’ kerana dasar di atas dengan memperkukuhkan lagi hubungan antara ketua-ketua bahagian yang sudah terjalin sebelum ini;

5. Melantik baru atau mengekalkan Setiausaha, Bendahari, jawatankuasa lama yang mampu menyumbang kepada memperkukuhkan UMNO Negeri;

6. Melantik Ketua Penerangan yang mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada memperkukuh UMNO dan tidak sibuk dengan kerja di peringkat nasional;

7. Mendekatkan penyokong Idris atau dalam kata lain tidak menjadikan mereka merasa terpinggir; dan;
8. Penentuan soal siapa menjadi calon atau tidak akan hanya dibuat apabila tiba masanya nanti iaitu ketika hampir pilihan raya.

Ini hanya sekadar beberapa tugas yang perlu dilakukan Ahmad Said dan pastinya beliau mempunyai caranya sendiri kerana sebagai pemimpin politik berpengalaman, Ahmad Said tahu apa yang akan dilakukan oleh beliau.

UMNO Terengganu memerlukan pemimpin yang tegas tetapi bertindak dengan cara ‘ibarat menarik benang dalam tepung’.

Persoalannya, apakah perlantikan Yahya Khatib Mohamad (gambar kanan) akan mendatangkan kebaikan kepada Ahmad Said atau sebaliknya?

Yahya dikatakan ‘proksi’ kepada kumpulan Idris dan bagaimana Ahmad Said ‘mencairkan’ Yahya juga satu peranan sukar tetapi penting untuk Ahmad Said lakukan.

Ini antara cabaran penting Ahmad Said dan Yahya walaupun menjadi harapan penting kepada penyokong Idris perlu bijak meletakkan dirinya sebagai orang yang menyokong dan membantu Ahmad Said kerana perkiraan dan penilaian terakhir ialah bukan kepada Idris tetapi kepada Najib dan kepimpinan tinggi UMNO.


Jika banyak pihak mengatakan pemimpin tertinggi UMNO menilai Ahmad Said, Yahya juga tidak terlepas. Jika beliau silap perhitungan dengan meletakkan kepentingan ‘orang Idris’ daripada UMNO Terengganu, beliau juga wajar diganti!

No comments:

Post a comment