Thursday 11 November 2010

Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS Makin Sukar?

"Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS."



Oleh: Shuhaimi Al-Maniri (http://kalamperantau.wordpress.com)

Beberapa orang kenalan dalam PAS minta pandangan saya berhubung dengan peluang PAS memerintah semula Terengganu selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. Satu soalan cepu emas yang sukar untuk saya jawab sebenarnya.

Saya hanya memberitahu kenalan aktivis-aktivis muda PAS berkenaan bahawa saya tidak ada data terkini dan maklumat yang tepat ketika ini berhubung dengan politik Terengganu dewasa ini kerana suasana politik sentiasa berubah-ubah.

Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran maklumat ini mempengaruhi rakyat Terengganu atau mereka ini terpengaruh dengan dunia maya yang berlaku dalam internet, sama ada di laman-laman sesawang (homepage) atau media jaringan sosial yang baru seperti facebook, twitter dan sebagainya.

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan PAS Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu pada ketika kebangkitan semula PAS Terengganu bersama-sama dengan kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Malah pada satu ketika sebelum PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, saya pernah meramalkan barisan kabinet bayangan kerajaan PAS di Terengganu jika PAS diberi peluang memerintah negeri berkenaan.

Tetapi saya tidak bercadang untuk menulis semula apa yang telah saya tulis dalam kabinet bayangan tersebut. Ianya bukan sahaja menjadi kenyataan tetapi saya diberitahu seorang pemimpin kanan PAS Terengganu pada ketika itu tidak begitu menyenanginya kerana namanya tidak tersenarai.
Baru-baru ini, seorang aktivis pemuda daripada mereka yang pernah membaca tulisan tersebut bertanya kepada saya, jika PAS memerintah Terengganu semula selepas ini, siapa yang akan menjadi Menteri Besar Terengganu?

Satu lagi soalan cepu emas yang ditujukan kepada saya untuk melihat reaksi saya kerana menjelang pilihanraya yang lepas saya ada menulis sepintas lalu berhubung dengan perkara ini menyebabkan tulisan tersebut sedikit kontroversi.

Kali lagi saya minta aktivis muda berkenaan membaca kembali tulisan berkenaan dalam akhbar ini (Siasah) di mana saya tidak menyebut siapa sepatutnya menjadi Menteri Besar seperti ramalan saya terdahulu (sebelum PRU 1999) melainkan saya quote pandangan beberapa pihak di dalam dan di luar PAS yang saya dengar.

Apa yang saya mampu mengatakan pada masa ini sejarah politik PAS menunjukkan peluang memerintah kerajaan negeri sama ada di Kelantan atau Terengganu hanya diberi sekali kepada sesuatu generasi pemimpin PAS selepas sesuatu kejatuhan kerajaan PAS. Kenapa ianya berlaku, saya akan bincangkan dalam tulisan yang lain. Jika masih berminat untuk mengetahui ramalan saya bagi Menteri Besar dan barisan kabinet PAS Terengganu selepas ini, saya akan melakukannya pada masa yang sesuai.

Mungkinkah PAS Tawan Terengganu PRU ke-13 nanti?

Pada saya bukan siapa yang patut menjadi Menteri Besar yang perlu dibincangkan pada saat ini tetapi mampukan PAS kembali menguasai Terengganu seperti perkiraan mudah Haji Hanafiah Ramli, Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu.

Beliau dengan yakin menyebut PAS berupaya menambahkan 9 kerusi lagi dalam pilihanraya umum akan datang terutama yang majoriti dimenangi oleh UMNO begitu tipis disamping mengekalkan 8 kerusi yang telah dimenangi oleh PAS sekarang ini.

Dilapor dengan lapan kerusi sedia ada dan ditambah yang sudah dimenangi PAS kini, ia menjadi 17 kerusi dan membolehkan kerajaan majoriti mudah dibentuk dalam DUN Terengganu yang mempunyai 32 kerusi.

