Thursday 5 August 2010

HISHAMUDDIN GAGAL ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

Benarkah krisis politik yang berterusan di Terengganu diakibatkan oleh kelemahan kepimpinan UMNO Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Seri hishamuddin Hussein?

Isu ini semakin banyak diperkatakan, lebih-lebih lagi bila berlakunya pemulauan oleh empat ADUN pada mesyuarat perwakilan UMNO Setiu baru-baru ini (16 Julai 2010).

Penulis tidak mahu ulas pan jang, baca salah satu entri yang memperkatakan mengenai kepimpinan Hushamuddin di www.ohsedapnya.blospot.com pada 19 Julai lalu.

HISHAMUDDIN GAGAL LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Monday, July 19, 2010 (http://www.ohsedapnya.blogspot.com/)

Jangan nak berkokok atau mendabik dada.

Pemimpin yang pernah menghunus keris tetapi kemudian menyatakan kesal dengan tindakannya sambil menyarung kembali kemas-kemas kerisnya itu, sebenarnya gagal melaksanakan amanah yang diserahkan oleh Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi.

“Usahkan kemelut politik Terengganu, kemelut UMNO Setiu pun Hisham tak boleh selesai.”

Itu komen seorang pemerhati politik Terengganu yang merasakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebenarnya gagal berperanan secara berkesan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Sejak beliau memegang tampuk Pengerusi Perhubungan, tidak banyak perkara yang dilakukan oleh beliau walaupun pada umumnya, politik Terengganu yang bergelora sedikit tenang.

Tapi jangan lupa, usaha Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Timbalannya turut memainkan peranan besar dengan berusaha merapatkan kembali pemimpin yang bertelegah dengannya ke arus perdana politik Terengganu.

Hishamuddin dengan bangganya di Lobi Parlimen Khamis lalu mendakwa semua Pengerusi Perhubungan UMNO ‘sementara’ di lima negeri berkemampuan menjalankan tugas mereka dengan baik.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO lima negeri dilihat tidak 'berkemampuan' menyelesaikan perpecahan dalaman parti.

Hishammuddin pada sidang media di lobi Parlimen petang Khamis menegaskan bahawa tidak timbul soal tidak ada kemampuan kerana keadaan di Badan Perhubungan UMNO berkenaan sudah dilihat stabil.

"Kalau tidak ada kemampuan, saya rasa perhubungan masing-masing sudah lama berada dalam keadaan masalah berbanding sebelum ini yang boleh dilihat dalam keadaan tertekan," tambahnya.

Hishammuddin memberi contoh keadaan di Terengganu yang mana beliau selaku Pengerusi telah berdepan dengan pertembungan dua pihak tetapi keadaan sekarang tidak timbul berpecah dua pihak lagi.

Persoalannya, apakah benar keadaan sedemikian berlaku, atau memang kemelut politik Terengganu semakin pudar kerana tujuh daripada Kumpulan 10 sudah kembali menyokong atau rela berdiam diri selepas mengetahui mereka berjuang tanpa haluan.

Jika benar Hishamuddin berpengaruh, kenapa beliau tidak mampu memujuk ‘anak buahnya’ sendiri iaitu Datuk Din Adam untuk tidak terus ‘keras kepala’ menentang Menteri Besar?

Selain itu, Hishamuddin juga gagal memujuk ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah untuk tidak menentang Ahmad Said secara terang-terangan?

Ternyata, kononnya apabila Hishamuddin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan – menurunkan pangkat Ahmad Said ke Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO – masalah dan kemelut politik Terengganu akan dapat diselesaikan.

Lihat sahaja masalah UMNO di Setiu. Kenapa empat ADUN menghilangkan diri pada hari mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jumaat lalu?

Siapa mahu malukan siapa atau untuk siapa ditujukan tindakan itu?

Kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Tidak sama sekali. Keempat-empat ADUN berkenaan sudahpun menghantar pekhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada Muhyiddin terlebih dahulu sebelum mereka ‘menghilangkan diri’.

Lagipun, keempat-empat ADUN berkenaan tidak menghalang anak buah mereka menghadiri mesyuarat berkenaan. Mesyuarat berjalan lancar tanpa keempat-empat mereka!

Ini diakui oleh Ketua Bahagian UMNO Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie sendiri bahawa tanpa keempat-empat mereka, mesyuarat berjalan dengan licin.

Amat jelas, perbuatan menghilangkan diri itu ditujukan kepada Hishamuddin yang gagal mengatasi kemelut serta rasa tidak puas hati mereka.

Rahsia terbuka di Setiu ialah penentangan empat ADUN ini – Jabi, Batu Rakit, Permaisuri dan Langkap kerana empat atau lima isu utama.

Seperti digariskan melalui www.hambali1.blogspot.com isu-isunya membabitkan soal perlantikan Penyelaras DUN, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, anggota Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu serta penubuhan Pejabat Parlimen dalam DUN berkenaan.

Ada pihak mengatakan isu perlantikan Ahli Majlis Daerah juga sedikit sebanyak mempengaruhi kemarahan empat ADUN berkenaan kepada Mohd Jidin.

Persoalannya, jika Hishamuddin tahu – malah, pernah ‘turun padang’ di Setiu beberapa bulan lalu – masalah itu berlaku, kenapa beliau membiarkan keadaan berterusan?

Atau memang beliau gagal atau tidak mampu untuk meleraikan kekusutan kerana bimbang beliau akan hilang pengaruh dengan pemimpin tertentu di Terengganu?

Ternyata taktik ‘ rambut jangan putus, tepung jangan tumpah’ di Setiu memakan diri Hishamuddin sendiri apabila ternyata ‘bom jangka’ akhirnya meletup juga pada mesyuarat perwakilan UMNO Setiu, Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment