Monday 31 October 2016

PRU 14 - Ahmad Razif Akan Tewas Di Seberang Takir?

 

Kawasan Dewan Undangan (DUN) Seberang Takir kini bukan seperti DUN Kijal atau DUN Jerteh ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Kedua-dua DUN yang dimiliki bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (Kijal) dan Jerteh memang diyakini dimenangi jika terus ditandingi oleh kedua-dua mereka.

Sebaliknya DUN Seberang Takir kini begitu 'terpencil' dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang kini dimiliki PAS. ia bagaikan dikepung.

Ia kini bukan lagi kubu UMNO seperti yang didakwa oleh pemimpin UMNO, termasuk Menteri Besar yang mewakilinya ketika ini.

DUN Seberang Takir juga tersepit antara DUN Tepoh, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu yang akan dikenali dengan Buluh Gading pada pilihan raya ke-14 nanti, yang kesemuanya kini ditakluki PAS dalam kawasan Parlimen yang juga dimiliki PAS.

Berikutan itu Ahmad Razif perlu berjuang habis-habisan. Pada pilihan raya umum 2008 beliau menang dengan majoriti 2,430 tetapi pada 2013 lalu dengan 1,520.

Walaupun ketika itu beliau adalah Exco kanan kerajaan negeri dan sudah diwar-warkan akan menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, sokongan terhadapnya tetap merorot.

Perlu diingat di DUN Seberang Takir, ada kem askar, polis, universiti dan sebagainya. Tetapi mampukah undi berpihak kepadanya sekali lagi kali ini?

Walaupun sejak Pilihan Raya Umum pertama pada tahun 1959 hingga PRU ke-13 lalu, PAS  tidak pernah menang walaupun sekali, kali ini  PAS dijangka akan  menang, walaupun dengan majoriti kecil.

Justeru, tanpa menoleh ke belakang, petugas PAS kini begitu bersungguh-sungguh dengan kerja yang akan membawa kemenangan cemerlang untuk parti itu.

Kerana itu tidak pelik jika ADUNnya, Ahmad Razif Abdul Rahman begitu cemas dan banyak pihak meramalkan beliau akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.


Selain pengaruh PAS yang semakin kuat, Ahmad Razif sendiri bergelut dengan masalah dirirnya dan UMNO di kawasan itu.

Ahmad Razif mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Ahmad Said pada 12 Mei 2014 dan sejak itu ada sahaja kontroversi yang melanda.
.
Selain dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan pihak istana, Ahmad Razif juga berhadapan dengan undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Ahmad Said pada 8 Mac lalu semasa Sidang DUN, namun usul itu ditolak.

Bagaimanapun, krisis politik yang dihadapi Ahmad Razif kali ini lebih sukar kerana mempunyai kaitan dengan pihak istana dan kalangan pemimpin UMNO sendiri.

Walaupun krisis politik dianggap Ahmad Razif ‘sudah selesai, namun penyelesaian politik tidak pernah diumumkan Presiden UMNO yang sudah memanggil kesemua ADUN bertemu dengannya.

Mungkin ketika ini tenang tetapi ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’ kerana pada persidangan DUN membentangkan Bajet Terengganu 2017 nanti, mungkin ada pula perkara yang tidak enak berlaku.

Serangan demi serangan selepas beliau digugurkan pingat oleh Sultan Terengganu April lalu semakin menyukarkan kedudukan Ahmad Razif, apa lagi isu berkaitan dirinya turut diperkatakan.

Serangan oleh Ahmad Said turut mendedahkan beliau kepada banyak kelemahan cara pentadbirannya dan dia semakin ditolak bukan sahaja sebagai Menteri Besar tetapi juga sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus.

Cabaran sebagai Ketua Bahagian UMNO begitu besar di mana Ahmad Razif juga perlu memenangkan Parlimen Kuala Nerus.

UMNO tidak boleh mendabik dada mengatakan ia akan menang mudah kali ini kalaupun pada PRU13 lalu, PAS menang di Parlimen Kuala Nerus hanya dengan 641 undi sahaja.

Ahmad Razif tidak boleh mengharapkan kepada persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sedang dibantah, walaupun memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengikut persempadanan semula itu, di Teluk Pasu,  PAS yang hanya menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading. Ini  kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir.

Maka, hampir pasti BN dikatakan akan  menang  DUN  Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. Mereka kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

DUN Tepoh juga dipecahkan jika mengikut persempadanan baru oleh SPR. Sebahagian masuk ke DUN Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit UMNO, ditolak masuk ke DUN Tepoh.

Maka Tepoh yang juga menang hanya 229 undi juga dalam bahaya bagi PAS.

Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi BN merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat UMNO  di sekelilingnya, maka SPR tidak mampu berbuat apa-apa.

Walaupun berusaha untuk menang cara itu tetapi Ahmad Razif di Seberang Takir juga dihempuk oleh isu peribadinya.

Isu membina rumah baharu, peruntukan kerajaan negeri yang dilihat banyak ke kawasannya dilihat ‘kegelisahan’ dan ‘ketakutan amat sangat’ beliau bahawa DUN Seberang Takit akan berpindah kepada PAS.

Pada masa yang sama, PAS semakin membuktikan bahawa melalui semangat bekerja, dengan kesungguhan dan tekad yang kukuh serta azam yang kuat di jiwa, tidak mustahil bagi parti itu mencipta sejarah kemenangan di DUN  Seberang Takir.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Zakaria Dagang berkata baru-baru ini, jentera pilihan raya hendaklah bekerja lebih baik dengan jiwa yang kental dari kita semua.

“Kerja kuat, bersemangat dengan tekad dan azam yang kukuh serta jiwa yang kental dari kita semua, in shaa Allah, kita mampu mencipta sejarah kemenangan.

“Walaupun kita berhadapan ada cabaran yang besar dengan adanya kem askar, polis dan macam- macam, termasuk beberapa kampung yang menjadi kubu kuat (UMNO), ia tidak menjadi halangan kepada kita,”tegasnya.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Kaki Ke-14 di Markaz Tarbiyah Islamiyyah Seberang Takir (Martis) pada Khamis malam, 27 Oktober, beliau menyifatkan PAS tiada halangan besar untuk menang kali ini kerana dalam pilihan raya yang lepas empat daripada enam peti undi, telah dimenangi PAS, termasuk peti undi di kampung Menteri Besar sendiri.

“Itu (kejayaan yang) kita telah cipta, kita perlu menang di peti-peti undi yang lain lagi, selain mengekalkan empat yang telah kita menangi. Apatah lagi undi Tok Jembal dan Kubang Badak terdapat sebahagian besar golongan elit dan terpelajar yang akan lebih mudah untuk mereka menerima kefahaman dan menyokong kita,”jelasnya.

Beliau menegaskan dengan  kehadiran semua petugas pada malam itu sudah tentu akan dapat banyak input dan sekaligus suntikan semangat daripada pempinan negeri yang hadir. Ini kerana sebagai anggota di peringkat bawah, yang menerima amanah besar itu, perlu menyempurnakannya dengan baik, tanpa bertangguh atau berdalih dengan alasan dan membuang semua sikap negatif itu.

Dengan gandingan jentera PAS seperti Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) PAS Negeri Terengganu merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dr Alias Razak, TPJ 2 Haji Yahya Ali dan Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyidin Abdul Rashid di kawasan itu, menguatkan semangat PAS untuk menang di DUN berkenaan.


Sekiranya DUN Seberang Takir boleh kecundang, apa isyaratnya untuk UMNO dan BN Terengganu?

No comments:

Post a Comment