Untuk rekod, 8 kerusi DUN Terengganu yang dimenangi oleh PAS sekarang adalah Rhu Rendang (Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang), Manir (Dato’ Haji Harun Taib), Wakaf Mempelam (Haji Abdul Wahid Endut), Batu Burok (Dr. Syed Azman Syed Ahmad), Bukit Payong (Mohd Nor Hamzah), Sura (Wan Hasan Ramli), Ladang (Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar) dan Bukit Tunggal (Dr. Alias Razak)

Sungguhpun Haji Hanapiah tidak menyatakan kerusi yang akan ditawan oleh PAS Terengganu dalam pilihnraya umum akan datang, pemerhati politik menjangkakan 8 kerusi DUN dimana UMNO menang dibawah 1,000 undi menjadi sasaran PAS, iaitu Paka (344), Tepuh (430), Telok Pasu (462), Chukai (769), Rantau Abang (790) Alor Limbat (799), Jabi (804) dan Pengkalan Berangan (930).

Selain 16 dari 32 kerusi DUN berkenaan, PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) juga mensasarkan beberapa kerusi lain yang mana BN menang sekitar 1,500 undi seperti Bandar (1142), Batu Rakit (1486) dan Kuala Berang (1592).

Keadaan ini menjadikan UMNO cukup risau untuk menang mudah di Terengganu walaupun terdapat usaha memperlekeh dan menidak kemampuan PAS Terengganu meralisasikan hasrat tersebut. Ketua UMNO, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disebut, “PAS sebenarnya tiada kubu kuat di negeri itu” dalam sebuah akhbar harian Edisi Terengganu berbahasa Melayu baru-baru ini

Dengan hujah yang agak cemas dengan situasi yang berlaku sekarang ini, istilah kubut kuat bagi beliau adalah sekiranya PAS sentiasa konsisten memenangi sesuatu kerusi dengan majoriti besar tanpa berlaku pengurangan.

Namun berdasarkan kepada beberapa pilihanraya umum sebelum ini, keadaan ini tidak berlaku. Sebaliknya kawasan yang dimenangi oleh PAS juga menunjukkan kemerosotan majoriti undi PAS yang ketara. Beliau mengambil DUN Wakaf Mempelam sebagai contoh.

“Pada PRU 1999, di Wakaf Mempelam kita (BN) kalah dengan majoriti lebih 5,000 undi, tetapi lima tahun kemudian (2004) kita hanya kalah dengan 1,000 majoriti undi. Maknanya kalau benar ia (Wakaf mempelam) kubu kuat PAS, majoriti undi tidak akan bergerak. Ia tetap berada dalam jumlah 5,000 undi sama ada berlaku tsunami, rebut, taufan, panas atau hujan, tetapi fakta menunjukkan ada kekurangan”, katanya.

Jika hujah Wan Farid ini dijadikan asas, PAS juga boleh mendakwa sebaliknya. Analisis terhadap keputusan pilihanraya umum 2008 mendapati majoriti BN merosot dengan teruk dibandingkan dengan apa yang diperolehi oleh BN pada OPRU 2004.

Cuma PAS Terengganu tidak bernasib baik sebagaimana rakan-rakan di negeri lain yang bergantung kepada swing pengundi-pengundi bukan Melayu yang tinggi. Sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO di Terengganu tidak boleh mendabik dada Terengganu dalam genggaman mereka pada setiap kali pilihnraya.

Apa yang pasti UMNO dan BN akan bergantung kepada “talian hayat” mereka iaitu persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan memihak kepada mereka. Sungguhpun sejarah pilihanraya sebelum ini (1986, 1995 dan 2004), persempadanan semula kawasan pilihanraya akan membantu UMNO terselamat di Terengganu.

Kita tunggu bagaimana rupabentuk sempadan baru pilihanraya Terengganu yang dijangka akan diadakan pada tahun ini. Apakah sekali lagi ianya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan BN. Jika tiada pertambahan kerusi parlimen dan DUN sekali lagi selepas 20 tahun sebagaimana persempadanan-persempadanan sebelum ini ianya adalah petanda awal kepada talian hayat UMNO dan BN di Terengganu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

No comments:

Post a Comment