Wednesday, 17 November 2010

Ahmad Said Pengerusi, Idris Timbalan?

Bahagian Pertama

Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada Jumaat ini (26 November 2010)Jumaat) dengan agenda utama dipercayai ada kaitan dengan perubahan atau rombakan membabitkan kepimpinan UMNO negeri-negeri.

Maka bermulalah cakap-cakap oleh Tukang Ramal, Tok Tilek malah ada Tok Mudim yang tidak ada kena mengenai dengan politik pun mula bercakap politik UMNO di Terengganu.

Perkara ini menjadi bualan apabila pada Jumaat 12 November lalu, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan (gambar kiri) Tengku Mansor menyebut mengenai perkara ini walaupun mengatakan tarikh mesyuarat sebenar masih belum ditetapkan tetapi mengesahkan isu itu akan diputuskan pada satu mesyuarat MT 'akhir bulan ini'.

''Ya, isu melibatkan perubahan kepimpinan UMNO di peringkat tertentu yang dibangkitkan oleh Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan dibincangkan dalam satu mesyuarat MT hujung bulan ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh berkata, tarikh tentatif mesyuarat MT itu ditetapkan pada 26 November ini namun penetapan tarikh sebenar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan parti.

Ketika ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Selangor disandang oleh Najib, Wilayah Persekutuan dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), dan Kedah oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO di Selangor pula disandang oleh Datuk Seri Noh Omar, Wilayah Persekutuan (Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin), Pulau Pinang (Datuk Zainal Abidin Othman) manakala di Kedah oleh Datuk Ahmad Bashah Md. Hanapiah.

Najib ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO, pada 23 Oktober lalu, berkata, perubahan dalam kepimpinan UMNO di peringkat tertentu akan diumumkan apabila sampai masanya supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak.

''Saya akan maklumkan bila sampai masa, tak lama lagilah. Semua kemungkinan boleh (melibatkan kepimpinan UMNO negeri)," kata Presiden parti itu.

Pengumuman perubahan itu dikatakan bagi memenuhi hasrat perwakilan yang meminta Pengerusi Perhubungan UMNO negeri khususnya di negeri-negeri yang kini bukan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), diterajui pemimpin tempatan.

Pada Mei lalu, Najib menggesa semua pengerusi perhubungan UMNO negeri bergerak lebih aktif dalam melaksanakan program Juara Rakyat yang bertujuan mendekati rakyat bagi memahami masalah yang mereka hadapi.

Kemudian pada Ogos, beliau memberi kata dua pula kepada kepimpinan UMNO Kedah dan Perlis supaya menamatkan segala bentuk persengketaan dalaman jika mahu membina jentera yang benar-benar kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sehingga ini tiada siapa mampu membaca apa yang ada dalam kepala Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan siapa beliau lantik di Terengganu nanti.

Yang mungkin tahu adalah mereka yang rapat dengan beliau atau ketua-ketua perhubungan UMNO negeri seperti Hishamuddin, Zaid, Shafie dan Muhyiddin sendiri.

Di Terengganu, bagi yang mahu melihat Datuk Seri Ahmad Said diberikan ruang untuk mentadbir UMNO sekali lagi lagi selepas jawatan itu ‘diragut’ daripadanya dan diberikan kepada Hishamuddin – mengatakan tiada calon lain yang sesuai selain Ahmad Said.

Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu pada 14 Jun 2008 melalui pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) tetapi Najib ‘menarik balik perlantikan itu’ bagi diserahkan kepada Hishamuddin pada 24 April 2009.

Ini kerana menurut mereka, Ahmad Said tidak boleh disalahkan jika Umno mengalami kemelut atau apa-apa juga kesan terhadapnya. Lagipun yang buat onar bukan Ahmad Said tetapi kumpulan 10 Budak Hitam.

Ketika Ahmad Said mengambil alih jawatan Pengerusi UMNO Negeri selepas dilantik Menteri Besar pada Mac 2008 hinggalah Hishamuddin mengambil alihnya mulai…..Ahmad Said berdepan dengan kemelut UMNO negeri yang sengaja diada-adakan oleh puak yang menentangknya.

Tangan ghaib kumpulan ini ialah Datuk Seri idris Jusoh, bekas Menteri Besar yang perlantikannya ditolak oleh istana walaupun dipersetujui MT UMNO.

Namun, ada pendapat mengatakan dengan kedudukan di mana Ahmad Said dituduh sebagai punca ‘keretakan UMNO Terengganu’ dan ‘kekalahan pilihan raya kecil Kuala Terengganu’, Najib mungkin berfikir dua kali.

Najib juga dikatakan ‘kurang gemar’ dengan kenyataan-kenyataan Ahmad Said mengenai royalti petroleum yang dilihat Najib banyak memberikan ‘peluru’ kepada pembangkang, walaupun hakikatnya apa yang disebut atau dinyatakan oleh Ahmad Said itu adalah perkara sebenar dan semuanya benar belaka!

Persoalannya benarkah kemelut Terengganu sudah selesai dan jika selesai apakah Ahmad Said sudah diterima 10 Budak Hitam atau sebaliknya?

Namun, ada juga yang bimbang jawatan itu tiba-tiba diberikan kepada mereka yang dilihat digemari oleh Najib dan Hishamuddin di Terengganu umpamanya Datuk Abdul Rahin Said yang ketika ini adalah Bendahari UMNO Negeri yang dilantik oleh Hishamuddin.

Malah, ada yang berani menghulurkan nama Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafie (Ahli Parlimen Setiu dan Ketua UMNO Bahagian Setiu) yang dilihat rapat dengan Muhyiddin.

Mungkin bunyinya nakal tetapi jangan sekali-kali perkecilkan pendapat politik kerana politik itu sendiri adalah permainan sebarang kemungkinan. Dengan kata lain seperti dalam kes Ahmad Said – siapa sangka beliau terpilih menggantikan Idris sebagai Menteri Besar pada ketika ada ramalan mengatakan jika Idris tidak dilantik Rahin Said akan menggantinya.

Selain Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, yang juga menjadi perbualan ialah Timbalannya. Apakah Ahmad Said akan kekal sebagai Timbalan sahaja? Ada mengatakan ‘ya’ jika ramalan ketua bahagian tertentu akan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Namun ada juga cakap-cakap bahawa Idris akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO kerana rapatnya beliau dengan Najib dan Muhyiddin.

Namun ramai yang persoalkan integriti Idris selepas semakin jelas Datuk Dr Ahmad Ramzi – bekas Setiausaha Politiknya – sebenarnya yang menghantar SMS Ugut Bunuh pada beberapa prosiding di mahkamah akhir-akhir ini.

Bersambung

No comments:

Post a comment