Saturday, 18 December 2010

Sindrom Bisu : Jangan Beri Mereka jadi Calon BN

Oleh Ahmad Hj Ishak
Sabtu, 18 Dis 2010

MEMBACA beberapa tulisan dalam blog-blog yang melaporkan apa yang tidak dilaporkan media massa arus perdana, tiba-tiba saya berasa geram dengan tindak tanduk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang dilanda sindrom bisu.

Mudah-mudahan, ada pegawai-pegawai Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pegawai-pegawai Timbalan Perdana Menteri TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan pegawai-pegawai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membaca semua laporan ini untuk dilaporkan kepada boss masing-masing.

Empat ADUN yang dilanda sindrom bisu ini, Idris Jusoh, Din Adam, Rosol Wahid (gambar kiri) , dan Pehimi Yusof (gambar bawah) sepatutnya sudah boleh disenarai hitamkan oleh PM dan TPM untuk tidak dicalonkan semula menjadi calon BN dalam PRU 13 akan datang.

Mereka berempat ini, pada anggapan saya bertindak balas dan dendam kepada DYMM Sultan Terengganu yang tidak berkenan melantik Idris menjadi MB Terengganu semula selepas PRU 12, Mac 2008 yang lalu.

Atas sifat dendam dan tidak puashati mereka ini, mereka buat-buat diam, selepas mereka bertindak memboikot persidangan DUN tahun lalu, dengan harapan, mesej mereka menolak perlantikan DYMM Sultan Terengganu ke atas YAB Datuk Seri Ahmad Said sampai ke istana.
Dalam masa yang sama, mereka ini juga disyaki mahu menyampaikan rasa marah mereka kepada PM dan TPM kerana tidak berdiri teguh di belakang Idris Jusoh yang telah banyak mencipta tamadun di Terengganu.

Dari segi logiknya, politik Umno Terengganu cukup stabil di bawah kepimpinan MB Terengganu, Ahmad Said.

Namun, ada beberapa orang, mula-mula 10 orang, kemudian berpecah dan berpecah hinggalah kini, tinggal empat orang membuat onar dan menggugat kestabilan politik ini.

Barangkali mereka mahu mengambarkan bahawa politik Terengganu tidak stabil.
Mereka mahu PM dan TPM memujuk Ahmad Said supaya meletakkan jawatan sebagai MB dan melantik Idris Jusoh semula.

Barangkali juga, mereka fakir, kalau Idris tidak mendapat perkenan DYMM Sultan Terengganu, mereka mahu Din Adam dilantik menjadi MB Terengganu. Mereka tahu, Rosol dan Pehimi tidak layak kerana Rosol ada masalah merosakan pagar Istana Terengganu manakala Pehimi, dikatakan hanya bergantung nasib kepada Idris.

Maka, dalam persidangan DUN Terengganu 13-16 Disember 2010 yang lalu, bagi menunjukkan taat setia mereka (baca: Pehimi, Rosol dan Din) kepada Idris yang mereka anggap sebagai boss kepada segala boss dan kepala kepada segala kepala di Terengganu, maka mereka mendiamkan diri, sebagaimana Idris mendiamkan diri sepanjang tempoh persidangan.

“Melawan”. Mereka berempat ini melawan. Mereka melawan istana, mereka melawan Menteri Besar, mereka melawan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, mereka melawan TPM dan mereka melawan PM.

Budak-budak, kalau melawan, mereka mereka bersikap sedemikian. Mendiamkan diri, menyimpan dendam di hati dan menunjukkan sikap melawan.

Mereka mendiamkan diri dari terlibat sama memberi cadangan kepada kerajaan negeri. Mereka mendiamkan diri kepada usaha membangunkan negeri. Mereka mendiamkan diri daripada terlibat memberi pembelaan kepada rakyat Negeri Terengganu dan yang paling dahsyat, mereka seolah-olah bersetuju dengan serangan dan fitnah pembangkang kepada kepimpinan negeri.

Orang Melayu, kalau mereka berdiam diri, terutamanya anak-anak gadis, ketika ditanya, bermakana mereka bersetuju. Jadi, kalau keempat-empat ADUN ini disamakan seperti sikap anak-anak gadis Melayu, mereka sebenarnya bersetuju dengan kata-kata pembangkang di dalam DUN Terengganu.

Yang hairannya, mereka berempat ini tidak pula mahu meninggalkan Umno yang sedang mereka khianati untuk menyertai parti pembangkang!

Kalau sudah bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh pembangkang, masuk ajelah parti pembangkang.

Tapi, kalau hati masih sayangkan Umno yang memberi mereka tempat, pertahankanlah Umno dan BN ini habis-habisan.

Idris, Rosol, Pehimi dan Din tidak ingat bagaimana Ahmad Said mempertahankan kerajaan negeri dan Umno sekaligus dari serangan Mohd Abdul Wahid Endut ketika Idris menjadi MB Terengganu dan Ahmad Said menjadi Exco?

Tidak perlulah Idris, Pehimi, Rosol dan Wahid bertindak macam Ahmad Said bertindak kerana mereka berempat ini tidak mempunyai cukup keberanian seperti keberanian yang ada dalam diri Ahmad Said, tetapi berhujahlah untuk mempertahankan Umno dan BN, sekaligus kerajaan negeri yang diterajui Umno dan BN!

PM dan TPM perlu beri perhatian serius perkara ini. Orang-orang seperti empat Abdul ini sebenarnya sudah tidak berguna dan sudah tidak mendatangkan faedah kepada kesejahteraan parti.

Malahan, sikap buruk mereka ini, jika rakyat Terengganu tahu, akan menyebabkan mereka membenci Umno kerana Umno mempunyai empat ADUN yang hanya mendiamkan diri apabila kerajaan di serang.

Najib dan Muhyiddin berdosa kepada rakyat Terengganu jika masih mengekalkan Rosol bertanding di DUN Ajil, Din bertanding di DUN Bukit Besi, Idris di DUN Jerteh dan Pehimi di DUN Kota Putera kerana keempat-empat ADUN ini sudah menjadi ‘patung cendana’ kepada Umno dan kerajaan Negeri Terengganu.

Elaun yang dibayar kepada mereka, menjadi ‘makan gaji buta’. Mereka tidak buat kerja seperti yang sepatutnya. Di Persidangan DUN lah masa dan tempat yang paling sesuai untuk ADUN-ADUN bercakap, berbincang, berbahas dan berhujah demi untuk rakyat dan pembangunan negeri.

Kalau masa dan tempat yang mulia seperti itu pun mereka tidak gunakan, hanya kerana masih ada dendam kesumat di dalam hati, apalah gunanya mereka diberi lagi peluang bertanding dan menjadi wakil rakyat di kawasan-kawasan tersebut?

Apakah mereka berempat ini mempunyai tempat lain untuk mereka laungkan idea mereka kerana mereka tidak beranggapan bahawa DUN adalah tempat yang terbaik bagi mereka?
Mudah-mudahan, doa saya agar keempat-empat Abdul ini digugurkan dari senarai pilihan raya akan datang, menjadi kenyataan demi meneruskan perjuangan membela nasib rakyat Terengganu yang masih memerlukan pembelaan.


http://citra-bangsa.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment