Sunday 21 November 2010

Ahmad Said Pengerusi, Idris Timbalan?

Bahagian Kedua/Akhir


Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri – jawatan yang pernah disandangnya ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang seketika jawatan itu apabila PAS memerintah Terengganu.

Walaupun Idris hanya Timbalan tetapi Abdullah memberikan ‘sepenuh kuasa’ kepada Idris untuk mentadbir UMNO dan politik Terengganu ketika itu. Bertuahnya Idris!

Kini Idris dikatakan akan mendapat semula jawatannya dan mungkin beliau akan ‘bertuah’ sekali lagi.

Persoalannya, apakah tidak ada orang lain sehebat Idris di Terengganu untuk menjawat Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu.

Tidakkan Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Ketua UMNO Hulu Terengganu), bekas Timbalan Menteri dan pemimpin UMNO yang berpengalaman atau Datuk Jidin Shafie (Ketua UMNO Setiu) yang juga bekas Exco mampu memegang jawatan berkenaan?

Kenapakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu tertarik dengan Idris sehingga memberikan ruang begitu besar kepada Ketua Bahagian UMNO Besut ini?

Apakah jika benar Datuk Seri Ahmad Said dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO, Idris akan digunakan untuk ‘mengimbangi kuasa’ Menteri Besar Terengganu itu?

Bekas Menteri Besar Terengganu, dikatakan dilantik sebagai Pengarah Teknologi Maklumat (IT) Pilihan Raya Malaysia oleh UMNO dianggap sesuatu yang sukar dipercayai, kerana kebiasaannya, jawatan itu secara lazimnya disandang oleh Timbalan Presiden Umno, yang juga orang nombor dua dalam negara, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. (baca di sini)

Lebih mengejutkan, secara senyap-senyap Muhyiddin sudah menurunkan kuasa dan tugasnya itu kepada Idris, kerana yakin Idris yang digugurkan dari jawatan Menteri Besar Terengganu secara tidak terhormat, mampu menjalankan tugas itu dengan berkesan, sekaligus mampu menyejukkan hati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terhadap Idris.

Ada sumber memberitahu, Muhyiddin memang mudah kagum dengan ‘konsultan’. Kelebihan Idris pula, yang dikatakan mendapat pendidikan dari beberapa sekolah di Universiti Oxford memang mampu membawa cerita ‘konsultan’ hingga menyebabkan Idris mampu merampas kembali Terengganu daripada tangan PAS pada pilihan raya umum ke Sebelas 2004 lalu.

Selepas Najib mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri, heboh orang UMNO bercerita kononnya, nama Ahmad Shabery Cheek tercicir dari senarai menteri kabinet Najib, sebaliknya nama Idris dikatakan antara yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong.

Cerita ini boleh jadi betul dan boleh jadi tidak kerana kumpulan yang menyokong Idris di Terengganu, memang pandai dari segi psiwar . Itulah sebabnya, apabila berlaku isu penghantar sms bernada ugutan kepada tiga wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu), orang yang ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah ialah bekas Setiausaha Politik Idris dan orang kepercayaan Idris hingga hari ini, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohammad Zubir.

Di sebalik ‘keupayaan luar biasa’ Idris yang begitu dikagumi Muhyiddin dan Najib, apakah kita tidak melihat isu SMS Ugut Bunuh bagaimana orang kuat Idris – Dr Ahmad Ramzi – kini semakin jelas sebagai ‘penghantar SMS Ugut Bunuh’ kepada beberapa ADUN di Terengganu berdasarkan keterangan saksi pada beberapa prosiding di mahkamah akhir-akhir ini?

Lihat apa kata saksi-saksi berikut:

1. Salah seorang saksi dalam prosiding di mahkamah berkaitan ‘SMS Ugut Bunuh’ - Nor Irwan Zainal Abidin memberitahu mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 26 Oktober lalu, beliau mengesyaki Dr Ahmad Ramzi terlibat dalam penghantaran SMS Ugut Bunuh yang menjadi isu politik di Terengganu. Ia berdasarkan kepada SMS berikut:

“Selagi boleh tolong cover aku n big bos. Aku rasa ada yang nak kenakan big bos krn isu MB ni. Aku akan cover kau, don't worry! TQ” - Demikian bunyi SMS yang diterima oleh Nor Irwan Zainal Abidin daripada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir pada 7.05 petang pada 20 April 2009.

Nor Irwan ialah saksi kepada perbicaraan terhadap Dr Ahmad Ramzi yang merupakan bekas setiausaha politik Idris ketika menjadi Menteri Besar Terengganu, yang didakwa mengugut ADUN Paka Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April tahun lepas.

2. Ini pula kenyataan Suhainy Ayob, Penolong Pengurus Pengurusan Maklumat Keselamatan Telekom Malaysia Berhad yang juga saksi pada prosiding pada . “Sekyen ID atau pengguna streamyx berkenaan dipunyai oleh Dato’ Ahmad Ramzi Mohd Zubir no pengenalan 720715-06-5509…pengguna ( Dr Ramzi) mula masuk pada hari Isnin 13 April 2009, masa 19.44.33 dan behenti pada hari Selasa 14.4.2009 masa 4.35.56…ini bermakna Dr Ramzi menggunakan kemudahan itu pada 13 April 2009 antara jam 7:44:55 petang hingga keesokannya 14 April 2009 jam 4.35.56 pagi.” -

Lebih mengejutkan, nama Idris turut disebut dalam perbicaraan (baca di sini) yang menggambarkan betapa jika UMNO meneruskan juga niatnya untuk melantik Idris – akan menyebabkan UMNO menanggung liabiliti berat .

Idris kini bukan sahaja sebagai ‘dalang’ kepada 10 Budak Hitam yang menentang perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar dengan membelakangi hasrat dan pilihan istana tetapi Idris juga adalah ‘perancang’ mensabotaj (baca di sini)kehadiran ADUN BN/UMNO ke persidangan DUN Terengganu, April 2009.

Apakah layak untuk dilantik orang yang mensabotaj UMNO/BN Terengganu dan pernah ‘menentang’ istana dalam perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar?

Jika Najib dan Muhyiddin berkeras mahukan Idris, alamatnya kedua-dua mereka ini sengaja mahu menggugat kekuatan UMNO Terengganu dalam menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Jika apa-apa berlaku kepada UMNO Terengganu, yang salah bukanlah Idris tetapi Najib dan Muhyiddin.

Bersediakah mereka untuk ‘memikul biawak hidup’ seperti Idris dan manggung pula risiko untuk dipersalahkan hanya semata-mata kerana kedua-duanya kurang ‘gemar’ dengan Ahmad Said dan ‘percayakan’ Idris?

1 comment:

  1. Sifat tamak dan dendam menguasai diri. Sultan pun 'diaorg' boleh cabar, tak mustahil benda2 jahat lain pun dia boleh buat. Kalau MB 'diaorg' ni boleh kenakan, tengok lah... silap2, Dato Najib pun boleh 'kena' nanti.

    ReplyDelete