Thursday 5 August 2010

P Kamalanathan Sah Sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bersama peguam, Firoz Hussein (kiri) dan Datuk Mohd Hafarizam Harun (kanan) keluar dari Mahkamah Pilihan Raya, hari ini selepas mahkamah menolak petisyen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang di failkan Datuk Zaid Ibrahim di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Berita Harian

Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur hari ini menolak petisyen pilihan raya Datuk Zaid Ibrahim dan mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dipilih secara sah pada pilihan raya kecil, April lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Azhar Mohamed iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan untuk membenarkan permohonan anggota Parlimen Hulu Selangor daripada Barisan Nasiona itu untuk membatalkan petisyen yang difailkan Zaid.

Zaid yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada April lalu, hari ini gagal mendapatkan pengisytiharan mahkamah supaya keputusan pilihan raya itu terbatal dan tidak sah.

Zaid, yang tewas dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.
Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lalu dengan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Petisyen terhadap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958

Ia dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.

Mengulas keputusan itu, Kamalanathan berkata beliau bersyukur kepada Tuhan kerana mahkamah telah memutuskannya sebagai ahli parlimen yah sah.

"Saya P Kamalanathan, dan saya adalah MP bagi Hulu Selangor," katanya, sambil berikrar akan bekhidmat dengan gigih di kerusi parlimen yang diwakilinya.

Menurut seorang daripada peguam P Kamalanathan, Mohd Hafarizam Harun, penghakiman hari ini membuktikan bantuan kepada sekolah dan RM160,000 kepada peneroka Felda bukan rasuah tetapi sebagai pembangunan di kawasan berkenaan.

Peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Zaid berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Katanya, beliau juga mempunyai senarai nama-nama penerima rasuah berkenaan tetapi berpendapat untuk mendedahkannya apabila perkara itu dibawa ke perbicaraan sepenuhnya.

Petisyen oleh Datuk Zaid Ibrahim bagi membatalkan keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada April lalu mulanya dikatakan dapat menunjukkan amalan rasuah memang berlaku.

Peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar, memberitahu mahkamah pada 22 Julai lalu bahawa pelbagai janji telah dibuat kepada pengundi sekiranya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan pada pilihan raya kecil 25 April lalu.

"Dalam sebarang keadaan, isu amalan rasuah dan janji boleh ditentukan semasa perbicaraan penuh petisyen tersebut kerana ia merupakan perkara bukti," kata Malik semasa memohon mahkamah menolak permohonan Kamalanathan untuk membatalkan petisyen itu.

No comments:

Post a Comment